SEORANG wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau dekat Kuala Lipis di Lipis pukul 4 pagi tadi.

Mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor memberitahu, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.40 pagi terdapat kematian seorang wanita di kampung tersebut kerana diserang oleh sekumpulan gajah.

“Mangsa tidak sempat melarikan diri lalu dipijak haiwan liar tersebut. Hasil siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai cedera parah akibat dipijak oleh gajah.

“Mangsa bersama keluarga tinggal di rumah kayu berdinding buluh yang dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semasa kejadian mangsa sekeluarga (seramai sembilan orang) sedang tidur dan tersedar selepas mendapati keadaan rumah bergoyang akibat tindakan gajah menarik struktur dinding.

“Situasi itu menyebabkan masing-masing melarikan diri dalam keadaan gelap dan selepas berkumpul semula baru disedari mangsa tiada bersama mereka,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Mereka katanya, mencari dan menjumpai mayat mangsa di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah.

Azli berkata, anggota balai polis Sungai Koyan telah membawa mangsa ke unit forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here