Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jururawat, suri rumah mengaku tidak bersalah perdagang bayi perempuan

    Jururawat, suri rumah mengaku tidak bersalah perdagang bayi perempuan

    SEORANG jururawat dan suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini satu pertuduhan memperdagangkan bayi, tiga tahun lalu.

    Noor Azlina Mohd Nasir, 41, yang bertugas di sebuah hospital di Alor Setar dan D. Murugamal, 52, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid selepas pertuduhan dibacakan secara serentak.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama mencapai niat memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta dalam daerah Manjung jam lebih kurang 12 tengah hari pada 18 Jun 2020, lapor Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang telah pun berkahwin didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj mencadangkan agar mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 seorang.

    Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Mohd. Firdaus Mohd. Farouk memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan Noor Azlina mempunyai lima anak manakala Murugamal menghidap sakit jantung dan kencing manis.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.

  • 3,803 mangsa banjir di Johor di 35 PPS

    3,803 mangsa banjir di Johor di 35 PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 3,803 mangsa banjir daripada 1,070 keluarga ditempatkan di 35 usat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD memberitahu, banjir berkenaan melibatkan daerah Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Kluang.

    “Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

    “Diikuti pula Kluang melibatkan 1,139 orang daripada 325 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS,” menurut jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan, hari ini.

    JPBN memaklumkan, di Kota Tinggi, seramai 557 mangsa daripada 136 keluarga berlindung di enam PPS manakala di Mersing, terdapat empat PPS yang menempatkan 594 penduduk daripada 186 keluarga, menurut jawatankuasa itu.

    Sementara di Batu Pahat pula mencatatkan seramai 121 mangsa daripada 30 keluarga yang dipindahkan ke satu PPS.

  • Ambil tindakan jika dakwaan isu bengkel SPM benar-Sultan Johor

    Ambil tindakan jika dakwaan isu bengkel SPM benar-Sultan Johor

    SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menggesa tindakan diambil sekiranya benar dakwaan bahawa sebuah sekolah di Johor dengan sengaja mengecualikan pelajar bukan Islam daripada bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

    Sultan Johor bertitah, begitu juga tindakan perlu diambil sekiranya dakwaan itu ternyata palsu.

    “Tiada orang yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya.

    “Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah baginda dalam satu kenyataan malam tadi.

    Kecoh dalam media sosial sebelum ini susulan dakwaan bahawa pelajar bukan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent sengaja dikecualikan daripada bengkel SPM yang diadakan di sebuah hotel – pada 19 dan 20 Januari.

    Pengguna Twitter Anne Louis, yang mendedahkan perkara itu, mendakwa pada mulanya bengkel itu diadakan hanya untuk pelajar Islam dengan berselindung bahawa ia hanya meliputi mata pelajaran Pengajian Islam.

    Katanya, hanya setelah itu, baru diketahui bahawa subjek SPM lain, seperti Kimia dan Matematik Tambahan, turut diliputi dalam bengkel itu.

    Dia berkata, ibu bapa dalam PIBG yang tidak berpuas hati kemudiannya bertanyakan perkara itu dengan guru besar di kumpulan WhatsApp.

    Guru besar SMK berkenaan dikatakan menjelaskan bahawa bengkel itu merupakan langkah sekolah untuk membantu kira-kira 40 pelajar Melayu yang berisiko gagal dalam peperiksaan SPM.

    Guru besar itu dilaporkan telah menafikan unsur perkauman dalam perkara itu, dan menjelaskan bahawa satu-satunya niat adalah untuk mengekalkan status sekolah itu sebagai institut berprestasi tinggi.

    Bagaimanapun, kenyataan Kementerian Pendidikan kemudiannya mendakwa bengkel SPM itu diadakan berasingan bagi mengelakkan mengganggu pelajar yang membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

    Kementerian juga berkata sesi kedua bengkel itu dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Januari untuk pelajar lain yang tidak turut serta sebelum ini.

    Sementara itu, Sultan Ibrahim dalam titah baginda mengingatkan bahawa isu-isu seperti ini perlu ditangani dengan pantas bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.

    “Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

    “Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.

    “Ini juga merupakan pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

    Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

    IDENTITI mayat yang ditemukan di kawasan semak dekat Kampung Alor Gali di Marang minggu lalu akan disahkan melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan diperoleh dalam masa terdekat.

    Susulan penemuan mangsa, dua individu telah hadir membuat pengecaman ke atas mayat kira-kira pukul 6.30 petang di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka telah mengenal pasti mayat sebagai seorang ahli keluarga berdasarkan tanda-tanda pada badan mayat dan juga barang-barang peribadi yang dikemukakan serta beberapa bukti bergambar.

    “Namun identiti sebenar si mati hanya dapat disahkan setelah Pegawai Penyiasat Kes mendapat keputusan sampel DNA dari Jabatan Kimia Malaysia yang akan diterima dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Sementara itu, Mohd. Zain berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang meminta supaya orang awam menjaga sensiviti ahli keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi liar berkaitan kes yang sedang disiasat.

    Siasatan kes itu katanya, dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang di talian 09-6181451 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali di Marang, pada 19 Januari lalu.

    Mayat tersebut ditemukan orang awam yang mencari daun palas di kawasan itu yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.

  • Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    POLIS sedang mengesan banduan lelaki yang meloloskan diri Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Jasin, petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd
    Fadzli Othman berkata, Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, meloloskan diri dan kehilangannya disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan, pukul 2.20 petang.

    “Banduan terbabit kes samun itu sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

    “Polis menerima laporan kehilangan banduan itu pada 7.03 malam yang dibuat pengadu selepas menyedari kehilangan suspek semasa dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

    “Berdasarkan laporan itu, tahanan terbabit dilihat kali terakhir memakai baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Fadzli berkata, sejurus menerima laporan, polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

    Katanya, siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian hingga menyebabkan tahanan lolos, dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tahanan ini diminta menyalurkan maklumat kepada kepada polis atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

  • Nurul Izzah keguguran anak keempat

    Nurul Izzah keguguran anak keempat

    BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi kisah sedih di Instagram hari ini selepas beliau mengalami keguguran.

    Dalam hantaran tersebut, Nurul Izzah turut berkongsi gambarnya memeluk ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wn Ismail dan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menerusi catatan panjang dalam media sosialnya itu, anak sulung Perdana Menteri itu berkata selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mungkin itu kali pertama mereka berpelukan.

    “Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama – selesai berkempen, sempat pula menjangkiti Covid buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat, kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baru, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang, kemudian ke Putrajaya – dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung.

    “The little boot is gone …” tulis beliau, memetik laporan Astro Awani.

  • Lagi peniaga sanggah Rafizi, dakwa harga bahan mentah sentiasa naik

    Lagi peniaga sanggah Rafizi, dakwa harga bahan mentah sentiasa naik

    DAKWAAN mengatakan harga barang mentah sudah turun disanggah peniaga makanan.

    Ketika ditemui SatuBerita, mereka mendakwa bukan sahaja harga bahan mentah sentiasa naik tetapi terpaksa berdepan beberapa kenaikan lain.

    Pengusaha restoran yang mesra dikenali sebagai Uda, 29, berkata isu kenaikan harga barang mentah mengakibatkan keuntungan diperolehi bertambah sedikit dan hanya sekadar ‘cukup makan’.

    “Kita berniaga makan untung kecil, sekadar lepas bayar sewa bil api itu sahaja.

    “Sayur boleh dapat sekilo RM3 ke RM4, sekarang kubis sampai RM7 ke RM10, ikan pun sama juga, contohnya ikan pelaling RM6 ke RM7 sekarang dah cecah RM11, ayam pun naik, telur pun semua tahu susah nak cari.

    “Barangan kering seperti Milo dan Nescafe akan sentiasa naik kalau boleh setiap bulan nak naik, kalau harga barang naik kita pun terpaksa la naikkan harga barang,” katanya ketika ditemui SatuBerita hari ini.

    Pengusaha Restoran, Uda, 29.

    Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

    Katanya lagi, sesetengah peniaga masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan,

    Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

    Noni Shamsuri, 51, bersama pekerja di gerai makanan dan minuman.

    Dalam pada itu, pengusaha gerai makanan dan minuman Noni Shamsuri, 51, turut terasa kenaikan harga sayur malah terpaksa mencari minyak subsidi kerana harga minyak yang tidak terkawal.

    “Cili kering mengalami kenaikan yang melampau. Dulu boleh beli lebih kurang RM13-RM14, sekarang dah RM20.

    “Dulu minyak seberat 5kg hanya RM16, sekarang dah RM20 jauh beza pernah sampai RM31. Siapa nak beli minyak, kita ni golongan B40 terpaksa cari minyak subsisi tapi stok tiada,” katanya.

    Azam, tukang masak di sebuah restoran menyajikan sarapan dan makanan tengah hari.

    Seorang tukang masak yang hanya mahu dikenali sebagai Azam bukan sahaja terkesan akan kenaikan ayam, bahan kering juga dikatakan meningkat sedikit demi sedikit.

    “Ayam mentah kadang-kadang turun dan naik, dahulu RM7 sekarang dah RM9.

    “Kenaikan bahan kering turut terasa. Banyak naik adalah paket seperti ajinamoto (perasa), sup bunjut, cili, bawang itu semua boleh nampak dia mengalami kenaikan harga,” tegasnya.

    Pembantu restoran, Ahmad Nazreen, 24.

    Menurut seorang pembantu restoran ‘steamboat’ Ahmad Nazreen, 24, berkata selain peningkatan harga ikan, ketam juga mengalami peningkatan harga.

    “Sewaktu pertama kali kami beli ketam, dapat dalam RM23 setiap kilo, sekarang ketam sudah naik dalam 2 ke 3 ringgit,” ujarnya.

    Abdul halim, 48, pengusaha restoran.

    Walaupun hanya beroperasi sejak November tahun lepas, Abdul Halim, 48, terpaksa menaikkan harga ‘chicken chop’ yang naik mendadak kerana tidak dapat menampung kos yang dibeli.

    Katanya, dahulu beliau menjual Chicken Chop pada RM13 sepinggan, namun terpaksa menaikkan harga sehingga RM15 sepinggan kerana tidak mahu mengalami kerugian.

  • Dakwaan rasuah PRU: UMNO-PH tak perlu kalut, kata Pemuda Pas

    Dakwaan rasuah PRU: UMNO-PH tak perlu kalut, kata Pemuda Pas

    KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ‘tidak perlu kalut’ sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya sogokan wang tunai kepada pengundi di tiga kerusi Parlimen di Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Fadhli berkata, merujuk kenyataan SPRM, terma ‘sedekah’ atau ‘rasuah’ hanya akan dibuktikan melalui siasatan dan dakwaan jika terdapat kes.

    “Yang pastinya jawatan nombor dua kerajaan PH-BN sedang disandang oleh tokoh yang sedang hadapi dakwaan rasuah di mahkamah. Itu pasti, tiada penafian,” katanya di Facebook.

    Fadhli turut berkata, PH kini mempunyai 148 Ahli Parlimen yang menyokong gabungan itu maka tiada keperluan mendesak untuk mengekalkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah.

    “Tapi itulah, tidak penting sangat isu integriti kepada kerajaan PH-BN ni,” katanya.

    Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menerusi hantaran Facebook mengingatkan Pas bahawa ‘matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara’.

    “Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan sahaja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah,” katanya lapor FMT.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan menyiasat sebarang bentuk rasuah mengikut peruntukan undang-undang, bukannya berdasarkan tafsiran sendiri mana-mana individu.

    Azam berkata, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menyatakan dengan jelas takrifan membeli undi.

    Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

    Petisyen itu mendakwa Pas merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU-15.

  • Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

    Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

    SEORANG pembantu rumah wanita warga asing melarikan barang kemas dan wang tunai milik majikannya bernilai RM14,000 di Seremban.

    Kejadian itu disedari pengadu iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun pada pukul 7.30 malam kelmarin, ketika dia sekeluarga pulang ke rumah selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Selangor.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pembantu rumahnya yang bernama Hendriyawati, 40, tidak menyahut sebaik dipanggil lalu pengadu memeriksa dapur dan mendapati pintu dapur serta pintu pagar belakang telah terbuka.

    “Hasil semakan mendapati barang kemas milik anak pengadu dan ibunya telah tiada dalam almari di bilik tidur. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 11.44 pagi semalam.

    “Pengadu lewat membuat laporan polis kerana dia terlebih dahulu mengesan suspek daripada ejen pekerjaan serta cuba menghubungi beberapa nombor telefon daripada buku catitan milik pembantu rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek yang baru tiga bulan bekerja tidur di bilik tidur bahagian atas bersebelahan bilik tidur pengadu dan beg pakaian wanita berkenaan masih ada.

    Suspek katanya, hanya keluar rumah dengan membawa beg galas milik anak pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Sarjan mejar kritikal dipercayai jatuh bangunan sebelum majlis kahwin

    Sarjan mejar kritikal dipercayai jatuh bangunan sebelum majlis kahwin

    SEORANG sarjan mejar polis yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan semalam, dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Lumut, Perak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 5.45 pagi semalam memaklumkan kejadian itu.

    Katanya, anggota polis berkenaan sedang bercuti dari tugasnya di Pahang dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan semalam di kediaman keluarganya di Ayer Tawar.

    “Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Seri Manjung. Motif kejadian belum diketahui dan sedang disiasat polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor BH.

    Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor N Ravinthiran di talian 019-6508489 untuk membantu siasatan.