Author: Wartawan WartaRakyat

  • Peguam Najib dakwa RM46 juta duit Najib di kondo, dicuri

    Peguam Najib dakwa RM46 juta duit Najib di kondo, dicuri

    PEGUAM Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa RM46 juta milik bekas Perdana Menteri itu yang disimpan di sebuah unit kondominium Pavilion Residence di Kuala Lumpur, dicuri.

    Muhammad Shafee berkata, ia berikutan wang keseluruhan yang disimpan berjumlah RM160 juta, namun polis hanya menemui RM114 juta yang didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika menyerbu premis itu pada 17 Mei 2018.

    “Pihak berkuasa itu juga tidak mengira wang di lokasi serbuan, sebaliknya di tempat lain yang menimbulkan pelbagai persoalan.

    “Selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei 2018, ada serbuan dan banyak barang dirampas di premis itu. Kerajaan baharu ketika itu diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan wang itu dicuri daripada 1MDB.

    “Najib memaklumkan wang yang ada adalah RM160 juta bukan RM114 juta. Maka, ada orang mencuri sejumlah wang itu. Polis pun tidak beritahu bagaimana wang ditemui itu dibungkus dan tidak menyerahkan senarai barang rampasan kepada penghuni premis itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini, selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kerajaan melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

    Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan didakwa milik Najib serta Rosmah disita di Pavilion Residence, milik Obyu Holdings Sdn Bhd.

    Pada 20 Mei 2021, kerajaan gagal dalam permohonan untuk melucut wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita, didakwa milik Najib dan UMNO.

    Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

    Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, selain itu, dalam premis itu ada jam tangan milik Najib dan beg tangan milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Menurutnya, mahkamah ada membuat keputusan mengenai perkara itu antaranya RM114 juta diserahkan kembali kepada Najib dan mengesahkan ia tiada kena mengena dengan 1MDB.

    Muhammad Shafee berkata, Najib sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu.

    “Kita minta polis siasat polis (yang serbu premis itu). Ia akan mengambil masa. Kita akan ambil tindakan lain, tunggu masa yang sesuai,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ditanya permohonan Najib kepada Jabatan Penjara untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Muhammad Shafee berkata tidak tahu mengenainya.

    “Saya juga tidak pasti jabatan itu membenarkan banduan untuk keluar mengundi. Sudah tentu pengarah dan pegawai penjara dibenarkan pergi mengundi,” katanya.

  • Bosan konflik dalaman, 63 ahli UMNO sertai PN

    Bosan konflik dalaman, 63 ahli UMNO sertai PN

    KEMENANGAN bergaya UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akhir tahun lepas rupa-rupanya tidak mampu bertahan lama, apabila rakyat mulai sedar keadaan sebenar.

    Krisis dalaman UMNO tidak mampu dipertahankan lagi sehingga menimbulkan perasaan cemuh dalam kalangan ahli dan penyokong.

    Bosan terhadap perkembangan yang berlaku itu menjadi punca 63 bekas ahli dan penyokong Umno di Masjid Tanah mengumumkan keluar dari parti itu dan menyertai PAS.

    Malam tadi mereka menyerah borang kepada kepada Yang Dipertua Pas Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman sempena program ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Sungai Tuang.

    Borang permohonan menyertai Pas diserahkan wakil ahli-ahli UMNO, Saari Bakar, 75.

    Ketika ditemui Saari yang tinggal di Kampung Air Hitam Darat berkata, beliau menyertai Pas kerana bosan dengan pelbagai masalah yang melanda Umno sekarang.

    “Sekarang UMNO bergolak, pemimpin yang terbabit rasuah pun ramai. Itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan keluar UMNO. Kita tak nak subahat.

    “Saya bersama kawan-kawan termasuk dari kampung-kampung lain semuanya 63 orang yang serah borang menyertai PAS,” katanya lapor Harakahdaily.

    Menurutnya juga beliau melihat kredibiliti calon PN yang bertanding dan bukan sekadar taksub kepada parti.

    Seorang lagi ahli UMNO Yusuf Tan, 65 berkata beliau tertarik menyertai Pas kerana perjuangan Islam yang dibawa parti itu.

    “Islam ni agama kita dan agama rasmi negara. Dan Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam,” kata beliau yang merupakan bekas ahli jawatankuasa UMNO Masjid Tanah.

    Menurutnya juga sudah lama hasratnya mahu menyertai Pas, namun terpengaruh dengan hasutan pemimpin UMNO yang menghodohkan imej Pas.

    Sementara itu, Imran berkata, tindakan ahli-ahli UMNO keluar parti dan menyertai Pas membuktikan perjuangan Pas semakin mendapat tempat di hati rakyat.

    Katanya perkembangan yang berlaku itu agak luar biasa kerana jarang berlaku sebelum ini kerana Umno mempunyai kemampuan material yang hebat.

    “Ini menunjukkan keberanian dan keikhlasan mereka untuk menyertai PAS. Saya percaya ini petanda kemenangan Pas dan PN semakin hampir,” ujarnya.

    Hadir sama pada program ceramah itu calon PN Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Naib Yang Dipertua, Azmi Sambul.

    Pada PRU kali ini Parlimen Masjid Tanah menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Mas Ermieyati ditentang calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar, Abdul Hakim (BN) dan Mutalib Uthman (PH).

  • Pilih Tok Penghulu pun mesti orang berakhlak, kata Muhyiddin

    Pilih Tok Penghulu pun mesti orang berakhlak, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, perlu memilih pemimpin yang mempunyai akhlak baik dan terpuji untuk mentadbir, supaya negara tidak rosak.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dalam memilih pelbagai peringkat pemimpin, rakyat pastinya mahukan individu yang bersih serta amanah untuk memimpin mereka.

    “Bila mana kita nak menilai seorang pemimpin mesti ada nilaian-nilaian tertentu. Kalau nak jadi ketua kampung pun dinilai. Nak jadi tok penghulu dan pegawai kerajaan pun dinilai… nak jadi pegawai daerah juga ada nilaiannya.

    “Apa lagi kalau ianya untuk menjadi seorang pemimpin utama negara… sebagai Perdana Menteri perlu dinilai terutama dari segi akhlak dan amanah supaya negara tidak rosak dan terjerumus ke dalam lubang yang paling dalam,” katanya.

    Muhyiddin berkata demikian pada Jelajah PN BEST di Parlimen Tambun semalam.

    Kata Muhyiddin, rakyat sudah pasti tidak mahu sejarah hitam pentadbiran lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) dan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), berulang semula.

    “Sejarah hitam negara telah berlaku dan kita pastinya tidak mahu perkara itu berulang. Jangan salah buat pilihan mengundi UMNO, BN dan PH.

    “Tetapi sekarang ini sudah tertubuh Perikatan Nasional… bermakna sudah ada satu pilihan baru. Yang pastinya kalau dinilai dalam tempoh yang begitu singkat Perikatan Nasional adalah satu pilihan yang terbaik.

    “Kepimpinan Perikatan Nasional sentiasa prihatin kepada permasalahan rakyat selain nilai akhlak pemimpinnya lebih bersih daripada BN dan PH. Tidak ada skandal atau rasuah yang melibatkan pemimpin Perikatan Nasional,” katanya lagi.

    Muhyiddin berkata dalam kalangan pemimpin BN wujud mereka yang tidak amanah dan terlibat menerima rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa selama memerintah Malaysia.

    Begitu juga katanya dalam kalangan pemimpin PH yang tidak bermoral dan terlibat dengan isu akhlak sehingga dituduh di mahkamah dan dihukum penjara.

    “Adakah rakyat mahukan pemimpin rasuah dan tidak berakhlak memimpin negara. Jika ini berlaku negara akan rosak lebih teruk,” katanya.

    Muhyiddin berkata namun, pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini tidak terlibat dengan kes-kes mahkamah sebaliknya, telah mengurus negara, terutama menangani Covid-19 iaitu wabak yang tidak pernah berlaku dan diketahui sebelum ini, dengan cara terbaik.

    Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.

  • Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme

    Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut cermin diri sendiri sebelum bercakap mengenai menentang nepotisme dan menyokong reformasi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Anwar sendiri mengamalkan nepotisme apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Itulah nepotisme pada tahap tertinggi. Tidak kisahlah apa yang Anwar cakap mengenai orang lain termasuk saya sendiri, beliau perlu cermin diri sendiri.

    “Anwar sentiasa bercakap mengenai reformasi dan (mendakwa) menentang amalan nepotisme tetapi menariknya mengenai Anwar ialah beliau sendiri contoh nepotisme,” kata Saifuddin, lapor portal BeritaBersatu.

    Kata Saifuddin, satu lagi contoh adalah Langkah Kajang pada 2014 apabila PKR mahu menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cuba meletakkan Anwar sebagai ADUN Kajang.

    Bagaimanapun, Anwar tidak layak kerana ada kes mahkamah dan digantikan dengan isterinya.

    Saifuddin mengkritik Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana meminta pengundi tidak mengundi pemimpin yang berpaling tadah kepada parti lain.

    “Pemimpin sebenar tidak membuat serangan peribadi. Pemimpin sebenar bercakap mengenai dasar dan manifesto mereka. Rumusan saya adalah mudah, mereka (PH) tidak ada calon yang baik untuk menentang saya,” katanya.

    Saifuddin bakal mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan buat penggal kedua. Beliau dicabar Quek Tai Seong daripada Barisan Nasional (BN) Zuraidi Ismail (PH) dan Mohamad Nor Sundari (Pejuang).

  • Selamatkan hutan simpan, kawasan sensitif alam sekitar daripada aktiviti perlombongan

    Selamatkan hutan simpan, kawasan sensitif alam sekitar daripada aktiviti perlombongan

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar dan persatuan pengguna menggesa supaya aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dihentikan segera.

    Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa negeri terutama di Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang perlu mempertimbangkan semula dan membatalkan kelulusan operasi perlombongan di kawasan-kawasan tersebut di negeri masing-masing.

    Menurut beliau, gesaan dan pertimbangan itu selari dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014 yang memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK dan KSAS.

    “Kewajaran MTN melaksanakan ketetapan tersebut adalah kerana aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat CAP, di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Antara yang hadir pada sidang akhbar itu ialah Pegawai Penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman dan Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd. Sobri Ramlee.

    Mohideen mengambil contoh lokasi cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah yang mana terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang).

    Katanya, berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan sekali gus tidak boleh dikeluarkan dari kawasan HSK.

    Sehubungan itu, pihaknya tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa negeri iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (agensi yang mengurus dan mempunyai bidang kuasa terhadap HSK) dan Menteri Besar Inc. (anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah) yang diberi permit penggunaan bagi menjalankan aktiviti dalam HS Bukit Enggang tidak mempersoalkan dua agensi berkaitan.

    “Adalah mustahil kedua-dua agensi itu langsung tidak mengetahui apa yang berlaku sedangkan ia merupakan kawasan larangan bagi yang tidak berkenaan.

    “Malah, perkara ini diketahui umum hanya selepas pihak media mendedahkan isu kecurian REE di HS Bukit Enggang,” katanya.

    Sehubungan itu tambah Mohideen, pihaknya menggesa semua pihak berkuasa negeri mengambil tindakan menghentikan dan tidak membenarkan sebarang kegiatan yang berisiko seperti aktiviti perlombongan di kawasan HSK dan KSAS.

    Tegas beliau, kerajaan negeri tidak seharusnya mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak mengendahkan kesejahteraan rakyat serta alam sekitar.

  • Bukan lagi ‘underdog’, PN kini gabungan berpengaruh – Muhyiddin

    Bukan lagi ‘underdog’, PN kini gabungan berpengaruh – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) bukan lagi ‘underdog’ atau pesaing parti politik bukan pilihan di negara ini kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, PN kini sebuah sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu.

    “PN bukan lagi ‘underdog’ tetapi sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu.

    “Saya telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang. Semalam dan malam tadi juga saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh.

    “InsyaAllah, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, Perikatan Nasional mampu memenangi PRU-15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat,” katanya menerusi catatan di Facebook.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, rakyat Malaysia perlu membuat pilihan yang tepat dan tidak boleh salah membuat pilihan bagi memilih kerajaan menjelang hari pengundian Sabtu ini.

    Beliau berkata, rakyat tidak mahu sejarah hitam berulang dengan menjadikanu UMNO/BN, parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali menerajui kerajaan.

    “Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan. Ada beberapa contoh kes parti yang dipimpin oleh Anwar ini tidak langsung menghormati hak-hak Bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah Perlembagaan dan hak kaum-kaum lain.

    “Banyak lagi perkara tidak sepatutnya berlaku yang jika dibiarkan akan membawa musibah besar. Lebih-lebih lagi jika pemimpin yang hendak dipilih itu tidak berakhlak.

    “Justeru marilah kita beramai-ramai memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk negeri ini keluar mengundi dan memenangkan Perak untuk Perikatan Nasional,” katanya.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, lahirnya PN adalah untuk menawarkan pilihan baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

    Malah kata beliau, PN menawarkan Tawaran PN yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN.

    “PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi,” tambahnya.

  • Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera dakwa Muhyiddin

    Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera dakwa Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP bukan sahaja tidak menyokong malah cuba mensabotaj agenda Bumiputera ketika Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, dalam sesi rundingan Bajet 2020, Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng tidak memberikan satu sen pun kepada TERAJU walhal dalam Rancangan Malaysia Ke-10, TERAJU diberikan siling peruntukan RM2 bilion.

    Katanya, tindakan Guan Eng itu menyebabkan 200 syarikat Bumiputera terjejas dan 10,000 peluang pekerjaan baharu tidak dapat diwujudkan.

    “Satu lagi ialah EKUINAS, pada tahun 2019, Lim Guan Eng menulis surat kepada Tun Dr Mahathir meminta supaya dana EKUINAS berjumlah RM2.4 bilion dikembalikan kepada Kementerian Kewangan dan EKUINAS ditutup.

    “Cubaan Lim Guan Eng ini gagal kerana dibantah oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

    TERAJU adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk maju terutamanya dalam bidang-bidang ekonomi yang berdaya saing.

    EKUINAS pula sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerana marah cubaannya menutup EKUINAS gagal, dalam Bajet 2020, Lim Guan Eng hanya menyediakan peruntukan token sebanyak RM100 kepada EKUINAS.

    “Apa yang boleh dibuat dengan peruntukan hanya RM100? Sedangkan fungsi EKUINAS ialah untuk menyuntik modal pelaburan dalam sektor strategik dan kompetitif untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian ekonomi bernilai tambah tinggi.

    “Datuk Seri Azmin beritahu saya beliau terpaksa merayu kepada Dr Mahathir supaya peruntukan kepada TERAJU dan EKUINAS dinaikkan. Ada bukti surat yang ditunjukkan kepada saya,” katanya.

    Muhyiddin menjelaskan, itu adalah satu bentuk sabotaj terhadap agenda Bumiputera.

    “Jadi jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain tinggalkan PH.

    “Saya ingatkan pengundi Tambun supaya jangan undi PH yang dikuasai oleh DAP,” tambahnya.

  • Sanusi selar pelakon susulan kenyataan didakwa guris ‘musuh Islam’

    Sanusi selar pelakon susulan kenyataan didakwa guris ‘musuh Islam’

    PENGARAH pilihan raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengecam seorang pelakon tempatan yang dikatakan mengeluarkan kenyataan terhadap ‘musuh Islam’ atau ‘kafir harbi’.

    Pelakon itu, yang namanya dirahsiakan sementara menunggu komen, didakwa membuat kenyataan itu ketika berucap pada satu majlis di Terengganu awal bulan ini.

    Sebuah video kenyataan pelakon itu telah menjadi viral, dan pengguna media sosial telah mempersoalkan Pas berhubung perkara itu kerana pelakon itu dilihat berkempen untuk parti itu.

    Bercakap kepada pemberita selepas satu majlis di Ipoh malam tadi, Sanusi berkata pelakon itu tidak mewakili Pas.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berucap pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, malam tadi. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Beliau berkata, hanya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan boleh bercakap bagi pihak parti, sambil menambah beliau sendiri tidak berani berbuat demikian.

    “Berbahaya bercakap seperti itu, anda boleh ditangkap,” kata Sanusi ketika diminta mengulas kenyataan pelakon itu, lapor FMT.

    Sanusi menegaskan Pas tidak pernah menyuruh melakukan keganasan terhadap sesiapa sepanjang 32 tahun memerintah Kelantan, sambil menambah, rakyatnya dari semua lapisan masyarakat hidup aman dan harmoni.

  • PRU-15: ‘PN perlu menang di Pulau Pinang untuk bentuk kerajaan’

    PRU-15: ‘PN perlu menang di Pulau Pinang untuk bentuk kerajaan’

    SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Pulau Pinang perlu menang bagi menyumbang dua pertiga majoriti untuk membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meletakkan harapan semua calon yang bertanding dapat menang berikutan gelombang dan kebangkitan rakyat terhadap PN semakin jelas ditunjukkan ketika ini.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, dalam usaha memperoleh majoriti dua pertiga, PN perlu menang di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Balik Pulau.

    Katanya, Pas memilih berada dalam PN demi penyatuan ummah dan berharap dapat bersatu padu dalam membentuk kerajaan.

    “Seboleh-bolehnya kita (PN) kena dapat majoriti dua pertiga, maka semua kawasan yang kita bertanding di Pulau Pinang (Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau) mesti dimenangkan.

    “Pada 20 November ini, kita tubuh kerajaan, dengan izin Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kubang Semang, Penanti, Bukit Mertajam, malam tadi.

    Sementara itu, Abdul Hadi mengulangi kenyataan PN dalam usaha menawan Perlis dan Pahang yang mana gelombang baharu sokongan rakyat di kedua-dua negeri itu amat tinggi selepas meletakkan bekas pemimpin UMNO yang digugurkan daripada bertanding pada PRU-15.

    Menurutnya, PN memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin itu selepas mereka dicantas parti seterusnya membangkitkan gelombang PN di Perlis dan Pahang.

    “Kita dapati apabila kita buat begini (ambil dua bekas pemimpin UMNO) ada gelombang di Perlis dan Pahang.

    “Jadi, kita harap dapat tawan kedua-dua negeri itu dalam PRU-15 kali ini,” katanya lapor BH Online.

  • Muhyiddin umum benar KWSP bersasar jika PN Kerajaan Pusat

    Muhyiddin umum benar KWSP bersasar jika PN Kerajaan Pusat

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi jaminan akan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) secara bersasar sekiranya dipilih membentuk Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan itu – walaupun ianya tiada dalam manifesto – ketika berucap pada Jelajah PN BEST Parlimen Tambun di Ipoh, Perak, malam tadi.

    Sebelum ini, pada 6 November lalu, ketika majlis menjawab soalan peserta pada dialog sempena pelancaran manifesto PN di Shah Alam, Muhyiddin hanya berkata Perikatan Nasional akan mempertimbangkan pemberian KWSP bersasar itu jika menang PRU-15 ini.

    “Antara perkara yang berbangkit ialah minta supaya abah ni benarkan lagi sekali pengeluaran KWSP.

    “Tak ada dalam manifesto… tapi dulu pun kita buat pun tak ada dalam manifesto insya-Allah bila mana kita menang antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah tentang KWSP bersasar.

    “Kalau kita lihat yang dahulu, kita dah benarkan berapa kali… I-Sinar, I-Lestari… walaupun awalnya agak sukar tapi lepas itu dipersetujukan,” katanya pada majlis dialog itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Calon Perikatan Nasional Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika hadir pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, malam tadi. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Bagaimanapun, malam tadi, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan pengeluaran KWSP bersasar akan dibenarkan jika PN menang dan membentuk kerajaan Pusat.

    “Kami (Perikatan Nasional) akan melaksanakan KWSP bersasar… maknanya kalau mereka memerlukan… ada lagi dana dalam KWSP… boleh dikeluarkan sebahagiannya kita akan benarkan ia dikeluarkan.

    “Arahan daripada pihak kerajaan, Kabinet, maka KWSP perlu mengeluarkan. Insya-Allah mungkin dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama jika Perikatan Nasional menang dan menubuhkan Kerajaan Pusat isu KWSP dibenarkan,” katanya lapor Agendadaily.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan berkata, rakyat sudah tidak mahu menunggu lagi sekarang untuk membuat perubahan kehidupan mereka setelah melalui zaman gelap pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi PN bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.