Author: Wartawan WartaRakyat

  • Surat kepada Agong: PN tolak PRU sekarang, bukan tak sokong PM

    Surat kepada Agong: PN tolak PRU sekarang, bukan tak sokong PM

    PENDIRIAN Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Itu (menarik sokongan kepada Perdana Menteri) bab lain. Ini bab pilihan raya,” katanya sebagaimana laporan portal BeritaBersatu.

    Beliau menjelaskan mengenai isu sama ada surat daripada 12 anggota Kabinet PN kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini juga bererti PN menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

    Mengulas surat berkenaan, laporan itu memetik Hamzah berkata, pendirian mereka dibuat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen PN yang tidak bersetuju PRU-15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh dan risiko banjir besar.

    “Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana kita mengikut keputusan parti,” katanya.

    Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua 12 menteri daripada PAS dan BERSATU mewakili PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju jika PRU-15 dilaksanakan tahun ini.

    Anggota Kabinet PN tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini atas faktor musim tengkujuh yang diramalkan berisiko mencetus bencana banjir besar hujung tahun ini, selain faktor pemulihan ekonomi yang memerlukan tumpuan penuh kerajaan.

    Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet BERSATU dan PAS itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

  • Zizie Izette mohon semakan kes rasuah didengar hakim sama

    Zizie Izette mohon semakan kes rasuah didengar hakim sama

    DATIN Seri Zizie Izette Abdul Samad akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa depan untuk semakan keputusan rasuahnya.

    Permohonan tersebut akan didengar bersama permohonan semakan dibuat suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin di hadapan hakim yang sama.

    Permohonan itu susulan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu, yang memerintahkan pasangan suami isteri berkenaan untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

    Sebelum ini mahkamah menetapkan prosiding semakan kes bagi Zizie Izette, 44, didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah manakala semakan kes bagi Bung Moktar, 64, di depan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid.

    Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, Sequerah membenarkan permohonan Zizie Izette yang diwakili peguam, M Athimulan supaya notis usul bagi semakan kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi lain.

    Ia diputuskan selepas Athimulan memaklumkan bahawa, pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan bagi permohonan pemindahan itu.

    Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai, Athimulan berkata, permohonan akan dibuat 11 Oktober ini supaya kedua-dua notis usul berkenaan semakan itu didengar bersama.

    “Kami harap ia akan didengar bersama pada tarikh tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria berkata, pendakwaan akan membuat hujahan terhadap permohonan penyatuan dan semakan keputusan yang difailkan Zizie Izette dan Bung Mokhtar pada 17 Oktober ini.

    Pada 23 September lalu, Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menangguhkan prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen, selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan yang dibuat.

    Permohonan untuk semakan itu dibuat dengan alasan hakim perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan mereka menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang juga saksi utama dalam kes terbabit.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga, didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette,manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.

  • Tuan Ibrahim kongsi ‘sarapan terakhir’ dalam Twitter

    Tuan Ibrahim kongsi ‘sarapan terakhir’ dalam Twitter

    MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi bayangan Parlimen seperti akan dibubarkan selepas memuat naik foto dengan kapsyen ‘sarapan terakhir’ dalam Twitter miliknya.

    Menerusi ciapannya di Twitter, Timbalan Presiden Pas itu berkata, beliau menerima jemputan untuk bersarapan dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) kementerian.

    “Sarapan terakhir bersama agaknya,” tulisnya pada Jumaat, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turun mengucapkan terima kasih kepada UKK yang memastikan kelancaran program dan menjadi perantara antara media.

    Tuan Ibrahim antara menteri yang hadir dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Pembubaran Parlimen terus diperkatakan sejak awal minggu ini dan ia diperkuat selepas Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Agong perkenan membatalkan enam proklamasi dan ordinan darurat yang diisytiharkan kerajaan bagi menangguhkan pilihan raya sepanjang tempoh usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini

    Ia membabitkan Proklamasi dan Ordinan Darurat di Parlimen P054 Gerik, Perak, yang dibuat pada 12 Disember 2020.

    Turut dibatalkan ialah proklamasi dan ordinan darurat terhadap Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah yang dibuat pada 18 November 2020.

    Pembatalan itu membolehkan Perdana Menteri membuat permohonan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) pada bila-bila masa.

  • Bersatu gesa kerajaan beri keutamaan, tumpu persediaan musim tengkujuh

    Bersatu gesa kerajaan beri keutamaan, tumpu persediaan musim tengkujuh

    KERAJAAN digesa memberi tumpuan dan keutamaan sepenuhnya terhadap persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia antara perkara yang dirumuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

    “Bersatu memutuskan untuk mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

    “Usaha itu akan digerakkan menerusi Skuad Prihatin Bersatu yang diketuai Ahli MPT, Mohd Rafiq Mohd Abdullah,” katanya.

    Hamzah memberitahu, kekuatan Skuad Prihatin Bersatu akan dipertingkatan dari semasa ke semasa.

    Katanya, ini bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir.

    Hamzah menambah mesyuarat MPT BERSATU turut membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Nyaris ‘dijual’ sindiket, orang Laos korek terowong tolong rakyat Malaysia lari

    Nyaris ‘dijual’ sindiket, orang Laos korek terowong tolong rakyat Malaysia lari

    BERDEPAN antara hidup dan mati dalam sebuah bangunan dikawal sindiket, lapan rakyat Malaysia di Laos berpakat siapa dalam kalangan mereka yang patut melepaskan diri, dengan harapan rayuan mereka yang terselamat akan menggerakkan lagi banyak usaha menyelamat.

    Selesai berbincang, tanpa tahu nasib menanti mereka yang ditinggalkan, empat orang terpilih untuk melarikan diri menerusi sebuah terowong yang dikorek penduduk tempatan.

    Keputusan yang sukar harus dan telah dibuat, kerana dalam dua hari lagi, mereka ini akan dijual ke Myanmar umpama ternakan. Khoo (bukan nama sebenar), 34, salah seorang yang terpilih untuk melarikan diri daripada sindiket penipuan tawaran kerja itu.

    Dia masih ingat amaran keras daripada sindiket akan nasib mereka yang gagal melepaskan diri daripada kerja menipu duit orang lain itu.

    “Seorang rakyat China dipukul depan mata kami berempat. Kaki patah, tangan patah, kepala koyak. Dia cakap kalau kami cuba lari, nasib kami akan sama macam ini,” katanya, lapor FMT.

    Tidak dapat dipastikan bagaimana orang tempatan itu dapat tahu tentang nasib mereka, namun sebuah kereta menanti rakyat kita di luar terowong.

    “Dia korek terowong itu, kasi kita masuk, bawa keluar cepat-cepat ke dalam kereta yang menunggu,” ceritanya.

    Seorang lagi mangsa terselamat, Danny (bukan nama sebenar), 35, tekad akan lawan sekiranya cubaan gagal. Danny hanya boleh terima dua pengakhiran – peluk anak isterinya di Malaysia atau mati melawan di Laos.

    “Tak lari pun tetap mati. Jadi kita lawan sahaja lah. Mati sekali (dengan penyangak). Tidak apa, cuma mati sahaja,” katanya.

    Lee (bukan nama sebenar), 28, bukan salah seorang daripada terpilih hari itu, badannya yang besar menyebabkan dia tidak muat melalui terowong itu.

    Beliau enggan menyerah dan merencana cubaan tersendiri apabila dia dimasukkan ke hospital atas alasan sakit. Dengan bantuan penduduk tempatan yang sama, dia berjaya melarikan diri malah hampir dicekau samseng yang mengawalnya.

    “Ini satu-satunya peluang saya untuk lari. Kalau tidak dapat lari, saya pasti mati. Saya badan paling besar dalam kumpulan (lapan orang rakyat Malaysia itu). Mereka pun tak percaya saya dapat lari.

    “Memang nasib saya baik,” katanya.

    Kepulangan mereka di KLIA pada Selasa disambut keluarga yang menanti selepas lapan bulan mereka diculik sindiket. Tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan Danny dengan sempurna, dengan anaknya dalam dakapan.

    “Nampak anak isteri, semua ahli keluarga saya, saya betul-betul gembira. Kalau tiada orang tolong kami, kami mungkin sudah mati di sana,” katanya.

    Keluarga mereka ketika ditemui amat berterima kasih kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), kerajaan, dan pihak berkuasa Laos yang berusaha membawa anak-anak mereka pulang.

    “Saya tidak boleh cakap sekarang, tapi hati saya seronok anak saya sudah balik. Terima kasih!” kata seorang bapa mangsa, Tham, 62.

  • Terkenal dengan jolokan Robert Solo, pencuri warga emas ditangkap

    Terkenal dengan jolokan Robert Solo, pencuri warga emas ditangkap

    PASANG kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat pelanggan dan mengenal pasti selok belok ruangan dalam bangunan selama beberapa bulan.

    Itu taktik licik seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan CCTV untuk memecah masuk ke sebuah pejabat dan mencuri barangan bernilai RM10,000.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, suspek yang terkenal dengan jolokan Robert Solo itu telah berjaya ditahan pada Selasa lalu di Daerah Ampang.

    Jelas beliau, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kejadian pecah pejabat di Setiawalk Puchong pada 16 September lalu.

    “Hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang dan Balai Polis Puchong Jaya telah berjaya menangkap suspek pada 4 Oktober.

    “Suspek berasal dari Perak dan menetap di Ampang, Selangor itu bekerja sebagai juruteknik pemasangan CCTV dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau.

    “Suspek juga pernah menjalani hukuman penjara tujuh hari bagi satu kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada 2018 manakala bagi kes-kes lain suspek dihukum dengan bayar denda,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, soal siasat polis telah berjaya menemukan pelbagai barangan berharga yang disyaki hasil kegiatan pecah pejabat di kawasan Lembah Klang.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, antara barangan yang ditemukan adalah pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, drone dan alat permainan video.

    Jelas Anbalagan, nilai rampasan barangan itu dianggarkan kira-kira RM180,000.

    “Suspek pernah ditugaskan untuk memasang CCTV di pejabat mangsa dan selepas mengenal pasti selok-belok bangunan, dia akan datang semula untuk melakukan kegiatan pecah pejabat dalam masa satu atau dua bulan.

    “Kegiatan ini dilakukan pada waktu siang hari ketika cuti umum atau hujung minggu ketika pejabat tidak beroperasi.

    “Suspek masuk ke dalam pejabat dengan mengumpil pintu kecemasan di bahagian belakang,” katanya, lapor Utusan TV.

    Anbalagan berkata, suspek didapati bergiat aktif dalam kegiatan pecah pejabat di sekitar kawasan Lembah Klang melibatkan beberapa daerah seperti Serdang, Petaling Jaya, Brickfield, Sentul dan Shah Alam.

    Katanya, dengan kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes kejadian pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

    Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan direman selama tujuh hari sehingga 11 Oktober ini.

    Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh lima hingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan.

  • Tunjuk pistol ugut bunuh, penganggur dicekup polis

    Tunjuk pistol ugut bunuh, penganggur dicekup polis

    POLIS berjaya menahan seorang penganggur lelaki berusia 42 tahun yang melakukan ugutan untuk menembak mati seorang peniaga atas isu tidak berpuas hati.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, penahanan lelaki itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung ugutan tersebut semalam.

    Jelas beliau, suspek yang juga dikenali mangsa itu telah melakukan ugutan tersebut menerusi hantaran mesej di aplikasi WhatsApp.

    Kata Anbalagan, ugutan itu juga telah disampaikan kepada beberapa rakan mangsa dengan menunjukkan satu objek menyerupai pistol berwarna perak dengan pemegang berwarna hitam.

    “Hasil maklumat dan risikan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang telah berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini.

    “Suspek berasal dari Selangor itu tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai enam rekod jenayah serta tiga rekod narkotik.

    “Antara rekodnya adalah dua Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) (Samun Tanpa Bersenjata) dan Seksyen 39 (A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya dalam sidang media hari ini.

    Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, tangkapa dan rampasan telah dilakukan di Daerah Serdang dan Kajang.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan bersama pegawainya menunjukkan sepucuk pistol dan peluru yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan ugutan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, hasil soal siasat telah berjaya menemukan sepucuk pistol tertera tulisan sarsilmaz made in Turkey, ‘stainless steel’ berwarna perak.

    Ujar beliau, turut ditemukan adalah kelopak peluru berwarna hitam berisi lapan butir peluru hidup.

    Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

    “Modus operandi suspek adalah dengan membuat ugutan dan pemerasan terhadap mangsa yang menjalankan perniagaan seperti restoran dan kedai makan yang mempunyai warga asing.

    “Dalam kes ini, pengadu adalah pemilik kedai kenderaan terpakai di kawasan Seri Kembangan,” katanya, lapor Utusan TV.

    p Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan. GAMBAR: Warta Rakyat

    Anbalagan berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 KK (Ugutan Jenayah) dan boleh dihukum penjara selam tempih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi kesalahan memiliki senjata api dan peluru hidup, Anbalagan berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

    Jelas Anbalagan, jika sabit kesalahan atas kesalahan senjata api itu, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

    Katanya, suspek telah ditahan reman selama tiga hari untuk tujuan siasatan.

  • Konsert Justin Bieber di Malaysia ditunda ke tahun depan

    Konsert Justin Bieber di Malaysia ditunda ke tahun depan

    SIRI jelajah dunia penyanyi Justin Bieber, 28, termasuk konsertnya di Malaysia pada 22 Oktober ini ditunda ke tahun hadapan susulan pengumumannya ingin berehat pada awal September lalu.

    Pengendali tiket GoLive Asia menerusi kenyataan rasmi memaklumkan tarikh dan lokasi baharu untuk konsert di sini belum ditetapkan. 

    Pembeli tiket juga boleh memohon untuk wang mereka dikembalikan.

    “Susulan pengumuman rasmi promoter konsert, AEG Presents dan PR Worldwide, dukacita kami maklumkan Justice World Tour Kuala Lumpur ditunda. Tarikh baharu konsert itu akan diumumkan AEG Presents dan PR Worldwide sebaik ditetapkan.

    “Tempoh 14 hari bermula 7 Oktober sehingga 20 Oktober akan dibuka kepada pemegang tiket untuk menghantar permohonan sama ada terus memegangnya atau mahu wang dikembalikan.

    “Tiket yang dibeli masih sah untuk digunakan pada tarikh baharu nanti dan tiada kos tambahan dikenakan. Tiket baharu akan diberikan kepada mereka sebaik konsert dijadualkan semula,” katanya.

    Untuk pengembalian wang, ia akan dimasukkan ke dalam kad (bank) asal yang digunakan sewaktu pembelian tiket mengikut terma dan syarat. 

    “Pengembalian wang akan mengambil masa sehingga 30 hari bergantung kepada pemprosesan pihak bank. GoLive Asia akan menghubungi pembeli untuk arahan lanjut jika ada masalah transaksi,” katanya, lapor SatuBerita.

    Pada 6 September lalu, Bieber mengumumkan terpaksa berehat kerana faktor kesihatan dan tidak akan meneruskan konsert siri dunianya selepas beraksi di Rio, Brazil.

    Dia berkata sekarang perlu fokus kepada kesihatan selepas terlalu penat selain diserang strok ringan pada wajahnya awal tahun ini.

    “Awal tahun ini, saya dedahkan secara umum bahawa saya menderita Sindrom Ramsey-Hunt di mana sebahagian wajah saya lumpuh. 

    “Disebabkan penyakit itu, saya tidak dapat lengkapkan baki Jelajah Justice di Amerika Utara,” katanya.

    Penyanyi Peaches itu cuba kembali menjalani siri jelajah terbabit baru-baru ini selepas berehat secukupnya namun ternyata masih berdepan masalah kesihatan.

    “Selepas berehat dan berunding dengan doktor, keluarga dan pasukan, saya ke Eropah sebagai usaha untuk teruskan siri jelajah itu. Saya beraksi di enam persembahan secara langsung tapi ia benar-benar memberi kesan besar kepada saya.

    “Pada hujung minggu lalu, saya beraksi di Rock and Rio dan memberi sepenuh hati kepada peminat di Brazil. Selepas turun pentas, saya merasa kepenatan melampau dan sedar kena jadikan kesihatan sebagai keutamaan sekarang,” katanya.

  • Cubaan penuntut kolej wanita curi pakaian berjenama gagal

    Cubaan penuntut kolej wanita curi pakaian berjenama gagal

    DUA penuntut sebuah kolej ditahan kerana mencuri pakaian berjenama di sebuah pusat beli belah di Taman Melawati, Ampang, pukul 8.30 malam tadi.

    Kejadian tersebut disedari pekerja pusat beli belah tersebut sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang berusia 21 tahun.

    Difahamkan mereka masuk ke premis menjual pakaian sebelum berpura-pura ingin mencuba tiga pakaian bernilai RM429 di bilik persalinan.

    Selepas mencuba pakaian itu, suspek terus beredar namun disedari pekerja premis terbabit yang kemudian menahan mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek.

    “Polis merampas barang kes dan menahan suspek kerana disyaki melakukan jenayah curi dalam bangunan.

    “Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

  • TMJ minta Sanusi jaga sikap, keperibadian sebagai MB

    TMJ minta Sanusi jaga sikap, keperibadian sebagai MB

    PEMILIK pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengharapkan pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Daud Bakar supaya dapat menasihati Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menerusi satu komen di laman Instagram, Tunku Ismail turut menggesa Sanusi supaya dapat menjaga sikap dan menunjukkan keperibadian sebagai seorang Menteri Besar.

    “Salam Tan Sri. Saya pernah berjumpa dengan Tan Sri di SSI. Tan Sri orang yang baik dan saya berdoa semoga Allah kurniakan kejayaan buat Tan Sri dan Kedah FC.

    “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Tan Sri nasihatkan sikit Menteri Besar Kedah, cukup cukuplah memecah belahkan antara penyokong bola sepak Kedah dan Johor lagi lagi orang Islam Melayu kita.

    “Sudah tiba masanya untuk beliau jaga sikap dan bawa diri sebagai seseorang Menteri Besar dan bukannya Badut. Semoga Allah berkati Tan Sri.

    “Pemimpin akan melahirkan lebih ramai pemimpin, badut akan melahirkan lebih banyak badut,” kata Tunku Ismail, lapor SatuBerita.