PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah amalan rasuah terutamanya di kalangan penjawat awam Pulau Pinang.

Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh berkata, salah satu tunjang utama ‘Better Penang’ ialah ketulusan dan kerajaan beramanah di Pulau Pinang.

Sehubungan itu katanya, Gerakan akan memberi komitmen untuk bersama-sama SPRM mencegah rasuah di negeri itu.

“Berdasarkan perangkaaan SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan ini sejak 2019 sehingga kini.

“Angka ini jika tepat, memburukkan imej negeri ‘Pulau Mutiara’ di mata dunia lebih-lebih lagi apabila ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terbaik di Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Baljit, keyakinan syarikat asing untuk melabur di Pulau Pinang akan terjejas sekiranya gejala rasuah itu tidak dibanteras sekali gus tidak dapat merancakkan ekonomi negeri.

Malah jelas beliau, sekiranya gejala rasuah semakin berleluasa, pentadbiran negara secara keseluruhannya akan terjejas dan segala dasar atau penguatkuasaan akan menjadi lemah.

“Sepanjang 39 tahun mentadbir Pulau Pinang dan menjadi menteri di peringkat nasional, tiada seorang pun pemimpin Gerakan yang pernah dikaitkan atau didakwa dengan rasuah.

“Rekod ini jauh berbeza dengan pentadbiran sekarang yang mana berlaku pelbagai tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa sehingga ada yang telah didakwa dan sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Tambah beliau, pandemik rasuah adalah musuh negara dan mereka yang terbukti tersabit dalam gejala ini patut ‘dikurung’ (dipenjarakan).

“Rasuah juga tidak terhad kepada mana-mana parti politik, negeri, agama dan bangsa. Malaysia mesti bersatu melawan rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here