Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Dituduh bocor rahsia punca dihalang sertai program Persekutuan’

    ‘Dituduh bocor rahsia punca dihalang sertai program Persekutuan’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau dituduh membocorkan rahsia Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Parlimen sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu, hingga menyebabkannya dihalang daripada menyertai sebarang program kerajaan Persekutuan.

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas itu, kejadian tersebut berlaku ketika Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sekarang masih belum dilantik.

    Dalam Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Parlimen sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu itu katanya, terdapat dua pembentangan dengan yang pertama dari pegawai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai kedudukan perumahan awam di seluruh negara.

    “Hari pembentangan kedua melibatkan Kementerian Kewangan dibentangkan sendiri menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab KSP semasa itu, beliau ‘pi’ bubuh peti sejuk. Apabila beliau bentang sendiri, maka beliau bukan nak ‘detail’ setiap angka dalam kertas tersebut sebaliknya bersyarah sampai cerita falsafah kewangan Turki dan sebagainya.

    “Ini bukan pembentang sebaliknya syarahan kewangan dan saya turut hantar mesej kepada seorang menteri yang turut terlibat dalam mesyuarat tersebut. Selepas itu, saya ada pula ceramah di Sungai Besar.

    “Dalam ceramah itu, saya ‘habaq’ la bahawa pembentangan pertama dalam mesyuarat tersebut dibentangkan pegawai KPKT manakala pembentangan kedua dibuat Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan kerana KSP tidak hadir. Inilah tuduhan ke atas saya kerana membocorkan rahsia kerajaan, jadi saya dilarang sertai program-program Persekutuan kerana ceritakan bahawa Anwar Ibrahim bentang sendiri kertas kementeriannya,” katanya.

    Klip video ceramah berkaitan perkara itu dimuat naik Muhammad Sanusi di laman sosial rasmi Facebooknya, hari ini.

    Tambahnya, alasan itu terlalu bodoh kerana siapa yang membentangkan kertas itu bukanlah sesuatu yang sulit sebaliknya perkara yang sulit adalah kandungan pembentangan tersebut.

    “Saya ‘habaq’ siapa bentang, saya tak ‘habaq’ dia cerita apa. Bila keluar arahan Kabinet, dia akan turun kepada ‘post Cabinet Meeting’ dan semua Kementerian akan dapat arahan sama.

    “Sekarang ini semua agensi ‘dok’ menggerodak dalam perut, takkan ini saja alasan nak kena halang saya,” katanya.

    Dakwanya, semua agensi Persekutuan di Kedah turut menerima arahan sama.

    “Walaupun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ada di kedah, tetapi saya tak boleh terlibat, ambil tahu atau hadir program mereka,” katanya.

  • Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kambing tanpa kebenaran

    Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kambing tanpa kebenaran

    MAHKAMAH Majistret Setiu hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap seorang pemandu lori selepas mengaku bersalah memindah 62 ekor kambing bernilai RM28,470 tanpa kebenaran.

    Memetik laporan Harian Metro, Majistret Ainis Abu Hassan Shaari membuat keputusan itu selepas tertuduh, Abli Abdullah, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Selain itu, tertuduh turut berdepan hukuman penjara 20 bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Mahkamah turut memerintahkan 62 ekor kambing itu dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan 62 ekor kambing dengan menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa olehnya.

    Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Kota Bharu, Kuala Terengganu, Setiu pukul 11.15 malam pada 13 Oktober 2022.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Perenggan i (b).

    Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang mana diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Penunggang motosikal maut terperosok bawah Axia

    Penunggang motosikal maut terperosok bawah Axia

    PENUNGGANG motosikal maut selepas tersepit di bawah sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam kemalangan di Jalan Utama Bandar Country Home, Rawang, hari ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes tersebut pada pukul 6.20 pagi.

    Katanya, seramai 13 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 68 tahun dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang seorang lelaki anggaran usia 30-an.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah tersepit di bawah kereta,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Morni berkata, bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

    Katanya, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.

  • PN boleh lakukan lebih baik selesai masalah rakyat, kata Muhyiddin

    PN boleh lakukan lebih baik selesai masalah rakyat, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) seolah-olah tidak memahami penderitaan yang dihadapi rakyat terutamanya melibatkan kehidupan mereka yang sengsara, khususnya selepas pandemik Covid-19.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, rakyat ketika ini menghadapi kesukaran yang luar biasa, namun masalah itu ditangani oleh kerajaan PH-BN secara tidak bijaksana sehingga memberi kesan yang lebih buruk.

    “Masalah yang paling besar yang dihadapi oleh rakyat hari ini selepas kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 melibatkan soal kehidupan, di mana tidak ada satu perkataan baik diberikan kepada kerajaan sekarang.

    “Yang anggap rasa tidak puas hati ataupun kecewa, marah kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan tidak tepat untuk membantu mengurangkan beban dan penderitaan yang sedang ditanggung penderitaan rakyat.

    “Ramai yang jatuh miskin, bertambah B40 jadi B60. Sebahagian besar tidak ada pendapatan, tidak ada pekerjaan. Jadi masalah-masalah sebegini agak tidak dirasakan oleh pimpinan kerajaan yang ada pada hari ini

    “Sebab itu ramai yang rasa kecewa. Masa saya berucap ini ada seorang manusia dari Johor berjalankan kaki nak pergi ke Istana Negara kerana minta tuntut supaya kerajaan benarkan KWSP digunakan,” katanya menurut laporan Agenda Daily.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program iftar Ramadan bersama penduduk kawasan Parlimen Pagoh, di Kundang Ulu semalam.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau dan ahli Parlimen PN sentiasa membawa suara rakyat berkaitan isu itu di Parlimen dan meminta kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    “Tetapi ini (KWSP) dah saya bangkit dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional bangkit dalam Parlimen selalu. Di hadapan perdana menteri, di hadapan menteri ekonomi, kita bincang perkara itu, kita minta supaya apa yang telah disuarakan oleh sebahagian rakyat untuk membolehkan wang KWSP itu dikeluarkan untuk digunakan supaya meringankan bebanan mereka, (tetapi) tidak diluluskan oleh kerajaan.

    “Juga bentuk-bentuk bantuan yang lain termasuk menangani masalah kos sara hidup yang hari ini makin menambah beban. Harga bahan makanan juga perkhidmatan naik mendadak menyebabkan sebahagian besar penduduk kita khususnya orang Melayu ataupun yang juga bukan Melayu berhadapan dengan masalah kehidupan yang agak begitu daif.

    “Perkara seperti ini tidak diberikan perhatian langsung oleh kerajaan PH-BN sekarang, sedangkan ia adalah perkara serius yang perlu ditangani segera,” katanya lagi.

    Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan bahawa PN bersatu hati dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat.

    “Kerajaan hari ni macam tidak langsung faham tentang penderitaan yang dihadapi oleh rakyat. Kesukaran yang agak luar biasa.

    “Sebab itu kita (PN) akan teruskan usaha kita. Kita bukan setakat menyuarakan, tetapi kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya seperti mana di peringkat pimpinan kita baik Bersatu ataupun Pas dan Gerakan di peringkat bawah sekalipun turun ke lapangan untuk memberikan apa saja bentuk bantuan yang kita mampu beri supaya penderitaan yang dihadapi oleh rakyat itu dapat kita atasi ataupun kita kurangkan.

    “Jadi itulah antara perkara yang saya fikir amat penting dan mustahak pada ketika ini supaya rakyat akan bersama kita… teruskan sokongan kepada Perikatan Nasional.

    “Kita akan berjuang… enam buah negeri tak lama lagi akan berhadapan dengan pilihan raya dan kita akan tunjukkan kepada rakyat jelata bahawa kita lah antara pimpinan politik walaupun menjadi pembangkang, dapat menegakkan keadilan, melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang jauh lebih baik dan mampu berbanding dengan pihak kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

  • Muhyiddin yakin maruah beliau, PN dibersihkan di mahkamah

    Muhyiddin yakin maruah beliau, PN dibersihkan di mahkamah

    TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin maruah beliau dan Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu dan Pas akan dapat dibersihkan apabila perbicaraan tuduhan rasuah dan menyalahgunakan kuasa oleh beliau bermula.

    Pengerusi PN itu berkata, banyak pihak yang telah menyatakan bahawa pertuduhan terhadap beliau adalah satu tindakan bermotifkan politik.

    Menurut bekas Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Pagoh itu, pasukan peguam beliau juga sudah mengkaji dan meneliti pertuduhan yang dikenakan itu dan mendapati ianya tidak kukuh.

    “Tuduhan tentang salah guna kuasa… saya sudah berada dalam kerajaan sudah lama… memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri sebagai menteri besar… menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri.

    “Saya tak pernah melakukan apa-apa yang dikatakan sebagai salah guna kuasa atau pun menerima sesen pun rasuah.

    “Dia (pertuduhan) kata saya sebagai presiden parti (Bersatu) menerima sumbangan daripada banyak pihak yang nak membantu parti kita.

    “Dan itu dia kata satu kesalahan kerana dikaitkan dengan salah guna kuasa yang saya tak guna,” katanya pada majlis iftar Ramadan bersama penduduk Parlimen Pagoh di Kundang Ulu semalam, lapor Agenda Daily.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti pertuduhan terhadapnya dan perkara itu telah dinyatakan di hadapan hakim.

    “Jadi sebab itu saya yakin dan percaya bila masa sampai masa saya berhadapan dengan hakim dalam perbicaraan nanti insya-Allah dengan team guaman yang telah pun terbentuk mereka akan dapat membela saya dan maruah saya akan terbela.

    “Orang Pagoh pun akan rasa lega. Dan yang penting sekali tak tercemar parti kita iaitu Perikatan Nasional dan Bersatu serta Pas,” katanya yang mengakui perjuangan PN semakin sukar.

  • Muhyiddin raikan penduduk, golongan asnaf Pagoh

    Muhyiddin raikan penduduk, golongan asnaf Pagoh

    AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meraikan penduduk tempatan pada majlis berbuka puasa di Kundang Ulu dekat Pagoh, semalam.

    Pada majlis yang diadakan di kediaman Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Muhyiddin turut meraikan golongan asnaf.

    “Seperti tahun-tahun lalu, setiap kali Ramadan tiba, golongan asnaf di kawasan ini tidak pernah dilupakan menerusi penyampaian sumbangan Ramadan.

    “Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kehidupan mereka yang terkesan teruk dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

    “Saya doakan semoga kita semua diberi kesihatan yang baik dan ibadah puasa serta amalan kita di sepanjang Ramadan ini diterima Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

    Sempena majlis tersebut, satu majlis tahlil turut diadakan dan dipimpin oleh bekas Yang Dipertua Pas Pagoh, Samad Surip.

  • 13 Proton Wira buat bising disita

    13 Proton Wira buat bising disita

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS menyita 13 buah kereta Proton Wira setelah tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan parkir di Jalan Alamanda, Sik yang mengeluarkan bunyi bising kenderaan masing-masing.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata; operasi disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.

    Selain Proton Wira yang disita dalam Op Bersepadu dan Samseng Jalanan itu, polis turut menyita tiga motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

    Tindakan mereka itu juga mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan dan polis bertindak berdasarkan maklumat yang diterima.

    “Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101, termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai ,” katanya.

    Abdull Razak berkata, jumlah individu yang ditahan dalam operasi itu pula seramai tiga orang berusia 19 hingga 27 tahun membabitkan empat kes.

    “Antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (2 kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (1 kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (1 kes),” katanya.

  • Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dialu-alukan untuk menyertai parti itu seperti beberapa ahli politik lain yang akan turut berbuat demikian.

    Menurut Menteri Besar Terengganu itu, Pas berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran UMNO, bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Ketereh.

    “Saya percaya mereka yang berpengalaman seperti Annuar dan lain-lain boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan parti,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau menambah, pemimpin lain yang kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas tidak lama lagi, namun beliau tidak mengulas lanjut.

    Annuar dipecat daripada UMNO Disember lalu dan timbul spekulasi bahawa beliau akan menyertai Pas tidak lama lagi.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu pada Februari berkata, beliau “serius mempertimbangkan” untuk menyertai parti politik baharu yang padan dengan nilai politiknya, iaitu “melindungi Islam, orang Melayu dan negara”.

    Menyentuh perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.

    “Kami masih berbincang dengan kerajaan persekutuan, tetapi kami telah terima sedikit bayaran pendahuluan peruntukan itu beberapa hari lepas. Belum terima jumlah penuh,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.

    Pada Februari, Samsuri berkata, beliau berharap kerajaan Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.

    Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan Perbendaharaan sama ada pemberian sebelum ini adalah bayaran royalti petroleum.

    Bagaimanapun, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

    Terengganu dan Kelantan tidak layak menerima royalti 5% kerana Petronas mengekstrak minyak mentah melebihi had tiga batu nautika.

    Pemberian khas itu juga dipanggil “wang ehsan” pada masa lalu. Tahun lepas, wang ehsan bernilai RM344.60 juta telah dibayar kepada Kelantan manakala Terengganu menerima RM1.69 bilion.

  • MP PKR kesal perbincangan isu Mitra ditangguh atas alasan tiada kelulusan PM

    MP PKR kesal perbincangan isu Mitra ditangguh atas alasan tiada kelulusan PM

    AHLI Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran esal selepas sesi perbincangan hala tuju Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) ditangguhkan atas alasan perlu mendapatkan kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurutnya, sesi perbincangan yang dicadangkan pada Isnin ini telah ditangguhkan.

    “Bagi pihak semua ahli Parlimen, saya menulis surat kepada Mitra untuk membincangkan isu-isu penting dan berkaitan penggunaan dana Mitra.

    “Saya kemudian bertemu Ketua Pengarah Mitra, Raveendran Nair awal minggu ini. Saya meminta mesyuarat rasmi bersama-sama ahli Parlimen lain. Beliau berkata saya perlu mendapatkan kelulusan daripada Ketua Setiausaha Negara, yang kemudiannya saya dapat.

    “Bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa ia tidak mencukupi dan saya memerlukan kelulusan perdana menteri untuk mesyuarat tersebut.

    “Alasan ini adalah menyedihkan dan paling tidak sesuai. Jika saya diberitahu lebih awal bahawa saya memerlukan kelulusan perdana menteri pada awalnya, saya akan mendapatnya. Sekarang perdana sibuk di luar negara.

    “Saya kesal sesi perbincangan ini penting setelah permintaan tinggi bagi mereka yang memerlukan bantuan. Ia juga penting untuk Mitra menjelaskan tentang dakwaan salah guna dana yang dibuat mengenainya pada masa lalu,” katanya.

    Malaysiakini sedang cuba menghubungi Raveendran untuk mendapatkan penjelasan.

    Mitra, yang dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic).

    Pada asalnya dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

    Sedic dibubarkan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

    Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

    Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan geran yang diperuntukkan kepada unit itu.

    Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti telah menerima geran daripada Mitra antara 2019 dan 2021 dengan jumlah dianggarkan kira-kira RM203 juta.

    Sementara itu, Kulasegaran juga berkata, bahawa ahli Parlimen lain yang sepatutnya menghadiri mesyuarat itu juga tidak berpuas hati.

    “Saya menggesa Mitra mengadakan mesyuarat di kalangan ahli parlimen dengan segera.

    “Saya akan berjumpa dengan PM untuk membincangkan perkara ini dengannya.

    “Mitra perlu beralih daripada memberi geran kepada bantuan sepanjang hayat,” katanya.

    Untuk rekod, pada Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah memperuntukkan RM100 juta kepada demi membantu masyarakat India di negara ini.

  • Lelaki OKU cederakan bekas majikan tak bayar hutang

    Lelaki OKU cederakan bekas majikan tak bayar hutang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki bisu dan pekak ditahan polis bagi membantu siasatan kes bekas majikannya yang ditemukan berlumuran darah di Jalan Pertanian 26, Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

    Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 10.56 malam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa, 45, bekerja sebagai pemandu lori dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan, muka dan telinga dipercayai terkena ojbek tajam.

    “Hasil tindakan pantas polis pada jam 12.15 tengah malam tadi berjaya menahan suspek yang merupakan warga tempatan berusia 26 tahun di rumahnya di Taman Universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pakaian digunakan suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu semasa kejadian turut dirampas.

    Jelasnya, semakan lampau mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan tiga kes jenayah dan satu kes dadah.

    “Motif kejadian kerana mangsa dikatakan tidak membayar gaji semasa suspek bekerja dengannya sebagai kalindan lori,” ujar beliau.

    Suspek katanya, direman selam tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.