Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA lelaki yang melanggar perintah kuarantin dengan keluar membeli makanan ketika masih memakai gelang merah jambu Kementerian Kesihatan telah dikenal pasti oleh polis.

Dalam kejadian di kawasan Taman Sierra Perdana, Masai, Johor, Rabu lalu, kedua-dua individu itu merupakan warga tempatan yang berusia 23 dan 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, perbuatan mereka dikesan susulan tular sebuah video yang dirakam seorang individu lain berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu adalah kontak rapat pesakit Covid-19 dan mereka perlu menjalani kuarantin bermula Sabtu lalu hingga 23 Ogos ini.

“Pihak polis mengesan sebuah video berdurasi satu minit 32 saat yang tular memaparkan dua individu dengan gelang pink melanggar perintah kuarantin di kawasan tersebut.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8 malam. Kedua-dua lelaki itu sepatutnya menjalani proses kuarantin kendiri dan bukannya keluar membeli makanan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, polis akan memanggil kedua-dua lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas mereka tamat menjalani kuarantin kendiri.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dikompaun RM5,000.

Malah, siasatan juga boleh dibuat mengikut Sekysen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here