Author: Wartawan WartaRakyat

  • Netizen kecam DAP lancar kutipan dana bayar saman fitnah

    Netizen kecam DAP lancar kutipan dana bayar saman fitnah

    LAMAN Facebook dan media sosial DAP dibanjiri kecaman terhadap tindakan melancarkan kutipan dana bagi membantu dua ahlinya membayar ganti rugi sebanyak RM350,000 kerana didapati bersalah memfitnah bekas Timbalan Menteri MCA Chew Mei Fun, hujung bulan lalu.

    Ini susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk membayar ganti rugi kerana mendakwa Chew meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

    Ini menyebabkan rata-rata pengguna media sosial tidak berpuas hati terhadap pelancaran kutipan dana itu memandangkan kedua-dua pemimpin DAP itu dilihat sangat mampu untuk membayarnya tanpa melibatkan duit sumbangan daripada rakyat.

    Ramai yang meninggalkan komen berbaur sindiran mengatakan mereka boleh meminta bantuan Barisan Nasional (BN) ataupun UMNO sekiranya melibatkan urusan ‘wang’ dan kes mahkamah kerana mereka paling berpengalaman dengan kluster mahkamah.

    “Minta tolong Zahid, dia masih presiden UMNO. Dia tak mahu tolong?” tulis Rose Ho seperti dilaporkan MalaysiaNow.

    Sementara seorang lagi pengguna Facebook, Chris Bong menulis: “Ini bukan untuk keadilan. Ini mahu tunjukkan kamu kononnya tak pernah silap.”

    Tangkap layar poster kutipan dana yang dilancarkan di media sosial DAP bagi membantu dua ahlinya membayar ganti rugi sebanyak RM350,000 kerana didapati bersalah memfitnah bekas timbalan menteri MCA Chew Mei Fun

    Yeo berkahwin dengan seorang ahli perniagaan terkemuka yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Berhad Lee Yeow Seng.

    Mendiang bapa mertuanya Lee Shin Cheng ialah pengasas IOI Group Berhad, salah satu pemaju dan peladang terbesar di Malaysia.

    Manakala Pua merupakan ahli perniagaan dan pernah menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif sebuah firma e-dagang yang turut disenaraikan di bursa Singapura sebelum menyertai DAP.

    DAP memuat naik hantaran meminta kutipan dana bagi membayar saman tersebut dan bayaran boleh dibuat kepada akaun bank parti itu bagi cawangan Damansara.

    Menurut laman Facebook DAP lagi, wang selebihnya akan digunakan bagi siri-siri kempen pilihan raya akan datang.

    Sementara itu, lebih ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut mengatakan kedua-dua pemimpin itu sebagai mementingkan diri dan menyusahkan rakyat disebabkan kesalahan sendiri.

    “Kamu berdua kaya, masih mahu rakyat menderma? Kamu yang patut bantu rakyat untuk tambah baik kehidupan mereka. Tolonglah jangan guna publisiti begini,” tulis Robin Tee di ruangan komen.

    Tidak ketinggalan, ada juga komen-komen sarkastik yang ditinggalkan oleh pengguna sebagai reaksi kepada hantaran tersebut.

    “Selepas Covid tiada, bukan kita jaga kita. Kita jaga YB,” tulis Hadi Zulkifli.

    “Suami tak boleh tolong? Jangan cari suami bilionair tapi kedekut,” tulis Ahmad Azim.

    Pada 30 November lalu, mahkamah mengarahkan Pua dan Yeo membayar Chew masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi kerana memfitnah.

    Chew turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

    Chew, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

  • Dua maut, wanita parah nahas empat kenderaan

    Dua maut, wanita parah nahas empat kenderaan

    DUA lelaki maut selepas kereta Perodua Kenari yang dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Bau-Lundu, di Kuching, hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.56 pagi.

    “Susulan itu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu diarah ke lokasi. Setibanya di lokasi didapati kemalangan berlaku membabitkan empat kenderaan iaitu Perodua MyVi, Perodua Kenari, Proton Saga dan sebuah lori treler.

    “Dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Kenari disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya iaitu wanita pula cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Setakat ini katanya, identiti dua mangsa yang maut serta yang cedera bagaimanapun belum diperoleh.

    “Mangsa yang cedera mendapat rawatan awal di lokasi oleh anggota EMRS BBP Lundu dan dia kemudian dikejarkan ke Hospital Lundu untuk rawatan lanjut.

    “Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, tiga lagi mangsa, semuanya iaitu memandu Proton Saga, pemandu Perodua MyVi dan pandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

  • PN akan umum nama Ketua Pembangkang sebelum 19 Disember – Muhyiddin

    PN akan umum nama Ketua Pembangkang sebelum 19 Disember – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan nama Ketua Pembangkang sebelum 19 Disember ini, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Calon Ketua Pembangkang itu telahpun diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi yang diadakan dua hari lalu.

    “Kita sudah mengadakan mesyuarat majlis tertinggi Perikatan Nasional, dua hari lepas kita sudah buat keputusan siapa. Masanya, kita akan umumkan sebelum 19 hari bulan akan datang ini,” katanya lapor Astro Awani.

    Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis ceramah Grand Finale bersama kepimpinan PN di Taman Selasih, Kulim, malam tadi.

    Semalam, Timbalan Presiden PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan gabungan parti berkenaan sudah melantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan siapa individu yang telah dilantik dan meminta menunggu kenyataan rasmi daripada PN.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menafikan sekeras kerasnya tohmahan bahawa sebahagian dana Pilihan Raya PN adalah hasil sumbangan syarikat perjudian.

    Katanya, tuduhan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berat dan beliau seharusnya mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.

    Justeru katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melemparkan fitnah terhadap parti itu.

    “Ya fitnah, apa bukti? Tuduhan itu mudah dibuat. Kami ada prinsip kalau pun kita nak terima bantuan, kita tak akan terima daripada sumber yang haram dan saya tahu judi adalah haram. Saya tak tahu macam mana Perdana Menteri boleh buat tohmahan dan tuduhan yang berat itu.

    “Hanya kerana kami menang hanya, kerana kami gerakkan jentera kita dengan begitu berkesan dan mengalahkan mereka sampai UMNO 0 di lapan buah negeri, itu bukan bermakna bahwa kita mempunyai peruntukan besar.

    “Parti kita (Bersatu) muncul lima tahun dahulu, Perikatan Nasional baru dua tahun, berbanding dengan PKR yang sudah berpuluh tahun. Saya tak nak tuduh, dia pun dapat bantuan juga, jadi saya kira setakat ini itu adalah tuduhan amat berat. Kita tengoklah apa yang patut kita buat,” ujarnya.

    Kelmarin, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membayangkan sebahagian sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

  • Pas Terengganu sedia jika PRN diadakan lebih awal

    Pas Terengganu sedia jika PRN diadakan lebih awal

    PAS Terengganu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal sebagaimana saranan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, ini kerana momentum dan sokongan ditunjukkan rakyat masih panas selepas Perikatan Nasional (PN) Terengganu meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

    “Keputusan PRN itu juga bergantung pada pucuk pimpinan PN. PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbiran PN iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah dijangka dilaksanakan secara serentak.

    “Kita tunggu masa keputusan yang dibuat oleh pimpinan kita. Kalau bulan Jun pun, tak lama sebenarnya.

    “Persediaan Pilihan Raya tak ada masalah, jentera sudah bersedia. Orang kata masih panas lagi. Dengan isu BN yang masuk bersama PH dalam kerajaan campuran bukan kerajaan perpaduan sebenarnya kerajaan campuran lebih memudahkan kita,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah ASEAN Monsoon Casting Tournament 2022 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

    Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, menyarankan tiga negeri diterajui PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman selesai.

    Menurut beliau ia berdasarkan sokongan diberikan pengundi terhadap PN pada PRU15.

  • Wanita Orang Asli maut dipijak gajah

    Wanita Orang Asli maut dipijak gajah

    SEORANG wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau dekat Kuala Lipis di Lipis pukul 4 pagi tadi.

    Mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor memberitahu, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.40 pagi terdapat kematian seorang wanita di kampung tersebut kerana diserang oleh sekumpulan gajah.

    “Mangsa tidak sempat melarikan diri lalu dipijak haiwan liar tersebut. Hasil siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai cedera parah akibat dipijak oleh gajah.

    “Mangsa bersama keluarga tinggal di rumah kayu berdinding buluh yang dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa kejadian mangsa sekeluarga (seramai sembilan orang) sedang tidur dan tersedar selepas mendapati keadaan rumah bergoyang akibat tindakan gajah menarik struktur dinding.

    “Situasi itu menyebabkan masing-masing melarikan diri dalam keadaan gelap dan selepas berkumpul semula baru disedari mangsa tiada bersama mereka,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Mereka katanya, mencari dan menjumpai mayat mangsa di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah.

    Azli berkata, anggota balai polis Sungai Koyan telah membawa mangsa ke unit forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

  • Muhyiddin sumpah tak ambil satu sen pun dari RM600 bilion

    Muhyiddin sumpah tak ambil satu sen pun dari RM600 bilion

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi melafazkan sumpah bahawa beliau langsung tidak mengambil walau satu sen pun daripada wang berjumlah RM600 bilion yang didakwa sesetengah pihak telah dibelanjakan serta diseleweng ketika erat pentadbirannya sebelum ini.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, perkara itu juga tidak seharusnya menjadi polemik kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertanyakan saja mengenai perkara itu kepada bekas Menteri Kewangan, Tengku Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kini kembali dilantik ke dalam Kabinet sebagai Menteri Antarabangsa.

    Selain itu katanya, Anwar selaku Menteri Kewangan juga tidak seharusnya berdepan masalah untuk mendapatkan taklimat daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

    “Wallahi, Wabilahi, Watallahi satu sen pun wang itu saya tak ambil. Itu bukan duit saya tetapi duit rakyat jelata.

    “Waktu saya jadi Perdana Menteri, kita belanja RM530 billion untuk bantu rakyat yang berdepan masalah Covid-19 dan ekonomi. Kita belanja untuk bantu rakyat susah dan semua dibuat ikut peraturan.

    “Yang menguruskan ini ialah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul. Anwar boleh panggil Tengku Zafrul pergi ke pejabat dan tanya 600 billion ini Muhyiddin ‘tapau’ semuakah? Kalau saya ‘tapau’, saya boleh hadap di mahkamah pada bila-bila masa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Grand Finale PN di Taman Selasih, dekat Kulim yang terletak dalam Parlimen Padang Serai, malam tadi.

    Terdahulu dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pertama semalam, Anwar menafikan mengeluarkan arahan supaya menyiasat lanjut dakwaan perbelanjaan RM600 bilion itu.

    Begitu pun kata Anwar, setakat diketahuinya dan diberi maklumat oleh pegawai, terdapat pelanggaran agak serius kerana ia melibatkan perolehan yang terlalu banyak.

    Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata, beliau merasa pelik bagaimana Anwar boleh membuat kenyataan sedemikian.

    “Beliau boleh panggil Ketua Perbendaharaan dan dapatkan taklimat penuh. Kalau nak taklimat, saya fikir satu hari pun tak cukup nak meneliti satu per satu,” katanya.

  • Pas tuntut PM kemuka bukti, sedia ambil tindakan perundangan

    Pas tuntut PM kemuka bukti, sedia ambil tindakan perundangan

    PAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti nyata terhadap dakwaan dibuat beliau yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, jika gagal PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak yang memfitnah.

    Ini kerana menurut beliau, tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut langsung tidak berasas sekali.

    “Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan Pas menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.

    “Sekiranya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak- pihak yang memfitnah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu.

    “Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian,” katanya.

    Semalam, Anwar semasa sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya mendakwa dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

    “Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

  • Dakwaan PN terima duit judi fitnah, tegas Muhyiddin

    Dakwaan PN terima duit judi fitnah, tegas Muhyiddin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUDUHAN kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima duit dari syarikat perjudian untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) adalah fitnah semata-mata.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tuduhan itu adalah sesuatu yang amat berat.

    “Itu fitnah, mana buktinya? Tuduhan begitu mudah dibuat tetapi kami ada prinsip dan kalau pun kita nak terima bantuan, kita takkan terima daripada sumber-sumber yang haram.

    “Jadi saya tak tahu macam mana Perdana Menteri boleh buat tohmahan dan tuduhan yang berat begitu. Hanya kerana kami menang, ada banyak bendera dan berjaya gerakkan jentera dengan amat berkesan hingga menyebabkan UMNO tiada kerusi di lapan negeri, itu bukan bermakna bahawa kita mempunyai peruntukan besar.

    “Nanti kita akan tengok apa yang patut dibuat. Tadi saya tanya hadirin, mereka kata kena ambil tindakan tetapi saya tak tahu apa-apalah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ceramah Grand Finale PN di Taman Selasih dekat Kulim, malam tadi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pertamanya semalam dilaporkan sebuah portal, memberi bayangan bahawa sebahagian dana Pilihan Raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Terdahulu ketika menyampaikan ceramahnya, Muhyiddin berkata PN tidak akan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak terutamanya syarikat perjudian.

    “Kami pemimpin ini dah haram judi di sana-sini (negeri dipimpin Pas), kemudian kami nak ambil duit judi kerana kami sengkek dan tak ada duit?

    “Wallahi kami takkan lakukan perkara haram begitu. Kami takkan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak termasuk syarikat judi,” katanya.

    Katanya, dana diperolehi PN dibantu oleh pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan mereka.

    “Kami pun ada kawan, tak ramai tetapi sikit-sikit tolong bantu. Ada yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat, ada yang Gerakan dapat dan Pas pun dapat.

    “Salahkah? Kalau ikut undang-undang tak salah tetapi Perdana Menteri boleh pula buat tuduhan berat. Baru buat Mesyuarat Kabinet hari ini, dah buat tuduhan,” katanya.

  • PM guna pentas rasmi main politik – Pemuda Bersatu

    PM guna pentas rasmi main politik – Pemuda Bersatu

    PEMUDA Bersatu (Armada) mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya menggunakan “pentas rasmi” Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bermain politik.

    Ia berikutan kenyataan Anwar yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian, ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet petang tadi.

    Menurut Ketua Penerangan Armada Ashraf Mustaqim Badrul Munir, Anwar sepatutnya mengemukakan bukti berkenaan apa yang diperkatakannya.

    “Adakah PMO tempatnya untuk cipta naratif sentimen politik murahan?

    “Buat pertama kali tengok seorang perdana menteri ‘main politik’ tabur sentimen dengan langsung tak tonjolkan bukti dan guna pentas rasmi kerajaan di PMO yang seharusnya jadi medan bicara isu rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dia berkata lain keadaannya jika Anwar menyentuh soal dasar pendanaan untuk parti politik.

    Ketika sidang media hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas undi.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Dalam sidang media sama, Anwar mengumumkan cabutan khas judi kembali diturunkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan, setelah dinaikkan kepada 22 kali ketika pentadbiran PN.

    Mengulas langkah itu, Ashraf berkata dia secara peribadi menyokong keputusan itu dan menggesa kerajaan persekutuan mencontohi negeri yang ditadbir PN yang memutuskan untuk menghentikan operasi pusat perjudian.

    Katanya lagi, cabaran sebenar kerajaan, terutama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil, adalah untuk membendung kegiatan judi atas talian.

    “Syabas atas inisiatif menurunkan cabutan judi ini, namun penyokong PH jangan menangguk di air keruh dengan perbuatan jelik kerajaan yang tanpa hitam putih membuat pertuduhan, hanya semata sentimen politik.

    “Lebih baik Anwar kemukakan bukti hitam putih,” katanya lagi.

  • Hanya Pas serius hapuskan judi hingga diakui DAP – Ahmad Fadhli

    Hanya Pas serius hapuskan judi hingga diakui DAP – Ahmad Fadhli

    HANYA Pas yang serius menghapuskan judi di negara ini seperti mana yang berlaku di tiga negeri yang ditadbir parti itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kesungguhan Pas itu tidak terhad hanya sekadar untuk menurunkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan malah usaha itu turut diakui ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong semasa kempen pilihan raya negeri Melaka.

    Menurutnya, langkah itu juga mungkin diperluaskan ke negeri baharu dikuasai parti tersebut iaitu Perlis.

    “Hakikatnya, hanya Pas yang serius hapuskan judi, bukan sekadar turunkan bilangan cabutan.

    “Ini berlaku di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Insya-Allah Perlis.

    “Ini fakta yang diakui sendiri oleh MP DAP dalam kempen (pilihan raya negeri) di Melaka, takkanlah MP DAP nak bohong pulak ya,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, semasa cabutan judi dinaikkan ke 22 kali setahun, setiap wakil rakyat Pas yang berbahas di dalam Parlimen menentang langkah berkenaan.

    Tegasnya, beliau sendiri tidak terkecuali tampil bersuara pada setiap kali sidang dewan.

    “Tapi apakan daya, Menteri Kewangan pada masa itu tidak memberikan apa-apa respon. Kenapa ia berlaku demikian? Kena tanyalah Menteri Kewangan yang kini sudah menjadi menteri kerajaan campuran PH-BN,” tambahnya.

    Kenyataan beliau dipercayai merujuk keputusan kerajaan membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun.

    Mulai 1 Januari depan, cabutan khas berkenaan akan kembali kepada lapan kali.