Author: Wartawan WartaRakyat

  • Agong miliki kuasa prerogatif untuk bubar Parlimen, bukan ‘pihak’ lain

    Agong miliki kuasa prerogatif untuk bubar Parlimen, bukan ‘pihak’ lain

    Oleh ABU UBAILLAH RAHMAN

    TIADA mana-mana pihak atau kumpulan yang berhak atau mempunyai kuasa menentukan bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan.

    Sebaliknnya tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid, Yang di-Pertuan Agong sahaja mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi perkenan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan mengadakan PRU15.

    “Sama ada bubar atau tidak Parlimen dalam masa terdekat akan diputuskan mengikut Yang di-Pertuan Agong.

    “Kuasa prerogatif sepenuhnya adalah milik Yang di-Pertuan Agong pada masa ini. Jadi kita tunggu dah lihatlah apa berlaku seterusnya kerana episod seterusnya masih ‘panjang’ lagi nampaknya.

    “Kalau bubar (Parlimen) akan ada PRU, kalau tak bubar mungkin berlaku perubahan-perubahan lain, episodnya macam drama Korealah, mungkin perubahan dalam Kabinet dan susulan itu semuanya berubah susulan Kabinet berubah.

    “GLC (syarikat berkaitan kerajaan) pun berubah (kepimpinan) semuanyalah, banyak yang terkesan,” katanya kepada pemberita selepas program Inisatif Pendigitalan sektor Peruncitan Peringkat Negeri di Bazar Karat, Johor Bahru, malam tadi.

    Jsueru Rosol berharap, semua pihak terutama mereka yang mahukan PRU segera supaya berfikir untuk rakyat dalam keadaan mereka baru bangkit daripada pandemik Covid- 19 dan tidak lama lagi akan berdepan banjir.

    Malah kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, beberapa negeri sudah pun mula dilanda banjir seperti di Johor, Pulau Pinang dan Perak.

    “Jadi sekarang bukan masa untuk berpolitik, sekarang ini kita mesti cari jalan berfikir dan beri perhatian untuk kesenangan dan keselesaan rakyat, itu sepatutnyalah,” katanya.

    Ditanya mengenai bekalan makanan semasa musim tengkujuh, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bekalan semasa banjir cukup namun bagi bagi pihak yang mahu memberi bantuan kepada mangsa banjir, mereka tidak digalakkan membeli barang keperluan di kawasan banjir.

    Jelasnya, ini kerana dibimbangi akan menjejaskan bekalan serta rantaian makanan di kawasan banjir dan mereka dinasihatkan membeli barang-barang bantuan itu di luar daerah atau luar kawasan banjir.

    “Kita juga minta orang yang nak derma atau bagi bantuan kepada mangsa banjir agar membeli barangan buatan Malaysia, contohnya kita ada sardin sendiri, jadi utamakan barang buatan Malaysia,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan antara spekulasi pertemuan itu dikaitkan berkenaan tarikh pembubaran Parlimen untuk PRU15.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO kemudian bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

  • Cuba rasuah polis RM50, warga Bangladesh didenda RM3,000

    Cuba rasuah polis RM50, warga Bangladesh didenda RM3,000

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman RM3,000 terhadap seorang lelaki warganegara Bangladesh selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM50 kepada seorang sarjan polis, tahun lepas.

    Tertuduh, Khan Obaydul, 30, seorang pekerja ladang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang sarjan polis, lapor Astro Awani.

    Wang itu sebagai balasan untuk melepaskannya daripada diambil tindakan undang-undang kerana tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Jalan Kampung Muhibbah, Ayer Tawar, Manjung, kira-kira pukul 2 petang, 11 Mei lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika tertuduh gagal nembayar denda.

    Wang rasuah berjumlah RM50 juga adalah dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan Malaysia.

    Tertuduh kemudiannya membayar denda itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Mekanik maut digilis jentolak di tapak lombong

    Mekanik maut digilis jentolak di tapak lombong

    SEORANG mekanik maut digilis jentolak ketika sedang membaiki jentera berat itu dalam kejadian di sebuah tapak lombong bijih besi di Bukit Besi, di Dungun pukul 6 petang semalam.

    Mangsa, Kong Hon Meng, 63, yang beralamat di Negeri Sembilan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berada di atas roda berantai jentolak (buldozer) itu berseorangan ketika sedang membaiki jentera berat itu.

    “Siasatan mendapati insiden itu berlaku ketika mangsa cuba menghidupkan jentera itu menggunakan ‘jumper’, namun ia tiba-tiba hidup lalu bergerak ke hadapan.

    “Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke tanah lalu digilis oleh jentera terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Baharudin, beberapa rakan mangsa yang menyedari insiden itu bertindak memberhentikan jentera tersebut.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Bomba gesa elak PRU musim banjir

    Bomba gesa elak PRU musim banjir

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengakui pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada fasa Monsun Timur Laut yang dikaitkan dengan musim banjir menyebabkan beban anggota penguat kuasa semakin bertambah dalam melancarkan operasi ketika bencana itu.

    Susulan itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berharap PRU-15 ketika musim banjir perlu dielakkan kerana ia boleh menambah risiko yang perlu dihadapi dalam usaha menyelamat penduduk terbabit bencana berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, jika PRU-15 tetap dilaksanakan pada musim banjir, JBPM meminta supaya penyelarasan membabitkan agensi berkaitan terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dilakukan bagi membantu melancarkan sebarang operasi.

    Katanya, perancangan teliti khususnya dalam aspek memobilasi pengundi ke tempat pengundian perlu dibuat bagi mengelak kejadian tidak diingini dan anggota JBPM bersedia membantu urusan itu jika diminta berbuat demikian.

    “JBPM mempunyai 14,829 anggota membabitkan pegawai sepenuh masa dan pegawai bomba bantuan, 403 unit kenderaan marin, 127 unit kenderaan angkut berat dan 537 unit kenderaan angkut ringan yang akan digunakan bagi berdepan operasi banjir.

    “Paling terbaik ialah jangan menambah risiko yang ada dengan mengadakan PRU-15 ketika fasa monsun ini. Fokus utama kami ialah menyelamatkan mangsa banjir ke tempat selamat dan jika pada masa sama, mereka ini perlu bergerak pula untuk mengundi, ia meningkatkan risiko keselamatan.

    “Kita harus memahami juga beban tugas anggota bomba yang bertambah jika diminta memobilasi pengundi termasuk dalam aspek syif dan beban cuti,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Pelaksanaan PRU-15 ketika fasa monsun ‘hampir’ pasti apatah lagi pembubaran Parlimen dijangka dibuat dalam masa terdekat ini.

    Nor Hisham berkata, JBPM juga akan menggerakkan Team Gerak Cepat (TGC) yang akan dilancarkan pada bulan ini untuk membantu memastikan operasi menyelamat semua mangsa banjir dapat dilakukan segera.

    Katanya, keanggotaan TGC yang ada di seluruh negara akan dikerah ke lokasi banjir memerlukan dan kehadiran mereka sangat diperlukan jika PRU-15 berlaku ketika musim banjir ini.

    “Memang tugas utama kita bagi memindahkan dan menyelamatkan mangsa banjir ke kawasan selamat, namun jika SPR meminta JBPM membantu memobilasi pengundi ke pusat pengundian, penambahan tugas itu perlu digalas mereka.

    “Jadi, kita sudah bersiap siaga jika kerajaan meminta anggota bomba turut menggalas tanggungjawab membantu pengundi. Kita sudah nampak bayangan itu dan gerak kerja sudah disusun, hanya menanti arahan tambahan saja,” katanya.

    Nor Hisham berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan penyelarasan antara agensi belum dilaksanakan, malah SPR juga belum menghubungi JBPM bagi mendapatkan data berhubung kekuatan logistik sekiranya PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

  • Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh – sumber

    Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh – sumber

    YANG di-Pertuan Agong bimbang dengan maklumat yang diperoleh pagi ini semasa taklimat mengenai banjir akhir tahun, menurut sumber yang berada di dalam bilik taklimat berkenaan.

    Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diberi taklimat mengenai musim Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan dan berlarutan sehingga Mac tahun depan.

    Baginda dikatakan menyuarakan kebimbangannya tentang kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kepada rakyat sekiranya ia berlangsung ketika musim tengkujuh.

    “Tuanku bimbang pilihan raya diadakan pada musim Monsun Timur Laut yang akan datang, kerana ia akan memberi beban kepada rakyat,” kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

    “Baginda juga menyuarakan harapan agar pihak berkuasa tempatan bersedia dengan baik, dan mengelakkan isu-isu yang tidak perlu dan kesukaran kepada rakyat,” katanya lapor Malaysiakini.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di mana baginda diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

    Menurut pegawai Istana Negara yang hadir di pusat itu, pihak istana meminta taklimat itu supaya Agong dapat menilai persiapan agensi kerajaan untuk menangani banjir akhir tahun.

    Kunjungan baginda ke PRABN diadakan ketika UMNO terus mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen serta-merta bagi memberi laluan kepada PRU15.

    Seorang pakar perubahan iklim baru-baru ini turut memberi amaran supaya tidak mengadakan PRU sebelum Februari tahun depan, dengan mengatakan bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh pada akhir tahun mungkin lebih buruk daripada yang berlaku pada 2021.

    Pakar itu turut memuat naik di Facebook dan berkongsi data Jabatan Saliran dan Pengairan yang mengunjurkan hujan puncak bagi negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Disember.

    Bagaimanapun, semua negeri lain di Semenanjung Malaysia dijangka mengalami hujan puncak pada bulan November.

  • Bas ekspres bawah 15 penumpang rempuh treler, satu parah

    Bas ekspres bawah 15 penumpang rempuh treler, satu parah

    SEORANG pemandu bas parah selepas bas ekspres membawa 15 penumpang yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di kilometer (km) 264 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di Ipoh, hari ini.

    Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima panggilan memaklumkan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 2.30 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    Jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kejadian melibatkan sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang treler jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan besi.

    “Selain terdapat sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, terbabas ke bahu jalan.

    “Pemandu bas mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu. Dua penumpang mengalami cedera ringan manakala selebihnya termasuk pemandu treler selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

    “Mangsa yang lain keluar sendiri dan diberi rawatan oleh pihak ambulans sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau memberitahu, operasi tamat pada pukul 4.50 pagi.

  • Kubur warga emas digali semula

    Kubur warga emas digali semula

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Selepas dikebumikan beberapa hari lalu, kubur seorang warga emas di Kulim, Kedah bakal digali semula pagi ini setelah anaknya mengesyaki wanita tersebut menjadi mangsa kejadian jenayah berikutan beberapa faktor.

    Sumber memaklumkan, antara perkara yang menjadi kemusykilan si anak adalah kehilangan beberapa barangan peribadi wanita berusia 79 tahun tersebut iaitu gelang, dua cincin serta telefon bimbit.

    Selain itu anak wanita tersebut mendakwa, dia terlihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.

    “Anak mangsa mendakwa yang dia turut dimaklumkan terdapat lebam pada badan wanita itu, selain luka di hidung sewaktu jenazah dimandikan.

    “Susulan itu, satu laporan polis dibuat anak wanita terbabit yang mengesyaki ibunya menjadi mangsa jenayah,” katanya.

    Berikutan laporan tersebut kata sumber itu, polis telah memohon permit untuk mahkamah membenarkan kubur wanita berkenaan digali semula bagi tujuan bedah siasat.

    Difahamkan wanita tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Isnin lalu dengan baju serta kain batik miliknya ditemukan di atas lantai.

    Kematian wanita itu sebelum ini difahamkan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

  • 21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    SERAMAI 21 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dan Laos diselamatkan, dengan lapan daripadanya pulang ke tanah air hari ini.

    Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, kejayaan itu hasil usaha Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan Vientiane.

    “Lapan mangsa dari Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 4.50 petang tadi dan disambut Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

    “Enam lagi mangsa dari negara itu dijangka tiba 11.50 malam ini. Selain itu, tujuh mangsa dari Laos tiba di KLIA pada 7.50 malam tadi,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Menurut laporan itu, semua mangsa diserahkan kepada polis untuk proses siasatan lanjut.

    Seramai 273 warga Malaysia berjaya diselamatkan sehingga semalam, dengan 213 daripadanya sudah dihantar pulang dan bakinya 60 lagi masih ditahan di depot tahanan imigresen sementara menunggu proses pengusiran.

    “Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja dan Laos atas kerjasama serta komitmen dalam membantu mengesan dan menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.”

    Katanya, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand dengan kerjasama kedutaan negara terbabit di Kuala Lumpur akan terus komited dalam usaha menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

    Ia turut menasihatkan pihak yang ingin membuat kenyataan berhubung isu itu supaya memaklumkan polis bagi membantu siasatan.

    “Ini penting bagi mengelakkan kenyataan tidak sahih dan disensasikan, disampaikan kepada umum, sekali gus mendatangkan kegusaran serta panik kepada orang ramai.”

  • Muhyiddin yakin Pas kekal dalam Perikatan Nasional

    Muhyiddin yakin Pas kekal dalam Perikatan Nasional

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Pas akan kekal bersama gabungan politik itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Selepas bermesyuarat selama lima jam di ibu pejabat gabungan itu untuk membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya, Muhyiddin menegaskan Pas tidak akan berputus asa dalam perkara ini.

    “Insya-Allah, kami tidak akan berselisih,” katanya menurut MalayMail.

    Sebelum itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut hadir pada mesyuarat PN hari ini berikrar untuk taat setia kepada gabungan itu.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata masih terdapat perbincangan dengan UMNO di beberapa kerusi bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menang di kawasan tersebut.

    “Tiada pilihan, kami sebahagian daripada PN. Cuma kami juga membincangkan beberapa kerusi di mana kami fikir kami boleh mencari kata sepakat dan mengelakkannya daripada jatuh ke tangan PH,” kata Tuan Ibrahim.

    Terdahulu hari ini, Muhyiddin mengadakan mesyuarat dengan pemimpin parti komponen PN untuk membincangkan persiapan menghadapi PRU-15, termasuk persiapan menyediakan manifesto pilihan raya.

    Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan setelah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini berkata, tiada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen dibangkitkan.

  • 4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu “kartel pengurangan saman trafik” melibatkan transaksi berjumlah lebih RM5 juta selepas menahan 11 individu termasuk empat anggota polis.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, kumpulan itu disyaki aktif di beberapa negeri sejak 2016 dan didalangi empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam.

    Katanya, sembilan daripada individu terbabit sudah direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

    Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 7 Okt dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Kata sumber, kumpulan berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.

    “Selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah tersebut akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi bersama suspek lain yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem polis. Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem,” katanya.

    Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa lagi saksi terdiri pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.