KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ‘tidak perlu kalut’ sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya sogokan wang tunai kepada pengundi di tiga kerusi Parlimen di Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Fadhli berkata, merujuk kenyataan SPRM, terma ‘sedekah’ atau ‘rasuah’ hanya akan dibuktikan melalui siasatan dan dakwaan jika terdapat kes.

“Yang pastinya jawatan nombor dua kerajaan PH-BN sedang disandang oleh tokoh yang sedang hadapi dakwaan rasuah di mahkamah. Itu pasti, tiada penafian,” katanya di Facebook.

Fadhli turut berkata, PH kini mempunyai 148 Ahli Parlimen yang menyokong gabungan itu maka tiada keperluan mendesak untuk mengekalkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah.

“Tapi itulah, tidak penting sangat isu integriti kepada kerajaan PH-BN ni,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menerusi hantaran Facebook mengingatkan Pas bahawa ‘matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara’.

“Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan sahaja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah,” katanya lapor FMT.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan menyiasat sebarang bentuk rasuah mengikut peruntukan undang-undang, bukannya berdasarkan tafsiran sendiri mana-mana individu.

Azam berkata, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menyatakan dengan jelas takrifan membeli undi.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

Petisyen itu mendakwa Pas merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here