TAN Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) telah berusaha sedaya upaya membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN itu berkata, seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima beliau.

Menurut beliau, PN akan terus berkhidmat kepada rakyat dan terus berbakti kepada negara.

“Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

“Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mengingatkan kepada rakyat khasnya penyokong PN bahawa segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya.

Namun katanya, apa yang penting bagi PN ialah jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

“Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

“Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 berakhir setelah Anwar diumumkan sebagai pemimpin nombor satu negara sekali gus mengangkat sumpah hari ini.

Keputusan PRU-15 Ahad lalu menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH dan sekutunya memenangi 83 kerusi manakala PN 73 kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here