DAKWAAN mengatakan harga barang mentah sudah turun disanggah peniaga makanan.

Ketika ditemui SatuBerita, mereka mendakwa bukan sahaja harga bahan mentah sentiasa naik tetapi terpaksa berdepan beberapa kenaikan lain.

Pengusaha restoran yang mesra dikenali sebagai Uda, 29, berkata isu kenaikan harga barang mentah mengakibatkan keuntungan diperolehi bertambah sedikit dan hanya sekadar ‘cukup makan’.

“Kita berniaga makan untung kecil, sekadar lepas bayar sewa bil api itu sahaja.

“Sayur boleh dapat sekilo RM3 ke RM4, sekarang kubis sampai RM7 ke RM10, ikan pun sama juga, contohnya ikan pelaling RM6 ke RM7 sekarang dah cecah RM11, ayam pun naik, telur pun semua tahu susah nak cari.

“Barangan kering seperti Milo dan Nescafe akan sentiasa naik kalau boleh setiap bulan nak naik, kalau harga barang naik kita pun terpaksa la naikkan harga barang,” katanya ketika ditemui SatuBerita hari ini.

Pengusaha Restoran, Uda, 29.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

Katanya lagi, sesetengah peniaga masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan,

Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

Noni Shamsuri, 51, bersama pekerja di gerai makanan dan minuman.

Dalam pada itu, pengusaha gerai makanan dan minuman Noni Shamsuri, 51, turut terasa kenaikan harga sayur malah terpaksa mencari minyak subsidi kerana harga minyak yang tidak terkawal.

“Cili kering mengalami kenaikan yang melampau. Dulu boleh beli lebih kurang RM13-RM14, sekarang dah RM20.

“Dulu minyak seberat 5kg hanya RM16, sekarang dah RM20 jauh beza pernah sampai RM31. Siapa nak beli minyak, kita ni golongan B40 terpaksa cari minyak subsisi tapi stok tiada,” katanya.

Azam, tukang masak di sebuah restoran menyajikan sarapan dan makanan tengah hari.

Seorang tukang masak yang hanya mahu dikenali sebagai Azam bukan sahaja terkesan akan kenaikan ayam, bahan kering juga dikatakan meningkat sedikit demi sedikit.

“Ayam mentah kadang-kadang turun dan naik, dahulu RM7 sekarang dah RM9.

“Kenaikan bahan kering turut terasa. Banyak naik adalah paket seperti ajinamoto (perasa), sup bunjut, cili, bawang itu semua boleh nampak dia mengalami kenaikan harga,” tegasnya.

Pembantu restoran, Ahmad Nazreen, 24.

Menurut seorang pembantu restoran ‘steamboat’ Ahmad Nazreen, 24, berkata selain peningkatan harga ikan, ketam juga mengalami peningkatan harga.

“Sewaktu pertama kali kami beli ketam, dapat dalam RM23 setiap kilo, sekarang ketam sudah naik dalam 2 ke 3 ringgit,” ujarnya.

Abdul halim, 48, pengusaha restoran.

Walaupun hanya beroperasi sejak November tahun lepas, Abdul Halim, 48, terpaksa menaikkan harga ‘chicken chop’ yang naik mendadak kerana tidak dapat menampung kos yang dibeli.

Katanya, dahulu beliau menjual Chicken Chop pada RM13 sepinggan, namun terpaksa menaikkan harga sehingga RM15 sepinggan kerana tidak mahu mengalami kerugian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here