Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tiga hari tak hadir kerja rungkai penemuan mayat

    Tiga hari tak hadir kerja rungkai penemuan mayat

    MISTERI seorang pengawal keselamatan tidak hadir ke tempat kerja terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam bilik air sebuah rumah di Dataran Otomobil, Seksyen 15 di Shah Alam semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat tersebut ditemukan majikannya sebelum membuat satu laporan polis pada pukul 12.30 tengah hari.

    “Siasatan mendapati mangsa yang merupakan lelaki berumur 48 tahun itu dipercayai tiga hari tidak hadir bekerja serta gagal dihubungi majikannya.

    “Majikan kemudian datang ke rumah mangsa sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan bersandar di dinding bilik air selain keadaan fizikal yang sudah mereput dan berbau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Saya tak sokong Rauf sebagai ketua menteri-ADUN UMNO

    Saya tak sokong Rauf sebagai ketua menteri-ADUN UMNO

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak menyokong Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    Bekas Exco daripada UMNO itu berkata, dengan pelantikan Rauf, Barisan Nasional (BN) dan UMNO memungkiri satu manifesto penting ketika pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 2021.

    Beliau mendakwa BN berjanji calon ketua menterinya untuk PRN Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan kekal sehingga habis penggal.

    “Manifesto itu adalah janji pada rakyat, khususnya rakyat Melaka.

    “Dengan upacara angkat sumpah ketua menteri sebentar tadi, secara rasminya Umno dan BN memungkiri satu manifesto penting ketika PRN 2021.

    “Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Melaka, saya tidak menyokong, terlibat, malah menentang perkara ini. Sebagai seorang Muslim, janji tetap janji dan ianya harus dilaksanakan,” katanya, lapor FMT.

    Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam di pejabatnya petang tadi.

    Beliau menggantikan Sulaiman yang meletak jawatan semalam selepas berkhidmat buat kali kedua sebagai ketua menteri dari November 2021.

    Rauf adalah pengerusi BN dan Pengerusi UMNO Melaka, beliau beberapa kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri selepas BN memenangi PRN pada November 2021.

    Rabu lalu, Jailani dilaporkan berkata, Melaka akan mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’.

  • Musa Hassan fail tuntutan nusyuz terhadap isteri

    Musa Hassan fail tuntutan nusyuz terhadap isteri

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini, sehari selepas wanita itu memfailkan permohonan cerai di mahkamah sama di Shah Alam.

    Bagaimanapun, Musa, 72, yang hadir di mahkamah pada pukul 2.45 petang dengan diwakili peguam syarienya, Mohd. Rifahmi Abdul Musikin tidak mendedahkan butiran tuntutan terhadap Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, secara terperinci.

    “Permohonan nusyuz dibuat atas alasan ingkar dan tidak taat, saya tidak boleh cerita panjang, biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bagi prosiding berkenaan, mahkamah menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

    Ditanya mengenai penafian isterinya, sebagai individu yang menyebarkan video berkenaan sehingga tular dalam media sosial, Musa berkata, perkara itu perlu dirujuk dengan pihak polis.

    Krisis rumah tangga Musa kembali diperkatakan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam.

    Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, isteri kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika hadir menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).

    Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.

    Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.

    Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

    Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Polis mengesahkan, telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal bulan ini.

  • Pendakwaan belum buat keputusan rayu pembebasan Zahid

    Pendakwaan belum buat keputusan rayu pembebasan Zahid

    PIHAK pendakwaan belum memutuskan sama ada mahu meneruskan rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

    Susulan itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Khairi Haron memberikan pihak pendakwaan lebih masa untuk mempertimbangkan perkara itu, kata seorang peguam Zahid, Hamidi Nor.

    “Mahkamah menetapkan satu lagi tarikh pengurusan kes pada 12 Mei untuk Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan untuk membuat rayuan,” kata Hamidi memetik laporan FMT, hari ini.

    Perkara itu juga disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Malik Ayob.

    Malik membuat permohonan kepada Khairi untuk diberi lebih masa ketika pengurusan kes pagi tadi.

    Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara pada Januari lalu supaya pihak pendakwaan tidak meneruskan rayuan.

    Representasi dibuat selepas pasukan pembelaan menyemak petisyan rayuan pihak pendakwaan difailkan pada 29 Dec.

    Petisyen rayuan itu menyenaraikan 15 alasan untuk membatalkan keputusan hakim perbicaraan yang membebaskan Zahid.

    Pada 23 Sept 2022, Hakim Yazid Mustafa membebaskan Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Zahid, 70, didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) antara 2014 dan 2018, ketika beliau menteri dalam negeri dan Timbalan Perdana Menteri bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

    Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan lain untuk mendapatkan bagi dirinya SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan USD15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

  • Najib boleh cuba mohon semakan semula kedua

    Najib boleh cuba mohon semakan semula kedua

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh mengemukakan permohonan semakan semula kedua untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.

    Menurut beberapa peguam yang dihubungi Malaysiakini, undang-undang membenarkan seseorang untuk berbuat demikian.

    Peguam Ramesh N.P. Chandran berkata, walaupun tiada peruntukan untuk semakan kedua keputusan Mahkamah Persekutuan di Malaysia, pihak-pihak boleh memohon untuk semakan kedua dalam ‘keadaan tertentu’.

    Katanya, Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mengehadkan Mahkamah Persekutuan daripada mendengar ‘mana-mana’ permohonan, kerana peruntukan itu mengiktiraf kuasa sedia ada mahkamah tertinggi untuk menyemak keputusan mahkamah tertinggi sebelum ini untuk mencegah ketidakadilan atau penyalahgunaan proses.

    Ramesh berkata, bahawa pemohon untuk semakan kedua mesti membuktikan terdapat ketidakadilan yang serius, seperti bukti berat sebelah mahkamah atau mahkamah gagal sepenuhnya memahami perkara undang-undang yang dibangkitkan semasa pendengaran semakan pertama.

    Peguam Ng See Teong, bagaimanapun, memberi amaran bahawa mana-mana permohonan semakan kedua sedemikian mempunyai peluang tipis untuk menang, sambil mengingatkan bahawa dalam kes SRC International sekarang, seorang hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, tiga hakim Mahkamah Rayuan, dan sembilan hakim mahkamah persekutuan telah pun membuat keputusan bahawa bekas perdana menteri itu bersalah.

    Peguam jenayah itu juga berkata, Najib akan berdepan kesukaran untuk mencari kuorum hakim mahkamah Persekutuan yang lain untuk mendengar sebarang permohonan semakan kedua kerana jumlah mereka adalah kecil.

    “Bagaimanapun, kes mesti dimuktamadkan,” kata Ng.

    Sementara itu, peguam Mohd. Haniff Khatri Abdulla mempunyai pandangan berbeza.

    Katanya, tiada perkara seperti semakan ke atas semakan, seperti cadangan semakan kedua terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam keputusan majoriti 4-1 yang menolak permohonan semakan Najib.

    “Walaupun dia (Najib) mungkin mahu cuba, tetapi apabila kes SRC International itu sampai ke mahkamah, ia akan berakhir.

    “Satu-satunya cara yang tinggal untuknya ialah mendapatkan pengampunan daripada Lembaga Pengampunan,” kata peguam itu.

    Kemungkinan semakan kedua dicetuskan berikutan keputusan mahkamah persekutuan mengenai kes SRC International, dengan timbalan pendakwa raya V. Sithambaram berkata, Najib mungkin mencuba lagi.

    Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah pula dilaporkan berkata keputusan bertentangan yang dibuat oleh pengerusi panel hari ini, iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, membuka jalan baharu untuk Najib.

    Bagaimanapun, keputusan majoriti oleh ahli panel lain, hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais akan juga diambil kira dalam menafikan permohonan semakan itu.

    Keputusan hari ini selaras dengan keputusan pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel mahkamah Persekutuan berlainan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah itu.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai iaitu perbicaraan rasuah 1MDB , membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion.

    Walau bagaimanapun, satu-satu kes yang dimenanginya ialah bekas perdana menteri itu diberi pembebasan penuh dalam kes pinda laporan audit 1MDB. Namun, pihak pendakwaan telah merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut.

  • Setiausaha Politik MB Kedah dakwa Mat Sabu bohong isu Dewan MAEPS

    Setiausaha Politik MB Kedah dakwa Mat Sabu bohong isu Dewan MAEPS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETIAUSAHA Politik Menteri Besar Kedah, Mohd. Hilmi Abd. Wahab mendakwa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berbohong dalam kenyataannya mengenai sewaan Dewan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor oleh kerajaan negeri Kedah.

    Menjelaskan perkara itu Mohd. Hilmi berkata, beliau selaku ketua pengurusan Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah di Perantauan Bersama Menteri Besar yang dianjurkan kerajaan negeri telah turun ke MAEPS pada 23 Mac lalu.

    Katanya, langkah itu bagi membuat tinjauan serta mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk pengurusan bagi menyewa Dewan A MAEPS.

    “Dalam perbincangan dengan pengurusan MAEPS dan pihak katering, penganjur majlis bersetuju dengan kadar sewa dan kos sajian makanan yang ditetapkan pada harga RM70,000.

    “Bagaimanapun pada 29 Mac, saya menerima kiriman Whatsapp dari katering yang menyatakan pihak kementerian telah menghubungi pengurusan MAEPS dan tidak membenarkan premis di MAEPS disewa untuk majlis itu,” katanya.

    Terdahulu Muhammad Sanusi memuat naik status dalam laman Facebooknya semalam mendakwa kelulusan Dewan A, MAEPS yang sepatutnya dijadikan lokasi majlis tersebut pada 9 April depan ditarik balik.

    Mohamad Sabu bagaimanapun membalas kenyataan itu dengan menzahirkan rasa pelik kerana dakwanya, pihak kementerian belum mengeluarkan sebarang surat setuju terima atau sebut harga.

    Mohd. Hilmi menambah, beliau dimaklumkan alasan premis berkenaan tidak dibenarkan disewa disebabkan gambar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ada dalam poster dan beliau dijadualkan akan menghadiri majlis tersebut.

    “Jelas, penafian menteri adalah pembohongan semata-mata apabila mendakwa kementeriannya tidak pernah memberi arahan melarang Dewan Maeps disewa untuk majlis kerajaan negeri Kedah,” katanya.

  • mrah ditunda, bakal jemaah tuntut bayaran

    mrah ditunda, bakal jemaah tuntut bayaran

    RATUSAN bakal jemaah yang sepatutnya mengerjakan umrah pada Februari atau Mac tahun ini menuntut sebuah agensi pengendali umrah memulangkan semula wang tempahan mereka.

    Ini susulan dakwaan perjalanan umrah itu yang ditunda beberapa kali, selain ada yang mendakwa dibatalkan.

    Seorang daripada mereka, Norhasdiana Mohamad Yusoh, 35, berkata, dia bersama 14 ahli keluarganya menuntut pulangan berjumlah RM113,890 selepas agensi umrah itu membatalkan tempahannya.

    “Kami membuat tempahan untuk melakukan umrah pada 25 Februari tahun ini. Beberapa hari sebelum tarikh itu, kami mendapat notis penundaan tarikh kepada 6 Mac.

    “Dimaklumkan kumpulan yang sudah menunda tarikh kepada 6 Mac akan dipecahkan kepada empat kumpulan (mengerjakan umrah). Kumpulan pertama 3 Mac, kedua 4 Mac, ketiga 5 Mac dan keempat 6 Mac.

    “Dua hari sebelum tarikh itu, kami masih tidak dapat apa-apa butiran (untuk mengerjakan umrah). Tiket penerbangan dan hotel semua tak ada, kemudian keluar satu lagi notis pembatalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

    Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, pembatalan umrah itu juga menyebabkan neneknya yang uzur bersedih dan mereka kini terpaksa menempah untuk perjalanan pada Ogos dengan agensi lain.

    “Sebab itu saya datang ke sini untuk dapatkan amaun penuh yang dibayar sebelum ini supaya saya boleh bayar kepada agensi itu,” katanya yang bekerja sebagai konsultan.

    Seorang lagi bakal jemaah, Siti Noraini Hamzah, 38, membuat tuntutan sama bagi tempahan dua orang yang dibuat pada 27 Julai 2022.

    Pensyarah itu berkata, pakej diambil untuk perjalanan pada 25 Februari hingga 8 Mac lalu dengan nilai RM16,980.

    “Tetapi apabila tarikh nak dekat terbang, pihak agensi menundakan tarikh saya ke tarikh lain iaitu pada 6 Mac atas isu tiket (penerbangan) dan global.

    “Sepanjang 25 Februari sehingga 6 Mac, tidak ada apa-apa maklumat mengenai butiran penerbangan dan info hotel pun tiada,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

    Menurutnya, dia kemudian diberi tiga pilihan sama ada mahu membatalkan pakej, menunda ke tarikh lain atau meminta pemulangan wang.

    “Jadi kita minta pemulangan wang. Dia kata pemulangan wang ini dalam masa 14 hari. Ini sudah lebih 14 hari tak dapat duit itu. Kami nak duit balik,” katanya yang turut memaklumkan telah membuat laporan polis di Seri Alam, Johor.

    Sementara itu, agensi pengendali umrah itu dalam kenyataannya hari ini berkata, penundaan selepas pemantauan perkembangan semasa di Tanah Suci Makkah dan Madinah, yang kini dilapor sesak dengan kehadiran jutaan jemaah dari seluruh dunia.

    Katanya, keadaan ini berlarutan sejak pembukaan pintu sempadan Arab Saudi, malah jemaah yang berkunjung ke Tanah Suci meningkat terutama pada Ramadan.

    “Difahamkan, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengehadkan permit umrah di bulan Ramadan kerana bilangan jemaah dari dalam dan luar negara menyukarkan tempahan dibuat untuk menunaikan ibadah itu.

    “Aplikasi Nusuk menunjukkan tempahan slot Raudhah sentiasa penuh menyebabkan jemaah sukar mendapat peluang beribadah di ‘taman syurga’ itu.

    “Pada masa yang sama, harga hotel-hotel di Mekah dan Madinah turut dilaporkan meningkat tiga kali ganda meskipun peningkatan harga pernah berlaku sebelum ini berikutan wujudnya kegiatan ulat yang mengambil kesempatan menjual tempat penginapan pada harga lebih tinggi,” katanya.

    Untuk kelancaran, agensi itu berkata, berkemungkinan terpaksa menambah bayaran kos umrah dan ia kali pertama dilaksana pihaknya.

    “Ini kerana sebelum ini pihak syarikat menyerap atau menanggung sendiri semua kos kenaikan yang berlaku.

    “Bagaimanapun, bakal jemaah umrah yang tidak bersetuju berbuat demikian diberi pilihan untuk menangguhkan sementara ibadah umrah mereka ke suatu tarikh yang lain.

    “Atau membuat pembatalan dan pembayaran balik akan dilaksanakan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

  • SM Faisal bebas tuduhan mencederakan bekas isteri

    SM Faisal bebas tuduhan mencederakan bekas isteri

    DATUK SM Faisal SM Nasimuddin dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi selepas wanita itu menarik balik kes.

    Majistret Nadia Othman, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader supaya anak guam dibebaskan daripada pertuduhan hasil persetujuan Emilia untuk menarik balik kes.

    “Saya percaya pihak-pihak (SM Faisal dan Emilia) sudah berdamai dan mencapai jalan penyelesaian.

    “Saya melepas dan membebaskan SM Faisal daripada pertuduhan, manakala wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor Harian Metro.

    SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di Kuala Lumpur, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, peguam pemerhati mewakili Emilia, Nizam Bashir berkata, kedua-dua pihak mencapai penyelesaian supaya semua pertikaian diselesaikan secara baik.

    Akberdin pula berkata, pihaknya dan pihak Emilia bersetuju untuk tidak mendedahkan terma penyelesaian kepada umum.

    “Selepas ini, kedua-dua pihak akan ambil tindakan untuk tidak meneruskan semua tuntutan di Mahkamah Syariah dan berharap semua berjalan lancar,” katanya.

    Sementara itu, SM Faisal ketika ditemui media menzahirkan rasa syukur dengan penyelesaian kes dan mahu menumpukan perhatian kepada anak.

    “Alhamdulillah, kes sudah selesai dengan cara baik pada Ramadan ini. Kes berjalan bertahun-tahun dan sekarang nak fokus anak balik dengan cara baik,” katanya.

    Emilia pula memaklumkan mengambil berkat bulan yang mulia untuk menarik kembali kes demi anak, selain menyerahkan kepada peguam untuk isu berbangkit pada masa akan datang.

    Pasangan itu berkahwin pada 2004 sebelum bercerai 12 tahun kemudian, manakala hak penjagaan tiga anak mereka diberikan sepenuhnya kepada Emilia.

  • Rauf rujuk Zahid untuk bentuk kerajaan perpaduan

    Rauf rujuk Zahid untuk bentuk kerajaan perpaduan

    KETUA Menteri Melaka yang baharu dilantik, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau perlu berunding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu untuk membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu.

    Bercakap pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan itu petang ini, Rauf berkata, ini termasuk sama ada untuk memasukkan wakil Pakatan Harapan (PH) dalam barisan Exco negeri yang baru.

    “Saya akan merujuk pada presiden saya dulu untuk pastikan apakah hala tujunya dan saya akan ambil petua tersebut untuk merangka Exco kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di pejabat kerajaan negeri Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

    Rauf menjawab beberapa soalan mengenai rancangannya untuk negeri itu dan sama ada Melaka akan menyaksikan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PH seperti di peringkat persekutuan atau tidak, lapor Malaysiakini.

  • Exco baharu Kerajaan Melaka diumum dalam tempoh 48 jam

    Exco baharu Kerajaan Melaka diumum dalam tempoh 48 jam

    PENGUMUMAN 10 Exco baharu Kerajaan Melaka akan dibuat dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

    “Langkah pantas diambil untuk memastikan urusan pentadbiran Kerajaan Melaka tidak tergendala jika berlaku kelewatan melantik barisan Exco,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, hari ini selepas upacara angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

    Mengenai komposisi Exco itu nanti, beliau mengakui belum ada ilham kerana akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan panduan.

    Sementara itu, Melaka Hari ini melaporkan, Ab. Rauf berkata, jawatan Exco yang sebelum ini telah automatik terbubar.

    “Sekarang sudah tiada Exco, jawatan Exco saya juga telah pun tergugur dan tiada jawatan Exco sehingga lantikan baharu dibuat.

    “Kita akan lihat seperti mana ia (barisan Exco Kerajaan Negeri) akan terbentuk di Melaka bentuk dan kaedahnya saya masih belum dapat lagi.

    “Namun apa jua yang dirancang oleh Ketua Menteri terdahulu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali, akan diteruskan dan ditambah baik di bawah kepimpinan saya,” katanya.

    Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, pada pukul 3.33 petang tadi.