LAMAN Facebook dan media sosial DAP dibanjiri kecaman terhadap tindakan melancarkan kutipan dana bagi membantu dua ahlinya membayar ganti rugi sebanyak RM350,000 kerana didapati bersalah memfitnah bekas Timbalan Menteri MCA Chew Mei Fun, hujung bulan lalu.

Ini susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk membayar ganti rugi kerana mendakwa Chew meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

Ini menyebabkan rata-rata pengguna media sosial tidak berpuas hati terhadap pelancaran kutipan dana itu memandangkan kedua-dua pemimpin DAP itu dilihat sangat mampu untuk membayarnya tanpa melibatkan duit sumbangan daripada rakyat.

Ramai yang meninggalkan komen berbaur sindiran mengatakan mereka boleh meminta bantuan Barisan Nasional (BN) ataupun UMNO sekiranya melibatkan urusan ‘wang’ dan kes mahkamah kerana mereka paling berpengalaman dengan kluster mahkamah.

“Minta tolong Zahid, dia masih presiden UMNO. Dia tak mahu tolong?” tulis Rose Ho seperti dilaporkan MalaysiaNow.

Sementara seorang lagi pengguna Facebook, Chris Bong menulis: “Ini bukan untuk keadilan. Ini mahu tunjukkan kamu kononnya tak pernah silap.”

Tangkap layar poster kutipan dana yang dilancarkan di media sosial DAP bagi membantu dua ahlinya membayar ganti rugi sebanyak RM350,000 kerana didapati bersalah memfitnah bekas timbalan menteri MCA Chew Mei Fun

Yeo berkahwin dengan seorang ahli perniagaan terkemuka yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Berhad Lee Yeow Seng.

Mendiang bapa mertuanya Lee Shin Cheng ialah pengasas IOI Group Berhad, salah satu pemaju dan peladang terbesar di Malaysia.

Manakala Pua merupakan ahli perniagaan dan pernah menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif sebuah firma e-dagang yang turut disenaraikan di bursa Singapura sebelum menyertai DAP.

DAP memuat naik hantaran meminta kutipan dana bagi membayar saman tersebut dan bayaran boleh dibuat kepada akaun bank parti itu bagi cawangan Damansara.

Menurut laman Facebook DAP lagi, wang selebihnya akan digunakan bagi siri-siri kempen pilihan raya akan datang.

Sementara itu, lebih ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut mengatakan kedua-dua pemimpin itu sebagai mementingkan diri dan menyusahkan rakyat disebabkan kesalahan sendiri.

“Kamu berdua kaya, masih mahu rakyat menderma? Kamu yang patut bantu rakyat untuk tambah baik kehidupan mereka. Tolonglah jangan guna publisiti begini,” tulis Robin Tee di ruangan komen.

Tidak ketinggalan, ada juga komen-komen sarkastik yang ditinggalkan oleh pengguna sebagai reaksi kepada hantaran tersebut.

“Selepas Covid tiada, bukan kita jaga kita. Kita jaga YB,” tulis Hadi Zulkifli.

“Suami tak boleh tolong? Jangan cari suami bilionair tapi kedekut,” tulis Ahmad Azim.

Pada 30 November lalu, mahkamah mengarahkan Pua dan Yeo membayar Chew masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi kerana memfitnah.

Chew turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

Chew, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here