DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dilaksanakan segera.

Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, sudah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan petugas khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan supaya siasatan lanjut segera dilaksanakan mengikut Seksyen 124(1) & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, laporan itu disediakan oleh pasukan berkenaan dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022.

“Ia memperincikan setiap dakwaan yang disebut oleh Thomas dalam bukunya itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, menggesa supaya hasil siasatan ke atas buku memoir itu wajar didedahkan segera oleh kerajaan.

Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Pasukan petugas khas itu dipengerusikan Joo Chung, dengan keahlian terdiri daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.

Ahli lain adalah bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh; peguam, Datuk Shaharudin Ali dan K Balaguru.

Mereka turut disertai wakil daripada kementerian dan jabatan yang berkepentingan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia bagi jawatankuasa berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here