DUA penuntut sebuah kolej ditahan kerana mencuri pakaian berjenama di sebuah pusat beli belah di Taman Melawati, Ampang, pukul 8.30 malam tadi.

Kejadian tersebut disedari pekerja pusat beli belah tersebut sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang berusia 21 tahun.

Difahamkan mereka masuk ke premis menjual pakaian sebelum berpura-pura ingin mencuba tiga pakaian bernilai RM429 di bilik persalinan.

Selepas mencuba pakaian itu, suspek terus beredar namun disedari pekerja premis terbabit yang kemudian menahan mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek.

“Polis merampas barang kes dan menahan suspek kerana disyaki melakukan jenayah curi dalam bangunan.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here