Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mahdzir satu-satunya calon Ketua Bahagian UMNO menang tanpa bertanding di Kedah

    Mahdzir satu-satunya calon Ketua Bahagian UMNO menang tanpa bertanding di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid merupakan satu-satunya calon Ketua UMNO Bahagian di Kedah yang tidak dicabar dalam pemilihan kali ini sekali gus membolehkannya menang tanpa bertanding.

    Mahdzir yang merupakan bekas Ahli Parlimen Padang Terap kekal memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap dan akan dibantu Timbalannya, Datuk Ghazali Ibrahim yang juga menang tanpa bertanding.

    Menurut Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ariffin Man, 14 bahagian lain di Kedah bakal menyaksikan pertandingan dua dan empat penjuru.

    “Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pula, selain Ghazali, terdapat tiga individu lain yang menang tanpa bertanding iaitu saya sendiri di Pokok Sena, Syed Hafiz Syed Mustafa di Alor Setar, Datuk Khairul Azhar Abdullah di Baling,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Kedah dekat Bangunan Tunku, Alor Setar di sini,” katanya.

    Selain Mahdzir yang menang tanpa bertanding katanya, 10 lagi ketua bahagian telah pun menghantar borang untuk bertanding bagi mengekalkan jawatan masing-masing.

    Antara mereka yang berbuat demikian adalah Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian di Sik diikuti Annuar Ahmad di Merbok, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff di Sungai Petani, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Baling, Datuk Asmaidi Abu Talib di Padang Serai dan Datuk Abdul Muhar Hussin di Kulim-Bandar Baharu.

    Selain itu, penyandang ketua bahagian lain yang turut berhasrat mempertahankan jawatan masing-masing adalah Datuk Othman Aziz di Jerlun, Datuk Said Ali Syed Rastan di Pokok Sena, Datuk Suraya Yaacob di Pendang serta Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jerai.

    “Terdapat empat bahagian di Kedah yang penyandang Ketua Bahagian tidak kembali berada dalam pertandingan iaitu Langkawi, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Alor Setar.

    “Justeru itu, jawatan tersebut bakal ditandingi oleh pemangku ketua bahagian dan muka-muka baharu serta individu berpengalaman yang membuat penampilan semula,” katanya.

    Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia tahun lalu manakala Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung dari parti sebelum ini.

    Difahamkan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Zaini Japar mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

    Sementara itu Ariffin memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 37 individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua di 15 Bahagian UMNO dalam negeri ini.

    Menurutnya, beberapa individu berpengalaman turut membuat penampilan semula antaranya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharom yang sah bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Alor Setar dan Kubang Pasu.

    Selain itu bekas Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin turut kembali untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerlun dari bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz.

    “Bekas Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Mejar Abdul Rahim Saad turut mengesahkan untuk kembali bertanding menentang Datuk Shahanim Mohamad Yusoff bagi jawatan itu. Di Padang Serai juga, bekas Ketua Bahagian Abdul Rahman Mahamud akan kembali merebut jawatan itu dari penyandang, Datuk Asmaidi Abu Talib.

    “Bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abd. Rahman turut menghantar borang untuk mencabar jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik dari penyandang, Dr. Mohd Tajuddin Abdullah. Selain kedua-dua mereka, jawatan tersebut turut ditandingi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid serta Datuk Mohd. Kizri Abu Kasim,” katanya.

    Antara individu lain yang turut merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO di Kedah adalah anak Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib yang bertanding Ketua UMNO Bahagian Langkawi serta Timbalan Presiden Kelab Penyokong Perpaduan Ummah, Zamil Ibrahim.

  • ‘Agihan peruntukan MP tak sama rata naikkan kemarahan rakyat’

    ‘Agihan peruntukan MP tak sama rata naikkan kemarahan rakyat’

    TINDAKAN kerajaan menafikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen khususnya melibatkan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu hanya akan menaikkan suhu kemarahan rakyat bumiputera.

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kerajaan perlu mengutamakan negeri seperti Kelantan dan Terengganu bagi mengatasi isu ‘kemarahan bumiputera’.

    “Ini juga untuk mengambil kira kajian sempena 100 hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapati sebanyak 71 peratus responden berbangsa Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu.

    “Isu-isu tumpuan khas kepada anak-anak bumiputera, saya fikir dalam bajet ini mungkin ada tetapi perlu dinyatakan terperinci untuk golongan bumiputera.

    “Saya fikir, kerajaan perlu utamakan negeri-negeri yang mempunyai ‘malay based area’ seperti Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau mendakwa, menafikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri berkenaan hanya akan menaikkan suhu kemarahan rakyat.

    “Bagi kami PN tak ada masalah. Kami balik ke kawasan, rakyat minta peruntukan, kami kata kerajaan tak bagi tapi itu hanya tinggikan suhu kemarahan rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kajian yang dibuat oleh pusat penglibatan sosial O2 Malaysia sempena 100 hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya memerintah telah melibatkan 35,077 responden melalui lima saluran media.

  • Banyak inisiatif kerajaan PH-BN hanya “copy paste”, kata Radzi

    Banyak inisiatif kerajaan PH-BN hanya “copy paste”, kata Radzi

    DATUK Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mendakwa banyak inisiatif kerajaan PH-BN ketika ini sekadar “copy paste” usaha dibuat kerajaan sebelum ini.

    Bekas Menteri Pendidikan itu memberi contoh, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah antara program yang digambarkan sebagai sesuatu perkara baharu.

    “Hakikatnya usaha menangani kemiskinan tegar telah dibentuk secara komprehensif dan menyeluruh oleh kerajaan sebelum ini.

    “Sewaktu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob), “champion” (juara) kepada usaha ini adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Tok Pa!,” tulisnya di Facebook.

    Mengulas lanjut, Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, beliau turut menjelaskan perkara itu semasa mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurutnya, peruntukan untuk menangani kemiskinan tegar yang disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023 Jumaat lalu sebenarnya telahpun disebut oleh mantan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul di dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

    Beliau kemudian memetik ucapan Tengku Zafrul pada ketika itu: “Untuk tahun 2023, bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, 1 bilion ringgit disediakan iaitu 750 juta ringgit peruntukan Kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC bernilai 250 juta ringgit”.

    “Ini baru satu, banyak lagi inisiatif kerajaan yang hanya “copy paste” pentadbiran-pentadbiran lepas. Sama-sama kita kupas lagi!,” tambah Radzi.

  • PM Anwar mungkin dikenang sebagai bapa saman negara – MP Pendang

    PM Anwar mungkin dikenang sebagai bapa saman negara – MP Pendang

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang sedang berdepan tindakan undang-undang daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyindir Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Wakil rakyat Pas itu mempersoalkan Pengerusi Pakatan (PH) itu sama ada boleh menerima kritikan atau sebenarnya tidak boleh ditegur.

    Awang Hashim (Perikatan Nasional) menyoal jika Perdana Menteri tidak boleh terima kritikan, sangat halus jiwanya cepat goyah.

    “Saya risau nanti rakyat kenal (Ahli Parlimen) Tambun sebagai perdana menteri bapa saman negara.

    “Amalkan budaya ‘fear mongering’, menakutkan orang yang menegur,” dakwanya ketika berucap semasa membahaskan Belanjawan 2023, hari ini.

    Anwar telah mengeluarkan dua surat tuntutan terhadap ahli parlimen itu atas dakwaan fitnah.

    Surat tuntutan pertama, atas kenyataan Awang minggu lalu yang menggelar Anwar sebagai Perdana Menteri yang lebih pendendam berbanding musuh ketatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Ini selepas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Surat tuntutan kedua adalah mengenai bekas Timbalan Menteri itu yang dilaporkan mempersoalkan kesahihan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Dalam ucapannya hari ini, Awang berkata menjadi tugas pembangkang untuk bersuara terhadap Perdana Menteri yang dakwanya dikelilingi oleh ‘kaki ampu’, lapor MalaysiaKini.

  • Tukang urut tak mengaku bersalah, cabul pelanggan 16 tahun

    Tukang urut tak mengaku bersalah, cabul pelanggan 16 tahun

    TUKANG urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang juga pelanggannya.

    Tertuduh, Ishak Abdul Rahman, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 16 tahun 10 bulan di sebuah pondok di Dungun, pukul 8.45 malam pada 21 Februari lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

    Menurut laporan Harian Metro, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lelaki parah diserang 6 lelaki bersenjatakan parang

    Lelaki parah diserang 6 lelaki bersenjatakan parang

    SEORANG lelaki cedera parah selepas diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian rusuhan di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, Kulai, pukul 1.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa, 44, mengalami kecederaan di kepala dan perut telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 23 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

    “Siasatan awal mendapati punca rusuhan itu adalah disebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya masih mencari beberapa individu yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

    Semua suspek katanya, kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Kesesakan iaitu merusuh menggunakan senjata.

    Menurut Beng Yeow, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    “Mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada IPD Kulai atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Azri di talian 010-7647789,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ADUN Petagas pula keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

    ADUN Petagas pula keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

    PARTI Warisan terus bergolak apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Perkara itu diumumkan Awang Ahmad Sah yang juga bendahari agung Warisan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas melakukan perbincangan dengan pemimpin bahagian.

    “Pada hari ini, saya beserta dengan keseluruhan cawangan kecuali tiga atau empat cawangan mengumumkan bahawa kami meninggalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tindakan Awang Ahmad keluar parti itu susulan cubaan menyingkirkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor Hajiji pada Januari yang didalangi Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

    Pada 6 Februari lalu, tiga ADUN Warisan keluar daripada parti itu. Mereka ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

    Lima ADUN UMNO juga mengumumkan keluar parti minggu lepas untuk menyertai Gagasan Rakyat selepas enggan menyertai gerakan menggulingkan Hajiji sebagai ketua menteri.

    Awang Ahmad, yang juga bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Jeffrey Kitingan, dipilih sebagai Adun Petagas atas tiket Warisan pada pilihan raya negeri Sabah 2020.

    Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 261 undi, menewaskan Arsit Sidik dari Perikatan Nasional dalam pertandingan enam penjuru.

    Beliau pertama kali bertanding untuk kerusi DUN Petagas pada pilihan raya umum 2013 atas tiket STAR, tetapi hanya berjaya memperoleh 1,111 undi apabila Yahyah Hussin dari BN memenangi kerusi itu.

  • Apa strategi noktahkan miskin tegar tahun ini, soal Hamzah

    Apa strategi noktahkan miskin tegar tahun ini, soal Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perincian dalam usahanya ‘menoktahkan’ kemiskinan tegar dalam tahun ini juga.

    Katanya, apa bentuk strategi akan digunakan kerajaan berikutan berbaki sembilan bulan lagi demi merealisasikan hasrat itu.

    “Saya ucapkan tahniah.. (tetapi) jelaskan tentang noktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

    “Strategi mana. Tak dengar,” katanya ketika dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, lapor FMT.

    Pada 24 Februari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan iltizam kerajaan menjadikan 2023 sebagai tahun menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

    Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menumpukan pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

    Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan tahun ini kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

    Dalam pada itu, Hamzah berharap peruntukan saksama diberikan kepada enam negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah, dan Sarawak.

    Beliau juga mencadangkan kerajaan mewujudkan jabatan khusus warga emas.

  • Kenyataan didakwa fitnah TPM, BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin

    Kenyataan didakwa fitnah TPM, BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin

    BARISAN Nasional (BN) mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan yang mengaitkan Presiden UMNO sebagai ‘dalang’ kepada pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Ia dinyatakan melalui surat tuntutan dihantar BN melalui peguamnya selepas menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin selaku Ketua Penerangannya, sebagai satu tuduhan yang melampau.

    Menurut Bahagian Komunikasi BN melalui kenyataan, selain menarik kenyataan, dua pemimpin PN itu juga perlu memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah dilakukan.

    “Fitnah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan.

    “Di dalam surat tuntutan dihantar, kedua-dua penama terbabit mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, katanya kenyataan Muhyiddin yang menuduh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Wan Saiful itu jelas satu fitnah melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri.

    Katanya, ini termasuk tuduhan sama dibuat Mohamed Azmin yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan Bersatu sebelum ini adalah tindakan yang sudah dirancang.

    “Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.

    “Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik, sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah daripada kepemimpinan parti mereka sendiri,” katanya.

    Kenyataan sama memaklumkan, Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri itu adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.

  • 100 hari kerajaan Anwar kekal ditolak Melayu

    100 hari kerajaan Anwar kekal ditolak Melayu

    BERDASARKAN Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, penolakan orang Melayu kepada kerajaan semasa dilihat semakin ketara.

    Daripada lebih 35,000 responden yang mengambil bahagian, 71 peratus masyarakat Melayu Semenanjung menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    60 peratus berpandangan keadaan semasa negara adalah lemah.

    51 peratus menyatakan ekonomi negara bertambah buruk.

    Dan 43 peratus bersetuju bahawa hala tuju semasa negara adalah salah.

    Sememangnya kerajaan semasa bukanlah pilihan pengundi Melayu berdasarkan keputusan PRU15 lagi apabila majoriti orang Melayu telah memilih PERIKATAN NASIONAL.

    Ditambah pula dengan tindak tanduk Kerajaan PH-BN kini yang sangat cenderung kepada menjaga hati orang bukan-Melayu berbanding menjaga kepentingan orang Melayu sendiri.

    Perkara ini jelas dapat dilihat menerusi Bajet 2023 apabila aspek pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak benar-benar dipeduli oleh Kabinet Anwar Ibrahim.

    Tanpa sebarang pencapaian dan tanpa pelan pembangunan yang konkrit sebagai hala tuju membangunkan semula negara, 100 hari kerajaan campuran ini tidak lebih hanya menjadi wayang politik PH dan BN.

    Pastinya, Anwar dan Zahid Hamidi akan terus berdepan cabaran untuk menawan hati orang Melayu Semenanjung.

    Dan tidak mustahil, masyarakat bukan-Melayu juga akan hilang kepercayaan kepada kerajaan sekarang dengan prestasi mereka yang mengecewakan.

    NAZIR HELMI
    Ketua Penerangan Pemuda Pas


    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.