Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ismail Sabri sah bergelar Perdana Menteri ke-9

    Ismail Sabri sah bergelar Perdana Menteri ke-9

    AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 2.30 petang.

    Tidak sampai dua bulan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin nombor satu negara.

    Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

    Ismail Sabri, 61, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) itu dilihat layak menyandang jawatan berkenaan dengan kualiti kepimpinan dan pengalaman luas yang dimilikinya selama bergelar ahli politik dan pentadbiran kerajaan.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menganggotai barisan Jemaah Menteri sejak 2008 sehingga 2018, sebelum kembali semula pada Mac tahun lepas, selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Ismail Sabri diberi kepercayaan untuk memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi COVID-19 negara.

    Sepanjang lebih setahun menjalankan amanah tersebut, Ismail Sabri disifatkan tegas serta cukup prihatin dengan permasalahan rakyat selama pandemik melanda negara.

    Ia dibuktikan dengan memajukan isu-isu rakyat tersebut ke dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri seterusnya membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 7 Julai lepas dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

    Sebelum ini, Ismail Sabri pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008 hingga April 2009, sebelum beralih kepada tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada April 2009.

    Pada Mei 2013 hingga Julai 2015, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum berlakunya rombakan Kabinet yang menyaksikan beliau kemudiannya memegang tugas sebagai Menteri, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuklah ‘jihad memerangi orang tengah’, selain memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya golongan bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Ismail Sabri memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

    Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan dikurniakan tiga anak lelaki serta seorang anak perempuan.

    Beliau mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Temerloh pada 1993.

    Pada 1995 beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan (ketika itu) Datuk Sabaruddin Chik, sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan tiga tahun kemudiannya sebagai Ketua UMNO bahagian itu pada 2001.

    Pada Mac 2004, beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) bagi kerusi Parlimen Bera dan menewaskan Ab Wahab Ismail dari PAS dengan majoriti 4,470 undi, manakala PRU ke-12 pada Mac 2008 juga menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Aliman, juga dari PAS dengan majoriti 3,821 undi.

    Pada Ogos 2008, beliau memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan pada Mac 2009, beliau terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO penggal 2008/2011 sebelum sekali lagi pada penggal 2013/2016.

    PRU ke-13 pada Mei 2013 dan PRU ke-14 pada Mei 2018, pula menyaksikan beliau terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera dalam pertandingan tiga penjuru apabila menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR dan calon Bebas dalam kedua-dua pilihan raya itu.

    Pada Julai 2018, beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021 dan pada 2018 sehingga Mei 2019, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

    Pada Mac 2018 pula beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, dan kini beliau menjawat kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021.

  • Pelantikan Ismail Sabri redakan suhu politik negara

    Pelantikan Ismail Sabri redakan suhu politik negara

    MOHD LAZIM ENDUT

    PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan diharap mampu meredakan suhu politik negara.

    Justeru, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meminta semua pemimpin parti politik agar berganding bahu, bekerjasama dan bersatu hati bagi memulihkan semula negara.

    Apa yang penting katanya, buat masa sekarang semua barisan kepimpinan parti politik perlu memberi keutamaan kepada agenda memulihkan negara dari pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat.

    Menurut beliau, pelantikan Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri ke-9 itu seharusnya menamatkan apa juga spekulasi berhubung situasi politik negara.

    Katanya, kerajaan negeri Terengganu menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik di negara ini.

    “Kerajaan negeri juga menjunjung kasih atas perkenan baginda melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah bagi melaksanakan tanggungjawab yang mencabar ini.

    “Semoga Ismail Sabri diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan juga bijaksana.

    “Kita berharap dengan pelantikan tampuk kepimpinan baharu ini dapat memberi fokus terhadap agenda menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat,” ujar beliau.

  • Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    JUMLAH penumpang dalam kenderaan khusus bagi individu yang telah menerima dos vaksin lengkap di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini adalah mengikut kapasiti tempat duduk.

    Kelonggaran yang diumumkan kerajaan itu mula berkuat kuasa semalam bagi memudahkan pergerakan mereka yang telah melengkapkan vaksinasi.

    Namun, pada masa yang sama, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh dan individu mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan dan polis.

    Prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu turut memberikan panduan mengenai individu yang belum mendapat vaksin lengkap.

    “Hanya dua orang saja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

    “Selain itu, maksimum tiga orang saja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan,” kata MKN dalam infografik yang dikongsi di aplikasi Telegram, hari ini.

    Kelmarin, kerajaan mengumumkan kemudahan tambahan termasuk makan di dalam premis menjual makanan, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu bagi individu yang lengkap vaksinasi.

    Sementara itu, MKN menetapkan bilangan penumpang bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dengan penumpang mesti duduk di bahagian belakang.

    Bagi kenderaan yang membawa barangan termasuk rantaian ekonomi serta industri, kapasitinya bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan.

  • Pelantikan Ismail Sabri tamatkan isu keabsahan kerajaan baharu

    Pelantikan Ismail Sabri tamatkan isu keabsahan kerajaan baharu

    RIZQI ZABIDI

    Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan seharusnya menamatkan terus isu keabsahan kerajaan baharu yang dibakal dibentuk di negara ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua pihak diharap tidak lagi membangkitkan perkara itu.

    “Semua pihak diharap dapat menjalin permuafakatan jitu dengan penuh tanggungjawab untuk memberi tumpuan terhadap usaha membawa rakyat segera keluar dari krisis yang telah membelenggu kita selama hampir dua tahun.

    “Semoga pentadbiran baharu negara ini sentiasa beroleh petunjuk, rahmat dan keberkatan Allah SWT selain dihindari daripada musibah yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

    Pelantikan itu dibuat setelah baginda mendapat pengesahan daripada 114 Ahli Dewan Rakyat yang bersetuju untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera tersebut sebagai Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan kecekapan baginda menyelesaikan konflik politik dalam waktu singkat.

    “Kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri yang telah mendapat perkenan baginda untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    “Pengharagaan juga dirakamkan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sepanjang menerajui pentadbiran negara terutamanya melibatkan kerja keras serta komitmen beliau mengemudi kerajaan menangani Covid-19,” katanya.

  • COVID-19 seharusnya insafkan pemimpin – Sultan Nazrin

    COVID-19 seharusnya insafkan pemimpin – Sultan Nazrin

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara seharusnya menginsafkan para pemimpin bahawa mereka diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melakukan penetapan semula perkara perlu diutamakan dalam urus tadbir negara berteraskan prinsip keadilan.

    Baginda bertitah, prinsip keadilan itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada mereka yang pakar dalam bidangnya.

    Baginda bertitah, ahli falsafah Islam Ibnu Khaldun dalam mukadimah yang dihasilkannya 800 tahun lalu mengaitkan bencana dengan perubahan sosial yang membentuk lima fasa.

    “Fasa pertama, suatu kaum bersandarkan semangat asabiyah bergerak membentuk identiti politik; fasa kedua bermulanya perluasan kuasa, pengaruh dan wilayah; fasa ketiga kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil pemerintah sebelumnya.

    “Seterusnya, fasa keempat fasa kelalaian dan berpuas hati dengan pencapaian dan terakhir fasa kejatuhan dan kehancuran sesebuah identiti politik dan kerajaan,” titah baginda.

    Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen universiti itu kali ke-13 yang berlangsung secara maya, hari ini.

    Titah baginda dibacakan oleh Pro-Canselor USAS, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin yang diadakan secara maya, hari ini.

    Pada majlis Istiadat Konvokesyen berkenaan, seramai 1,292 graduan dianugerahkan ijazah dan diploma, dengan dua penerima ijazah Doktor Falsafah, 59 orang penerima ijazah Sarjana, 288 orang ijazah Sarjana Muda dan 923 orang diploma.

    Titah baginda, Ibnu Khaldun memberikan peringatan bahawa lima fasa itu akan berulang pada setiap tamadun dan setiap identiti politik akan menghadapinya dalam kitaran sejarah.

    “Manusia, pada saat menghadapi bencana berat yang sedang melanda ini, wajib mendalami lubuk hati, menyelami daya fikir, agar dapat menginsafi tentang kemungkinan jatuhnya sesebuah identiti politik, kerajaan, negara dan tamadun, jika sesebuah negara tidak memiliki cukup persediaan dan kekuatan.

    “Ibnu Khaldun turut memberikan peringatan bahawa sesebuah tamadun akan runtuh apabila pemerintahan gagal melaksanakan keadilan,” titah baginda.

    Di samping itu, baginda bertitah, berdasarkan ‘trend’ yang sedang berlaku, rakyat terpaksa menerima realiti Covid-19 ialah sebahagian kewujudan alam dan akan sentiasa berada dalam kehidupan manusia.

    “Sehingga manusia berjaya menemui penawar mujarab, manusia hendaklah menggunakan akal fikiran melakukan perubahan, penyesuaian dan penghijrahan daripada norma hidup sebelum ini dengan memiliki pandangan alam yang bijaksana.

    “Pada zaman silam ulama mentafsirkan apabila sesuatu bencana diturunkan, menandakan kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa dan kezaliman manusia.

    “Oleh itu, di samping usaha begitu gigih yang diterokai untuk mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima sesuatu bencana sebagai qadar yang telah ditentukan Ilahi dan berusaha mencari rahsia yang terkandung di sebalik bencana yang diturunkan,” titah baginda.

  • MPPK: Muhyiddin berjasa, prihatin kebajikan mahasiswa

    MPPK: Muhyiddin berjasa, prihatin kebajikan mahasiswa

    TAN Sri Muhyiddin Yassin telah meninggalkan pelbagai jasa dan bakti kepada seluruh rakyat Malaysia sepanjang perkhidmatannya sebagai orang nombor satu negara.

    Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dalam satu kenyataan berkata, malah di sebalik tanggungjawab dan amanah memegang tampuk kepimpinan negara, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah melupakan kebajikan mahasiswa.

    “Ketika pertemuan wakil MPPK bersama Tan Sri (Muhyiddin), 11 Agenda MPPK 2020 telah dibentangkan dihadapan Perdana Menteri yang merangkumi kebajikan mahasiswa khususnya.

    “Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik segala usaha dan agenda yang telah dibawa oleh barisan kepimpinan MPPK dan akan diketengahkan kepada kementerian atau pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.

    “Hasil usaha ini pastinya akan membawa sinar harapan kepada 1.3 juta mahasiswa di negara ini,” kata MPPK menerusi akaun Facebook rasminya.

    MPPK dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Muhyiddin atas segala bakti yang diberikan kepada rakyat negara ini khasnya pertubuhan berkenaan.

    “Sekali lagi kami di barisan MPPK merakamkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri (Muhyiddin) atas segala bakti yang diberikan.

    “Semoga Tan Sri terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam setiap perkara yang diperjuangkan,” tambahnya.

    Isnin lalu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

  • Dr Mahathir: Isytihar darurat bendung Covid-19

    Dr Mahathir: Isytihar darurat bendung Covid-19

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa supaya perintah darurat diisytiharkan bagi menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

    Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi terbabit antara lain meminta agar badan yang mengawal pandemik Covid-19 diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menurutnya, sekarang Malaysia ada kerajaan baharu yang mungkin sibuk dengan urusan lain. Sebaliknya wabak ini memerlukan pelbagai tindakan segera.

    “Jika badan yang mereka cadang diletak di bawah kerajaan, politik akan mengganggu tindakan mereka. Adalah lebih baik jika mereka dilantik dan diletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi entri terbaharunya di dalam chedet.cc.

    Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sebilangan pakar yang ingin menyumbang dalam membendung pandemik Covid-19 sebelum ini ditolak dan tidak diberi pengiktirafan oleh kerajaan, meskipun mereka sanggup bekerja secara sukarela.

    Ujar beliau, pakar-pakar itu merangkumi mereka terbabit dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi yang boleh membantu negara melawan Covid-19.

    “Saya khuatir wabak ini akan melanda negara dan ratusan yang akan meninggal dunia. Ekonomi tidak boleh pulih dan penderitaan orang ramai akan meningkat.

    “Percayalah wabak ini tidak mudah dikawal. Ia tidak akan pergi dengan sendirinya. Di waktu ini keadaan sudah jadi amat serius. Ia boleh jadi lebih serius dalam masa yang terdekat.

    “Kita perlu bertindak sekarang ini juga. Janganlah utama politik dan undang-undang pun. Sebenarnya inilah masa isytihar darurat kerana tindakan luar biasa perlu diambil. Kita tidak boleh tunggu kerajaan disusun sebelum bertindak,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia kini disenaraikan sebagai negara terburuk mengawal wabak Covid-19 seperti dilaporkan majalah The Economist.

    Selain itu kata beliau, angka harian menyaksikan 23,000 rakyat yang dijangkiti Covid-19 dengan 233 kematian direkodkan.

    “Tekanan jiwa yang dipikul oleh semua rakyat amatlah berat. Ramai yang kehilangan ahli keluarga, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa, yang dengan tiba-tiba jadi yatim piatu, kehilangan ketua rumah, kehilangan kawan dan keluarga.

    “Penderitaan mereka amatlah teruk sehingga ada yang bunuh diri,” katanya lagi.

  • Hormat pelantikan Ismail Sabri sebagai PM – Pas

    Hormat pelantikan Ismail Sabri sebagai PM – Pas

    PAS menyeru semua pemimpin dan rakyat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan Naib Presiden UMNO itu membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

    Menurutnya, parti itu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Wanita tanpa identiti maut terjatuh dari tren LRT

    Wanita tanpa identiti maut terjatuh dari tren LRT

    SEORANG wanita tanpa identiti maut setelah dia terjatuh dari tren Transit Aliran Ringan (LRT) sebelum digilis dalam satu kejadian di Stesen LRT Sentul Timur, Kuala Lumpur, petang ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 petang.

    Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila wanita berkenaan berjalan di atas tren yang tidak bergerak.

    “Semasa wanita itu duduk pada besi penyambung gerabak, dia terjatuh apabila tren mula bergerak sebelum digilis,” katanya hari ini.

    Eng Lai berkata menambah, pihaknya masih menyiasat kes membabitkan wanita tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu.

    Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan maut berkenaan pada pukul 5 petang.

    Ujarnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian.

    Tambahnya, mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Terengganu buka satu lagi PKRC di Stadium Negeri

    Terengganu buka satu lagi PKRC di Stadium Negeri

    Mohd Lazim Endut

    SEBUAH lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di Terengganu dalam tempoh terdekat ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memberitahu, ia bertujuan menampung jumlah pesakit ekoran berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

    Keadaan di dalam Stadium Negeri yang bakal dijadikan sebagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam masa terdekat ini.

    Menurut Dr. Alias, PKRC yang bakal beroperasi di Stadium Negeri dengan kapasiti 400 katil adalah sebagai persiapan awal dalam menangani kes yang memerlukan bantuan oksigen.

    Setakat ini katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang berusaha membuka PKRC Stadium Negeri bukan kerana PKRC sedia ada sudah penuh, tetapi ia adalah sebagai persiapan awal bagi menghadapi kes pesakit memerlukan bantuan oksigen.

    “JKNT memerlukan fasiliti sesuai untuk menambah kapasiti katil yang boleh digunakan untuk bantuan oksigen (pesakit kategori 4) kepada 400 katil, berbanding sekarang hanya 267 katil,” katanya.

    Dr. Alias berkata, Stadium Negeri merupakan pilihan terbaik kerana pelbagai kelebihan yang ada dan pembukaan PKRC baharu itu akan diketuai Pegawai Daerah Kuala Terengganu dibantu pelbagai agensi lain.

    Malah katanya, lokasi stadium itu hanya terletak berhadapan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), memudahkan urusan jika diperlukan selain mampu memuatkan lebih ramai pesakit.

    “Selain itu, stadium ini juga ada kemudahan tempat letak kenderaan, bilik untuk kegunaan kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan selain petugas dapat memantau pesakit dengan lebih jelas kerana dapat melihat pesakit sepanjang masa,” ujarnya.

    Dr.Alias memberitahu, Terengganu setakat ini mempunyai tujuh PKRC yang mampu memuatkan 3,193 pesakit dalam satu masa dengan melibatkan penggunaan katil sekitar 65 peratus.

    Tujuh PKRC itu ujarnya ialah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut, Universiti Teknologi MARA Kuala Terengganu, Kem Wawasan Besut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Terengganu, Penjara Marang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman.