Author: Wartawan WartaRakyat

  • 19,631 kes baharu Covid-19: Labuan sifar, Selangor kekal tertinggi

    19,631 kes baharu Covid-19: Labuan sifar, Selangor kekal tertinggi

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan apabila sebanyak 19,631 kes direkodkan hari ini berbanding 19,740 kes semalam.

    Labuan kembali mencatatkan rekod cemerlang apabila hanya mencatatkan sifar jangkitan buat kali kedua bulan ini.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,444,270 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 5,753 jangkitan baharu.

    Sabah terus menunjukkan trend kenaikan kes apabila mencatatkan sebanyak 2,103 kes untuk berada di tempat kedua diikuti Kedah (1,863 kes) dan Kuala Lumpur (1,765 kes)

    Selain itu, empat negeri lain mencatatkan lebih 1,000 kes harian iaitu Johor (1,309 kes), Pulau Pinang (1,275 kes), Kelantan (1,268 kes) dan Perak (1,101 kes).

    Sarawak, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing merekodkan tiga digit kes.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu sifar jangkitan diikuti Perlis (37 kes) dan Putrajaya (41 kes).

  • PH semakin terdesak, pancing Shafie jawatan TPM

    PH semakin terdesak, pancing Shafie jawatan TPM

    PAKATAN Harapan (PH) semakin terdesak untuk meraih sokongan terhadap calon Perdana Menteri pilihan mereka, sehingga tergamak menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Memetik laporan The Star, sumber berkata, pada masa ini, calon Perdana Menteri dari PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang tersebut.

    Walau bagaimanapun, katanya, Presiden PKR itu masih berusaha meyakinkan Warisan dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyokongnya.

    Sumber tersebut turut menyatakan, memang diketahui umum bahawa Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Shafie tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Anwar.

    “Kita semua tahu bahawa kenaikan Mohd Shafie dalam UMNO dahulu dicantas dengan kemasukan Anwar dan sokongan Dr Mahathir terhadapnya pada 1990-an dahulu walaupun beliau berpotensi dipilih sebagai Naib Presiden parti itu.

    “Sokongan lapan Ahli Parlimen dari Warisan terhadap calon Perdana Menteri dari PH adalah penting dan sebab itulah Mohd Shafie ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai balasan.

    “Kami tidak dapat menawarkan jawatan itu kepada bekas Perdana Menteri seperti Dr Mahathir kerana beliau tidak akan bersetuju sekiranya diberi jawatan yang lebih rendah.

    “Selain itu, Mohd Shafie juga dijangka tidak hanya membawa lapan Ahli Parlimen Warisan, malah mungkin boleh membawa bersama dua Ahli Parlimen dari pejuang, seorang dari UPKO dan dua orang lagi dari PSB.

    “Beliau mungkin menerima tawaran itu memandangkan ada pihak yang menyarankan agar beliau dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

    Sementara itu, sumber dari Warisan berkata, Mohd Shafie seharusnya menerima tawaran itu bagi menjadikan parti tersebut sebagai sebahagiand daripada kerajaan Persekutuan.

    “Tiada musuh yang kekal dalam politik. Saya pasti Mohd Shafie sedang mempertimbangkannya secara serius kerana tawaran itu kelihatan baik dan Anwar kelihatan jujur untuk mendapatkan sokongannya,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, masih belum ada pengesahan daripada Mohd Shafie sendiri berhubung tawaran tersebut dan beliau diketahui pernah menolak pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.

  • Akibat hutang, lelaki maut dipukul beberapa individu

    Akibat hutang, lelaki maut dipukul beberapa individu

    RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang dipercayai berdepan masalah hutang maut ketika menerima rawatan di hospital setelah dipukul beberapa lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Tan Yok Fong, Kulai, semalam.

    Mangsa berusia 46 tahun itu pada awalnya dilaporkan cuba memasuki kediaman seorang wanita yang berusia 31 tahun di lokasi tersebut sebelum kejadian disedari wanita berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, polis telah menahan wanita berkenaan berserta tiga lagi lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia yang berusia antara 31 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan.

    “Dalam kejadian itu, penghuni rumah iaitu seorang wanita yang sedang tidur menyedari kediamannya cuba dimasuki seorang lelaki sebelum bertindak menghubungi rakannya. Lelaki itu yang melihat kehadiran rakan wanita itu cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

    “Pergelutan tersebut telah menarik perhatian orang awam. Setibanya polis di lokasi lelaki berkenaan didapati telah dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Tambah Beng Yeow, lelaki itu yang mengalami kecederaan parah dilaporkan maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada pukul 9.45 malam tadi.

    Polis turut memburu seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut dan berdasarkan siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang.

    Beberapa barangan turut dirampas polis bagi membantu siasatan antaranya termasuk dua telefon bimbit, sebuah kenderaan, satu batang paip PVC sepanjang 80 sentimeter dan satu botol air yang telah pecah.

    Kesemua individu yang ditahan kini direman selama enam hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

  • Gudang peralatan elektrik dan elektronik musnah terbakar

    Gudang peralatan elektrik dan elektronik musnah terbakar

    SEBUAH gudang menyimpan peralatan elektrik dan elektronik di Jalan Rozhan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.28 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba didapati kebakaran itu melibatkan sebuah bangunan dua tingkat berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi.

    “Selain keseluruhan kawasan gudang seluas 836 meter persegi yang musnah sepenuhnya, kebakaran itu turut melibatkan ruang pejabat seluas 836 meter persegi dan tempat memuat barang seluas 334 meter persegi yang masing-masing musnah kira-kira 30 peratus.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.15 malam dan operasi itu ditamatkan sepenuhnya pukul 5.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Jurucakap itu menambah, operasi tersebut membabitkan seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Bandar Perda, Sungai Bakap dan Jalan Perak.

    Tambahnya, mereka turut dibantu beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.

    “Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik premis itu masih dalam siasatan dan Unit Pengesan (K9) turut digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Kerap dibuli, warga Indonesia tetak dua rakan sekerja hingga mati

    Kerap dibuli, warga Indonesia tetak dua rakan sekerja hingga mati

    SEORANG warga Indonesia nekad menetak dua rakan sekerjanya sehingga mati manakala seorang lagi cedera parah selepas dia dipercayai berang dengan tindakan mangsa yang kerap membulinya.

    Kejadian awal pagi semalam itu berlaku di bahagian dek pemandu sebuah kapal ikan di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan dekat Kuching, Sarawak.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Macha Ata berkata, suspek berusia 47 itu bertindak menyerang tiga pekerja lain menggunakan sebilah parang ketika mereka sedang tidur mengakibatkan dua mangsa meninggal dunia ditempat kejadian.

    “Mangsa yang maut adalah dua lelaki tempatan berusia 20-an manakala seorang lagi cedera dengan kesan tetakan objek tajam.

    “Dia dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan setakat ini keadaanya stabil,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mancha berkata, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Bintawa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

    Difahamkan suspek telah bekerja di atas kapal tersebut sejak enam bulan lalu.

    Mayat kedua-dua mangsa berusia dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat.

    “Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan,” tambahnya.

    Sementara itu, Mancha berkata, suspek dari Pontianak, Indonesia itu direman sehingga 23 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Selain suspek turut disiasat mengikut Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.

  • Ada konspirasi jatuhkan Muhyiddin, kerajaan PN?

    Ada konspirasi jatuhkan Muhyiddin, kerajaan PN?

    BENARKAH ada konspirasi oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan terdahulu di bawah Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin?

    Persoalan timbul apabila Perdana Menteri sementara itu tidak menolak kemungkinan komplot tersebut berlaku.

    Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkannya didakwa di mahkamah.

    Memetik laporan Astro Awani, Muhyiddin turut mempertahankan hakikat bahawa pentadbirannya tidak gagal dan kerajaan PN telah menunjukkan prestasi yang baik.

    Pada masa yang sama, beliau mendakwa ada pihak yang cuba mengambil peluang dengan mempersoalkan keabsahan kerajaan.

    “Saya rasa seperti seolah-olah ada konspirasi.. seolah-olah lah, pasal saya juga seorang (ahli) politik menilai, sewajarnya tidak begitu.

    “Jadi, petanda-petanda yang saya fikir dilakukan pihak atau kumpulan tertentu untuk tujuan tertentu.

    “Saya tak nak buat apa-apa kenyataan yang menyebabkan saya diheret ke mahkamah, ini fakta politik yang saya akui mungkin telah membuat kesan sebegitu rupa sehingga mungkin cita-cita mereka berhasil.

    “Tetapi tak apa, kita terima… Mengikut Islam, ia ditakdirkan. Tetapi ini bukan bermakna tugas kita tidak ada lagi,” katanya dalam sidang media selepas Perutusan Khas, semalam.

    Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya adakah beliau merasakan seperti dikhianati selepas bertungkus-lumus memulihkan negara akibat pandemik Covid-19.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara memaklumkan, susulan peletakan jawatan tersebut, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

    Sementara itu, Muhyiddin dalam Perutusan Khas mengakui bahawa beliau terpaksa meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat susulan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sekiranya wujud perkhianatan, ia bukan kepada dirinya, sebaliknya kepada negara dan rakyat yang sedang menderita.

    “Fikir-fikir kan lah. Kalau seseorang itu ada kesedaran, dia tidak harus meraikan fasal menumbangkan kita sedangkan kita berusaha melakukan amal ibadah, untuk menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, beliau dan rakan-rakan dalam parti yang sehaluan akan tetap berpegang kepada prinsip Kerajaan Prihatin walaupun tidak lagi menerajui negara.

    “Saya fikir akan turun ke bawah (padang), jadi jurubicara kepada rakyat supaya nasib terbela kerana saya faham sebagai Perdana Menteri dulu, ada data-data yang menunjukkan bahawa keadaan rakyat miskin bertambah ramai dan mereka yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar juga telah bertambah,” katanya.

  • Aktiviti ziarah sumbang lima kluster Covid-19 di Kelantan

    Aktiviti ziarah sumbang lima kluster Covid-19 di Kelantan

    ZIARAH-menziarahi kembali menyumbang kepada jumlah kluster di Kelantan apabila lima daripada 13 kluster yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam berpunca daripada aktiviti itu.

    Daerah Pasir Mas mencatatkan tiga kluster daripada aktiviti ziarah iaitu di Kluster Kampung Kuin Merah, Kluster Kampung Gual Pasong Hantu dan Kluster Kampung Bayu Lalang.

    Kluster selebihnya membabitkan Kluster Kampung Jerimbong, Jeli dan Kluster Kampung Huda 2, Kota Bharu.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin, Kluster Kampung Jerimbong dikesan selepas seorang wanita berusia 19 tahun dilaporkan positif pada 14 Ogos lalu selepas hasil saringan individu bergejala.

    Beliau berkata, kluster itu mencatatkan sembilan kes daripada 11 individu yang disaring.

    “Kluster Kampung Huda 2 dicetuskan apabila wanita berusia 66 tahun dilaporkan positif pada 2 Ogos hasil saringan individu bergejala dan kes mula bergejala pada 30 Julai.

    “Seramai 34 individu yang disaring dan 20 daripadanya positif Covid-19,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, Kluster Kampung Kuin Merah tercetus apabila seorang wanita berusia 49 tahun yang dilaporkan positif pada 14 Ogos. Seramai 17 individu yang disaring, 13 daripadanya positif Covid-19.

    Selain itu katanya, Kluster Kampung Gual Pasong Hantu dikesan selepas wanita berusia 31 tahun dilaporkan positif pada 10 Ogos lalu. Daripada 45 orang yang disaring, 27 dilaporkan positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    “Kluster Kampung Bayu Lalang pula dikesan selepas wanita berusia 55 tahun dilaporkan positif pada 12 Ogos. Setakat ini, sembilan individu yang disaring dan lima daripadanya positif,” katanya.

    Dr Zaini menegaskan, pihaknya mengingatkan orang ramai khususnya penduduk Kelantan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat.

    “Masyarakat diminta memainkan peranan masing-masing untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengehadkan pergerakan atau tidak berada di kawasan yang sesak kecuali jika benar-benar perlu,” tambahnya.

    Kelantan semalam merekodkan 13 kluster iaitu 10 kluster komuniti, dua tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi.

    Jumlah kes baharu Covid-19 yang direkodkan di negeri itu adalah 1,227 kes dengan sembilan kematian.

  • Vaksinasi Covid-19: 33.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

    Vaksinasi Covid-19: 33.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

    SEBANYAK 11,060,317 orang atau 33.9 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Mengikut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, sebanyak 17,252,314 orang atau 52.8 peratus daripada populasi negara pula telah menerima dos pertama vaksin.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 73.7 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 47.2 peratus penerima, lengkap dua dos vaksin.

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara setakat semalam. Foto JKJAV

    “Secara keseluruhan, sebanyak 28,312,631 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian, sebanyak 501,776 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 175,874 dos pertama diberikan manakala 325,902 lagi melibatkan dos kedua.

  • 3 beranak nyaris dihanyutkan arus Sungai Klang diselamatkan polis trafik

    3 beranak nyaris dihanyutkan arus Sungai Klang diselamatkan polis trafik

    TINDAKAN pantas dua anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memberi bantuan kepada tiga beranak yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang semalam berjaya menyelamatkan nyawa kesemua mangsa daripada dihanyutkan arus deras sungai.

    Malah, rakaman video kejadian itu berhampiran Jalan Kuching menghala Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur berdurasi 19 saat juga tular di media sosial.

    Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam kira-kira pukul 3.20 petang.

    Katanya, orang awam meminta bantuan polis agar menyelamatkan seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan daripada dihanyutkan arus Sungai Klang.

    “Dua anggota JSPT, Lans Koperal Hafizul Khalis Anuar dan Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah kemudian ke lokasi dan bertindak pantas memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sarifudin memberitahu, ketiga-tiga beranak itu difahamkan sedang memancing di Sungai Klang ketika hujan lebat sebelum air naik secara tiba-tiba tanpa mereka sedari.

    Orang awam yang berada di lokasi kejadian turut dirakam membantu anggota polis terbabit.

    Sementara itu, warganet yang melihat status dan video kejadian tersebut di media sosial memuji tindakan pantas anggota polis berkenaan selain merakamkan ucapan terima kasih.

  • 19,740 kes baharu Covid-19: Sarawak, Melaka catat peningkatan ketara

    19,740 kes baharu Covid-19: Sarawak, Melaka catat peningkatan ketara

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan berbanding semalam apabila 19,740 kes direkodkan hari ini berbanding 20,546 kes semalam.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,424,639 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 5,706 jangkitan baharu, turun 1,601 kes berbanding semalam.

    Namun Sarawak dan Melaka mencatatkan peningkatan ketara jangkitan apabila masing-masing mencatatkan 1,566 kes dan 1,120 kes baharu jika dibandingkan dengan kes semalam iaitu 963 kes dan 631 kes.

    Sabah, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Kelantan terus mencatatkan lebih 1,000 jangkitan tidak jauh berbeza daripada statistik semalam.

    Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing merekodkan tiga digit kes.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 2 kes diikuti Perlis (20 kes) dan Putrajaya (43 kes).