DATIN Seri Zizie Izette Abdul Samad akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa depan untuk semakan keputusan rasuahnya.

Permohonan tersebut akan didengar bersama permohonan semakan dibuat suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin di hadapan hakim yang sama.

Permohonan itu susulan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu, yang memerintahkan pasangan suami isteri berkenaan untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Sebelum ini mahkamah menetapkan prosiding semakan kes bagi Zizie Izette, 44, didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah manakala semakan kes bagi Bung Moktar, 64, di depan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid.

Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, Sequerah membenarkan permohonan Zizie Izette yang diwakili peguam, M Athimulan supaya notis usul bagi semakan kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi lain.

Ia diputuskan selepas Athimulan memaklumkan bahawa, pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan bagi permohonan pemindahan itu.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai, Athimulan berkata, permohonan akan dibuat 11 Oktober ini supaya kedua-dua notis usul berkenaan semakan itu didengar bersama.

“Kami harap ia akan didengar bersama pada tarikh tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria berkata, pendakwaan akan membuat hujahan terhadap permohonan penyatuan dan semakan keputusan yang difailkan Zizie Izette dan Bung Mokhtar pada 17 Oktober ini.

Pada 23 September lalu, Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menangguhkan prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen, selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan yang dibuat.

Permohonan untuk semakan itu dibuat dengan alasan hakim perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan mereka menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang juga saksi utama dalam kes terbabit.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga, didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette,manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here