SIRI jelajah dunia penyanyi Justin Bieber, 28, termasuk konsertnya di Malaysia pada 22 Oktober ini ditunda ke tahun hadapan susulan pengumumannya ingin berehat pada awal September lalu.

Pengendali tiket GoLive Asia menerusi kenyataan rasmi memaklumkan tarikh dan lokasi baharu untuk konsert di sini belum ditetapkan. 

Pembeli tiket juga boleh memohon untuk wang mereka dikembalikan.

“Susulan pengumuman rasmi promoter konsert, AEG Presents dan PR Worldwide, dukacita kami maklumkan Justice World Tour Kuala Lumpur ditunda. Tarikh baharu konsert itu akan diumumkan AEG Presents dan PR Worldwide sebaik ditetapkan.

“Tempoh 14 hari bermula 7 Oktober sehingga 20 Oktober akan dibuka kepada pemegang tiket untuk menghantar permohonan sama ada terus memegangnya atau mahu wang dikembalikan.

“Tiket yang dibeli masih sah untuk digunakan pada tarikh baharu nanti dan tiada kos tambahan dikenakan. Tiket baharu akan diberikan kepada mereka sebaik konsert dijadualkan semula,” katanya.

Untuk pengembalian wang, ia akan dimasukkan ke dalam kad (bank) asal yang digunakan sewaktu pembelian tiket mengikut terma dan syarat. 

“Pengembalian wang akan mengambil masa sehingga 30 hari bergantung kepada pemprosesan pihak bank. GoLive Asia akan menghubungi pembeli untuk arahan lanjut jika ada masalah transaksi,” katanya, lapor SatuBerita.

Pada 6 September lalu, Bieber mengumumkan terpaksa berehat kerana faktor kesihatan dan tidak akan meneruskan konsert siri dunianya selepas beraksi di Rio, Brazil.

Dia berkata sekarang perlu fokus kepada kesihatan selepas terlalu penat selain diserang strok ringan pada wajahnya awal tahun ini.

“Awal tahun ini, saya dedahkan secara umum bahawa saya menderita Sindrom Ramsey-Hunt di mana sebahagian wajah saya lumpuh. 

“Disebabkan penyakit itu, saya tidak dapat lengkapkan baki Jelajah Justice di Amerika Utara,” katanya.

Penyanyi Peaches itu cuba kembali menjalani siri jelajah terbabit baru-baru ini selepas berehat secukupnya namun ternyata masih berdepan masalah kesihatan.

“Selepas berehat dan berunding dengan doktor, keluarga dan pasukan, saya ke Eropah sebagai usaha untuk teruskan siri jelajah itu. Saya beraksi di enam persembahan secara langsung tapi ia benar-benar memberi kesan besar kepada saya.

“Pada hujung minggu lalu, saya beraksi di Rock and Rio dan memberi sepenuh hati kepada peminat di Brazil. Selepas turun pentas, saya merasa kepenatan melampau dan sedar kena jadikan kesihatan sebagai keutamaan sekarang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here