SEORANG pembantu rumah wanita warga asing melarikan barang kemas dan wang tunai milik majikannya bernilai RM14,000 di Seremban.

Kejadian itu disedari pengadu iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun pada pukul 7.30 malam kelmarin, ketika dia sekeluarga pulang ke rumah selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Selangor.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pembantu rumahnya yang bernama Hendriyawati, 40, tidak menyahut sebaik dipanggil lalu pengadu memeriksa dapur dan mendapati pintu dapur serta pintu pagar belakang telah terbuka.

“Hasil semakan mendapati barang kemas milik anak pengadu dan ibunya telah tiada dalam almari di bilik tidur. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 11.44 pagi semalam.

“Pengadu lewat membuat laporan polis kerana dia terlebih dahulu mengesan suspek daripada ejen pekerjaan serta cuba menghubungi beberapa nombor telefon daripada buku catitan milik pembantu rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek yang baru tiga bulan bekerja tidur di bilik tidur bahagian atas bersebelahan bilik tidur pengadu dan beg pakaian wanita berkenaan masih ada.

Suspek katanya, hanya keluar rumah dengan membawa beg galas milik anak pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here