Author: Wartawan WartaRakyat

  • ADUN Sungai Tiang letak jawatan Exco Kedah

    ADUN Sungai Tiang letak jawatan Exco Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob hari ini meletakkan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri yang memegang portfolio Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga berkuat kuasa serta-merta.

    Tanpa menyatakan sebab beliau berbuat demikian Suraya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO hanya memaklumkan mengenai peletakkan jawatan tersebut menerusi satu kenyataan, sebaik berakhir Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Bagaimanapun difahamkan, keputusan tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan desas-desus menyatakan beliau akan diangkat sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pendang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    “Adalah dengan ini saya dengan lafaz Bismillahirahmannirahim dan rela hati meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta.

    “Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah atas perkenan baginda melantik saya ke jawatan tersebut,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan exco, kepimpinan kerajaan negeri serta semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat.

    Suraya bertemu dengan Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum mesyuarat Exco pagi tadi bagi memaklumkan mengenai peletakan jawatannya.

    “Berjiwa besar, pastinya saya tidak akan lupa segala cabaran dan pengalaman membantu penyelarasan mempercepatkan projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu.

    “Usaha itu menyaksikan Kedah menerima manfaat bernilai RM2.62 bilion berikutan penstrukturan semula industri air negeri meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi menampung kos membina dua b LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang,” katanya.

    Tambahnya, antara pengalaman berharga buatnya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan kepada rakyat Kedah melibatkan dua takungan air pinggir sungai (TAPS), bagi menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.

    “Paling mencabar, sudah tentu saya dan rakan-rakan bertungkus-lumus menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap serta krisis air pada kemarau 2021.

    “Namun Alhamdulillah, berkat kesabaran, keikhlasan dan jati diri selaku anak jati Kedah, saya yakin diri ini telah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sedaya mungkin sebagai Exco kerajaan negeri, sebagaimana diamanahkan. Semoga Allah merahmati dan akan terus memayungi negeri ini dalam redaNya, insya Allah,” katanya.

  • Pas mahu tanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor

    Pas mahu tanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor

    PAS Pulau Pinang menyatakan kesediaan untuk bertanding di Parlimen Tasek Gelugor serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Malah, Yang Dipertua Pas Kawasan Tasek Gelugor, Sobri Saleh berkata, pihaknya juga sudah memuktamadkan senarai calon Parlimen termasuk kerusi-kerusi negeri sekiranya pembubaran sama turut berlaku di DUN Pulau Pinang.

    Ujar beliau, jentera PAS Kawasan Tasek Gelugor melibatkan ahli-ahli dalam struktur organisasi semua Cawangan berada pada kedudukan siap siaga untuk memenangkan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.

    Tambahnya, Pas Tasek Gelugor juga berpegang teguh kepada agenda penyatuan ummah yang mana merupakan jaminan ampuh menuju kepada kemenangan dan formula bagi menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH).

    “Sebagaimana muafakat telah terjalin antara Pas bersama semua parti Melayu-Islam dan NGO-NGO sebelum ini, kami menegaskan bahawa ikatan ini mesti terus disimpul kukuh tanpa tergugat oleh adu dan domba yang mahu memecahkannya.

    “Untuk itu, kebersamaan dan cita-cita ini mesti direalisasikan dengan memastikan strategi satu lawan satu, sekali gus Pas disokong dan didokong untuk bertanding di kerusi Tasek Gelugor oleh rakan-rakan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Sobri, Pas Tasek Gelugor yakin kaedah penyatuan ummah itu akan lebih memperkuatkan dan saling membantu tanpa adanya perpecahan dan perselisihan yang menghilangkan kekuatan yang mana akibatnya telah memberi kemenangan mudah kepada PH seperti pada PRU-14.

    Malah ujar beliau, ketika ini juga masa terbaik untuk dominasi DAP dan segala ketidakstabilan yang ditimbulkan mereka selama ini dapat dihenti atau ditamatkan dengan sokongan bersama parti dan NGO serta rakyat dalam kalangan bukan Melayu-Islam yang tidak ekstrem.

    “Insya-Allah, Pas Kawasan Tasek Gelugor akan mengemukakan calon yang istiqamah, berintegriti dan berwibawa serta sedia memberikan khidmat kepada rakyat secara adil selari aspirasi dihasratkan semua Keluarga Malaysia,” katanya.

    Pada PRU-14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi Datuk Shabudin Yahaya yang ketika itu bertanding atas tiket UMNO sebelum beliau melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Bagaimanapun, Shabudin baru-baru ini mengumumkan beliau tidak lagi akan bertanding di kerusi itu pada PRU-15 selepas mempertahankan kerusi tersebut selama dua penggal iaitu pada PRU-13 dan PRU-14.

  • Keputusan Gerakan Pulau Pinang guna logo sendiri pada PRU-15 diketahui Sabtu ini

    Keputusan Gerakan Pulau Pinang guna logo sendiri pada PRU-15 diketahui Sabtu ini

    JAWATANKUASA Kerja Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan Sabtu ini berhubung hasrat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang untuk menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pergerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pihaknya berharap cadangan itu mendapat pertimbangan sewajarnya memandangkan ia merupakan suara akar umbi parti tersebut yang mahukan Gerakan menggunakan logo sendiri kerana lebih dikenali pengundi parti itu.

    Sehubungan itu katanya, ahli-ahli Gerakan berpendapat pengundi lebih mengenali logo parti tersebut sekali gus tidak akan keliru ketika proses pengundian.

    “Selain isu penggunaan logo ini, mesyuarat Jawatankuasa Kerja PN Sabtu ini turut membincangkan isu-isu lain berkaitan PRU-15 termasuk soal calon,” katanya kepada pemberita di Bayan Baru hari ini.

    Sebelum ini, Parti Gerakan Pulau Pinang mencadangkan supaya logo parti itu digunakan untuk bertanding pada PRU-15 di Pulau Pinang meskipun parti itu di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, pengundi lebih mengenali logo Gerakan memandangkan parti itu yang ditubuhkan di Pulau Pinang mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang selama 39 tahun.

    Dalam perkembangan berkaitan, Tong Keong yang berkata, kesemua calon Gerakan pada PRU-15 akan melalui tapisan ketat dan perlu melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis dan sebagainya.

    Jelas beliau, senarai calon itu yang juga akan diputuskan Sabtu ini kemudiannya akan diserahkan kepada SPRM dan polis bagi tujuan tapisan serta saringan.

    Ditanya berkenaan kerusia yang akan ditandingi pula, Tong Keong berkata, Gerakan mungkin bertanding di lebih empat kerusi Parlimen dan lebih 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 sekiranya Pulau Pinang membubarkan DUN.

    “Mesyuarat bersama parti-parti komponen PN Pulau Pinang akan diadakan esok yang akan turut memutuskan mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti komponen PN kelak,” katanya.

  • Kes denggi di Kedah meningkat 133 peratus berbanding tahun lalu

    Kes denggi di Kedah meningkat 133 peratus berbanding tahun lalu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 952 kes demam denggi dengan dua kematian dicatatkan di Kedah setakat 8 Oktober 2022 iaitu peningkatan sebanyak 133.3 peratus daripada cuma 408 kes yang dicatatkan di negeri ini dalam tempoh sama pada tahun lalu.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, angka itu juga 36.2 peratus lebih tinggi berbanding 699 kes dicatatkan dalam tempoh sama pada 2020.

    Katanya, jumlah kes pada tahun ini bagaimanapun lebih rendah 30.5 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19 pada 2019, yang mencatatkan penurunan sebanyak 30.5 peratus.

    “Setakat 8 Oktober 2022, sebanyak 77 wabak denggi dicatatkan berbanding 15 wabak dalam tempoh sama pada tahun lalu. Daripada 77 wabak dicatatkan itu, terdapat lima ‘hotspot’ yang telah berjaya dikawal, 69 wabak telah tamat dan tiga lagi wabak masih aktif.

    “Analisa dijalankan Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menunjukkan, peningkatan ketara kes demam denggi di negeri ini bermula sejak Minggu epidemiologi 35 (ME35) bertarikh 28 Ogos 2022 hingga 3 September 2022 di tiga daerah iaitu Kota Setar, Langkawi dan Kubang Pasu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, antara mukim yang paling banyak melaporkan kes demam denggi adalah Kuah dan Ulu Melaka di Langkawi serta Mergong, Alor Malai, Derga, Kuala Kedah, Pengkalan Kundur dan Teluk Cengai di Kota Setar.

    “Selain itu Mukim Naga dan Jitra di Kubang Pasu turut mencatatkan kes demam denggi yang tinggi,” katanya.

    Jelasnya, aktiviti kawalan dan pencegahan telah dijalankan untuk semua kes dan wabak denggi dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

    Sebagai contoh katanya, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan telah dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal atau wabak.

    “Di samping itu, aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh negeri.

    “Bermula Januari 2022 hingga 8 Oktober 2022, sejumlah 266,420 premis telah diperiksa dan sebanyak 4,972 kompaun dengan nilai hampir RM2.4 juta telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang terdapat pembiakan aedes,” katanya.

    Menurutnya, kompaun tersebut dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).

  • Lelaki didenda RM4,500 sembelih babi di lokasi tidak dibenarkan

    Lelaki didenda RM4,500 sembelih babi di lokasi tidak dibenarkan

    SEORANG lelaki didenda RM4,500 dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai selepas didapati bersalah menyembelih babi di lokasi tidak dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Ogos lalu.

    Tertuduh, Tan Chun Siang, 42, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Savinder Singh.

    Mengikut pertuduhan, Chun Siang didapati telah menjalankan aktiviti penyembelihan babi bukan di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan oleh JPV Pulau Pinang iaitu di sebuah premis perniagaan di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, kira-kira pukul 12.50 pagi, 28 Ogos lalu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Kaedah 5(1) iaitu Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan 2009) Akta Binatang 1953 [Akta 647] yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan supaya dua bilah pisau serta tiga set penyangkut daging yang dipercayai digunakan untuk aktiviti itu dilupuskan kepada jabatan berkenaan.

    Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut hari ini.

    Ini merupakan kes ketiga yang dibawa ke mahkamah olen JPV Pulau Pinang sejak peraturan berkaitan tempat penyembelihan haiwan dikuatkuasakan di negeri itu bermula Mei lalu.

  • Kes basikal lajak: Rayuan Sam didengar Mac tahun hadapan

    Kes basikal lajak: Rayuan Sam didengar Mac tahun hadapan

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 31 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Sam Ke Ting membatalkan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu yang mengorbankan lapan remaja berbasikal di Johor pada 2017.

    Pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran itu semasa pengurusan kes rayuan tersebut pagi ini.

    Peguam Harvinderjit Singh pula mengesahkan tarikh perbicaraan ketika dihubungi media hari ini.

    “Pihak yang terlibat memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan telah diterima dan petisyen rayuan telah difailkan.

    “Rayuan akan didengar pada 31 Mac 2023. Pihak yang terbabit akan memfailkan penghujahan bertulis pada atau sebelum 16 Mac 2023.

    “Pengurusan kes akhir akan dibicarakan pada 17 Mac 2023,” katanya lapor MalaysiaKini.

    Selain Harvinderjit, Sam, 27, turut diwakili peguam Faizal Mokhtar, Farhan Read dan Yasmeen Soh.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mewakili pihak pendakwaan.

    Pada 18 April, Mahkamah Rayuan memberikan kebenarannya untuk Sam memulakan rayuan,.

    Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan hukuman penjara 27 tahun itu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

    Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM10,000 sedia ada dengan seorang penjamin.

    Memandangkan kes itu pada mulanya bermula di mahkamah majistret dan bukannya mahkamah sesyen, Sam perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan sebelum dia boleh meneruskan proses tersebut.

  • PRU-15:Najib dinamakan sebagai antara lima calon Parlimen Pekan

    PRU-15:Najib dinamakan sebagai antara lima calon Parlimen Pekan

    DATUK Seri Najib Razak kekal sebagai antara lima calon yang diketengahkan untuk Parlimen Pekan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Zamri Ramly, nama-nama berkenaan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk keputusan muktamad.

    Pada masa sama beliau menolak spekulasi sebelum ini bahawa bahagian itu akan menamakan dua anak Najib, Nizar atau Nooryana Najwa, bertanding di kerusi berkenaan.

    “Tidak ada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.

    “Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya menurut MalaysiaKini yang memetik laporan Utusan Malaysia.

    Laporan Utusan Malaysia itu turut melaporkan Zamri bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri bertanding di Pekan pada PRU-15 ini.

    Najib yang juga penyandang kerusi itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atasnya berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

    Pada PRU-14, Najib menang kerusi Pekan dengan majoriti besar 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya.

  • Muda guna logo PH pada PRU-15

    Muda guna logo PH pada PRU-15

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Ketua Parlimen DAP Malaysia, Nga Kor Ming mengumumkan persetujuan kerjasama politik tersebut menerusi ciapan dalam akaun Twitternya hari ini.

    “Muda akan menjalin kerjasama dan guna logo PH untuk bertanding di PRU-15. Bersatu kita kukuh, harapan untuk Malaysia,” ciap beliau, sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Menerusi ciapan itu, bekas Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut memuat naik poster PH menyokong kempen satu jari tolak rasuah yang digerakkan Pasukan Rasuah Busters demi Malaysia yang lebih baik.

    Media semalam melaporkan, PH mengesahkan akan mengadakan kerjasama politik dengan Muda dalam menghadapi PRU-15.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Menurut beliau, permohonan Muda untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diperoses, kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.

    “Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama, dan begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo… dan kita tiada halangan,” katanya.

  • UMNO yang mahu PRU awal, jangan salahkan pihak lain – Tun M

    UMNO yang mahu PRU awal, jangan salahkan pihak lain – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya menyalahkan tindakan 12 menteri Kabinet yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kononnya penyebab membubarkan Parlimen.

    Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, sememangnya UMNO itu sendiri yang mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal.

    Jelasnya, walaupun Perdana Menteri berhak membuat keputusan sendiri, tetapi dalam kerajaan campuran perlu mendapat persetujuan parti komponen yang berhak memberi pandangan mereka.

    “Memang pun UMNO yang hendak PRU awal, pedulikan banjir. Yang penting ialah UMNO menang dan penjenayah-penjenayah elak dari dihukum segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Selasa lalu, Ismail Sabri berkata, keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Al-Sultan Abdullah.

    Justeru, pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran Kerajaan.

    Tambahnya, tindakan menteri terbabit membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

    Beliau merujuk kepada kenyataan media Istana Negara pada Isnin yang menyatakan Al-Sultan Abdullah kecewa dengan perkembangan politik semasa tanah air.

  • Wujudkan sistem bersepadu, pastikan tiada tercicir daripada terima bantuan

    Wujudkan sistem bersepadu, pastikan tiada tercicir daripada terima bantuan

    SATU sistem bersepadu untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat perlu dibangunkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau  yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan.

    “Hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir. Pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.

    “Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan ahli akademik.

    Mengulas mengenai sistem bersepadu itu, Muhyiddin berkata, mekanisme tersebut akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan.

    Katanya, langkah itu boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.

    “Sebagai contoh, Abu mempunyai tiga orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Status Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

    Muhyiddin berkata, sistem bersepadu itu juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.

    Selain itu, katanya, mengambil kira kemelut yang sedang dihadapi rakyat, usaha menangani jurang ekonomi dan kemiskinan perlu menekankan aspek keterangkuman dalam strategi pemulihan negara.

    Jelas beliau, Langkah itu penting untuk meningkatkan momentum pemulihan negara ke suatu tahap yang lebih tinggi.

    Katanya, agenda pemulihan yang bersifat inklusif akan dapat memastikan tiada golongan terpinggir, khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta pribumi Sabah dan Sarawak.

    “Kita mahu mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama atau WKB2030.

    “Saya berharap Seminar Kebangsaan ini dapat menjadi wadah penting dalam menggagaskan idea yang bernas dan praktikal untuk menghasilkan strategi ampuh pemulihan negara yang menyeluruh, agar kita dapat mencapai tahap lebih baik daripada sebelum terjadinya pandemik,” katanya.