Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kerajaan Perpaduan: Masih terima penyertaan parti lain termasuk PN – Anwar

    Kerajaan Perpaduan: Masih terima penyertaan parti lain termasuk PN – Anwar

    KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka menerima mana-mana parti politik lain untuk menyertainya, ini termasuklah Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Anwar, kerajaannya kini dianggotai oleh tiga blok politik terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sawarak (GPS).

    “Kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini menetapkan penyertaan setakat ini tiga komponen terbesar Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan GPS.

    “Jadi soal kestabilan tidak berbangkit, soalnya apakah Kerajaan Perpaduan yang juga disertai beberapa parti lain termasuk Warisan, MUDA dan Bebas.

    “Saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini satu, saya masih tunggu kesediaan rakan-rakan termasuk dari Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media malam ini lapor UtusanTV.

    Anwar pada masa sama memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Timbalan Perdana Menteri dari komponen kuat yang lain, iaitu Barisan Nasional.

    “Kepada Sabah dan Sarawak, yang terkuat antara Sabah dan Sarawak adalah GPS,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

  • Cuti umum Isnin ini – PM Anwar

    Cuti umum Isnin ini – PM Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 Nov sebagai cuti umum sempena pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

    Beliau berkata cuti yang asalnya dicadang diberikan esok terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif hari ini.

    “Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar. 

    “Justeru, saya putuskan esok tidak boleh diberi cuti umum tetapi diganti dengan hari Isnin (28 Nov),” katanya pada sidang media pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberikan cuti umum itu namun ia tertangguh susulan urusan penubuhan kerajaan belum selesai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.

    Terdahulu, orang ramai mula mempersoal di media sosial sama ada esok akan diberikan cuti peristiwa atau sebaliknya sempena pengumuman Perdana Menteri ke-10 pagi tadi.

    Ringgit meningkat 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS hari ini dan pada 6 petang, ringgit naik 815 mata peratusan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5725/5775 pada Rabu.

    Bursa Malaysia ditutup tinggi pada paras tertinggi tiga bulan dengan indeks utama meningkat sebanyak 4.04 peratus berikutan sentimen pasaran menaik susulan situasi politik tempatan mereda serta perkembangan luaran positif yang mendorong minat risiko pelabur.

    Ditanya tentang pendiriannya yang sebelum ini enggan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata beliau kekal dengan keputusan itu.

    Tegasnya keputusan itu sebagai langkah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, menteri dan pemimpin parti.

    “Tidak… saya telah umumkan bahawa itu langkah pertama untuk pulihkan keyakinan rakyat supaya tak lihat menteri dan pemimpin itu, tak kira parti dan agama, semuanya hanya fikir gaji, kepentingan, kontrak dan saham… maka saya pilih untuk tolak gaji PM,” katanya.

    Anwar juga memaklumkan beliau akan memulakan tugas sebagai Perdana Menteri secara rasmi di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya sebelum 10 pagi esok.

    Perdana Menteri berkata pegawai beliau telah memintanya berada di pejabat pada 8 pagi namun terpaksa dianjak ke 10 pagi kerana terdapat mesyuarat yang perlu dihadiri sebelum ke sana.

    Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas negara berdepan kemelut politik yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15. – BERNAMA

  • Kita telah berusaha sedaya upaya – Hadi

    Kita telah berusaha sedaya upaya – Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) telah berusaha sedaya upaya membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN itu berkata, seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima beliau.

    Menurut beliau, PN akan terus berkhidmat kepada rakyat dan terus berbakti kepada negara.

    “Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

    “Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mengingatkan kepada rakyat khasnya penyokong PN bahawa segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya.

    Namun katanya, apa yang penting bagi PN ialah jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

    “Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

    “Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

    Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 berakhir setelah Anwar diumumkan sebagai pemimpin nombor satu negara sekali gus mengangkat sumpah hari ini.

    Keputusan PRU-15 Ahad lalu menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH dan sekutunya memenangi 83 kerusi manakala PN 73 kerusi.

  • Usah bersedih, kebangkitan rakyat terus disemarakkan PN – Radzi

    Usah bersedih, kebangkitan rakyat terus disemarakkan PN – Radzi

    RAKYAT terutamanya penyokong Perikatan Nasional (PN) diminta tidak bersedih susulan kegagalan gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebaliknya berkata, api perubahan dan kebangkitan rakyat akan terus disemarakkan PN.

    Menurutnya, beliau maklum ramai dalam kalangan sahabat penyokong gabungan itu sedih apabila PN tidak dapat membentuk kerajaan.

    “Ini termasuklah penjawat awam yang bersama-sama memberi dokongan kepada kami, khususnya di Putrajaya.

    “Usah bersedih sahabat semua. Api perubahan dan kebangkitan rakyat ini akan terus kita semarakkan.

    “Perjuangan membina Malaysia yang lebih gemilang berpaksikan prihatin, bersih dan stabil tidak akan terhenti hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook malam ini,

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, setiap yang berlaku ada hikmahnya dan sehubungan itu PN terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan.

    Tegas beliau, gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU-15 yang lalu adalah luar biasa.

    “Fakta yang perlu direkodkan, sepertimana disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perikatan Nasional telah mengemukakan Akuan Bersumpah daripada lebih 112 orang Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 November 2022.

    “Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan. Gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU15 yang lalu adalah luar biasa!,” tambah beliau.

  • Harimau bintang dikesan di bawah rumah depan sekolah

    Harimau bintang dikesan di bawah rumah depan sekolah

    KEHADIRAN seekor harimau bintang dikesan berada di bawah sebuah rumah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Sasak, Lipis pukul 5.39 petang tadi.

    Empat pegawai dan anggota dari unit kecemasan binatang buas Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis bergefas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan terbabit.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sebaik tiba dilokasi didapati seekor haiwan liar iaitu harimau bintang berada di bawah rumah terbabit.

    “Kita seterusnya melaporkan perkara ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

    “Pihak bomba kini menunggu pasukan pelali dari Perhilitan ke lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Remaja lelaki diberkas kes cabul kanak-kakak dalam lif

    Remaja lelaki diberkas kes cabul kanak-kakak dalam lif

    SEORANG kanak-kanak perempuan menjadi mangsa cabul ketika berada di dalam lif di sebuah kediaman dekat Putrajaya semalam.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu diceritakan mangsa berusia 12 tahun kepada ibunya pada pukul 8.20 pagi.

    “Mangsa memberitahu ketika menaiki lif dari aras G untuk ke tingkat lapan, dia telah diraba dan pipinya dicium oleh suspek lelaki.

    “Suspek kemudian dikatakan terus lari di tingkat empat blok kediaman itu dan turun ke tingkat G sebelum menghilangkan diri dengan menaiki kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat ibu mangsa di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, hari ini.

    “Siasatan awal mendapati suspek berusia 19 tahun itu dikatakan pernah menjadi anak murid kepada ibu mangsa di sebuah sekolah di Putrajaya,” katanya.

    Bertindak hasil maklumat ujarnya, remaja lelaki terbabit berjaya diberkas di Pasar Kajang pada petang tadi.

    Tambahnya, reman akan dipohon esok untuk siasatan kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

  • Pasca PRU-15: TPM wajar ditawarkan kepada GPS – Abang Jo

    Pasca PRU-15: TPM wajar ditawarkan kepada GPS – Abang Jo

    TAWARAN jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seharusnya dipertimbangkan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana ia memiliki jumlah kerusi yang terbesar dalam blok Borneo.

    Walaupun tidak menyatakan secara jelas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa kerajaan baharu harus mengambil kira perkara ini bagi mengukuhkan perpaduan.

    “Harus diingat kita (GPS) merupakan blok terbesar dengan 23 Ahli Parlimen, blok kita sangat besar,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PBB hari ini.

    GPS menguasai 23 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di Borneo.

    Dalam sidang media yang sama beliau berkata, pihaknya amat terbuka dan berbesar hati menerima permohonan maaf DAP yang disifatkannya sebagai sesuatu yang amat positif.

    “Yang penting mereka meminta maaf, ini bermakna mereka mengakui kesilapan mereka. Jadi ini membuka lebaran baru. Namun pada masa sama mereka harus menghormati SUPP daripada parti komponen GPS.

    “Ini membuktikan kami betul sejak dari awal dan politik kami bersih, kalau tidak mereka tidak akan minta maaf,” katanya lapor Astro Awani.

    Pun begitu keadaan di peringkat persekutuan tersebut tidak menjejaskan status DAP sebagai pembangkang di peringkat kerajaan negeri.

    Untuk rekod DAP memegang hanya dua kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

  • Kami akur titah Agong, kata GPS

    Kami akur titah Agong, kata GPS

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menasihati supaya membentuk kerajaan perpaduan demi mengatasi kemelut politik, kata pengerusinya, Abang Johari Openg.

    Bagaimanapun, Premier Sarawak itu berkata, soal lantikan Kabinet Persekutuan terserah kepada Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10 hari ini.

    Menurut Abang Johari, titah baginda diterima selepas rombongan GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong yang diketuai Fadillah Yusof ke Istana Negara semalam.

    “Baginda menasihati untuk membentuk kerajaan Perpaduan demi mengatasi kemelut politik,” katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini lapor Malaysia Now.

    “GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia.”

    Sementara itu, Abang Johari berkata, GPS turut menerima permohonan maaf daripada DAP yang dibuat menerusi kunjungan setiausaha agung parti itu Anthony Loke sebelum disusuli oleh Lim Guan Eng melalui akaun Facebook hari ini.

    “Kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka dan jiwa yang besar,” katanya. 

    Pada masa sama, Abang Johari turut mengingatkan supaya DAP terus menghormati parti-parti komponen GPS pada masa hadapan.

    Ditanya mengenai hubungan GPS dan DAP di Sarawak, beliau menyifatkan keadaan adalah seperti biasa.

    “Mereka tidak bersama kerajaan di sini, mereka masih pembangkang,” katanya menjawab soalan wartawan.

  • Kerajaan pimpinan PH tidak kekal lama – Shahidan

    Kerajaan pimpinan PH tidak kekal lama – Shahidan

    KERAJAAN Persekutuan diketuai Pakatan Harapan (PH) yang memilih bekerjasama dengan parti dengan jumlah kerusi yang sedikit tidak akan kekal lama, kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    “Perikatan Nasional (PN) tiada dasar ‘No Anwar, No DAP,’ seperti UMNO tetapi PH tetap bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

    “Apabila mereka memilih untuk bekerjasama dengan parti yang mempunyai jumlah kerusi yang sedikit, kerajaan ini tidak stabil dan tidak akan kekal lama,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merujuk kepada kenyataan daripada Istana Negara hari ini berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan beliau memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi melayakkannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Menurut Muhyiddin, pada 20 November 2022, iaitu sehari selepas Pilihan Raya diadakan, presiden parti dititah mengemuka cadangan pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan seorang perdana menteri yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PN menghantar surat daripada Pas, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama PN.

    “Turut dihantar ke Istana Negara ialah 114 Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen yang menyatakan kepercayaan tanpa syarat kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri,” katanya.

  • Perlantikan PM: Penyokong parti dilarang laku provokasi

    Perlantikan PM: Penyokong parti dilarang laku provokasi

    ORANG ramai terutamanya penyokong parti politik dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses perlantikan Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, di Kuala Lumpur, berjalan lancar. 

    Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan tegas akan diambil pihak polis bagi mana-mana penyokong parti politik yang melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu termasuk perkauman dan agama.

    “Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan akan berlangsung di Istana Negara jam 5 petang.

    “Justeru, kami menasihatkan orang ramai terutamanya penyokong-penyokong parti politik untuk sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi dan perlantikan ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor Harian Metro.

    Beliau turut menasihati orang ramai tidak memuat naik sebarang hantaran atau apa jua sisipan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah faham pada masyarakat umum. 

    “Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tindakan yang menyalahi undang-undang. 

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. 

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu.