Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zahid masih cuti sakit, bicara kes rasuah ditangguh ke 28 September

    Zahid masih cuti sakit, bicara kes rasuah ditangguh ke 28 September

    MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) kerana masih bercuti sakit.

    Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata berdasarkan sijil cuti sakit (MC) yang diserahkan oleh pihak pembelaan, Ahmad Zahid bercuti sakit sehingga 4 Sept ini.

    Beliau berkata mahkamah mengambil maklum bahawa  Dr Mohd Shahir Anuar dari Avisena Specialist Hospital di Shah Alam, yang merawat Ahmad Zahid, telah hadir di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  Datuk Collin Lawrence Sequerah bagi memberi penjelasan berkenaan keadaan kesihatan bekas timbalan perdana menteri itu. 

    “Berdasarkan kandungan MC secara prima facie, mahkamah menerima bahawasanya tertuduh tidak ‘fit to return duty’ (tidak sihat) sehingga 4 Sept.

    “Mahkamah bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan tertuduh (yang hadir di mahkamah) dan mahkamah minta supaya komitmen tersebut akan berterusan pada hari-hari sambung bicara yang akan ditetapkan nanti,” katanya.

    Mahkamah menetapkan 28 Sept, 22 Okt, 18 hingga 19 Nov dan 20 hingga 24 Dis depan bagi menyambung perbicaraan kes Ahmad Zahid itu yang berdepan 40 pertuduhan rasuah.

    “Mahkamah ingin memberi penekanan dan peringatan kepada semua pihak, kerana tarikh-tarikh yang dikemukakan telah dipersetujui semua pihak dan minta kerjasama pada tarikh tersebut, kes berjalan dan mana-mana penangguhan tidak akan dibenarkan,” katanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta agar semua tertuduh atau mana-mana pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah, mendapatkan sijil cuti sakit daripada hospital kerajaan. 

    “Kalau boleh, perlu MC daripada Kementerian Kesihatan iaitu sijil daripada (hospital) kerajaan. Ini adalah kerana Yang Arif sedia maklum ada MC daripada hospital swasta di bawahnya ada nota yang mengatakan MC ini tidak boleh digunakan untuk prosiding mahkamah,” katanya. 

    Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas komitmen Ahmad Zahid kerana hadir pada prosiding hari ini dan berharap komitmen itu akan berterusan.

    Sebelum itu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah mengenai keadaan terkini anak guamnya dan memohon supaya perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan memandangkan tertuduh masih bercuti sakit sehingga 4 Sept.

    Hamidi berkata walaupun hari ini anak guamnya masih bercuti sakit namun Ahmad Zahid tetap hadir ke mahkamah bagi menunjukkan komitmen terhadap perbicaraan yang sedang dihadapinya.

    “Ahmad Zahid belum benar-benar sembuh. Jadi pendapat saya Yang Arif, permohonan daripada pihak pembelaan supaya kes tidak dijalankan pada hari ini dan kita tetapkan tarikh baharu kerana saya percaya, kehadiran orang kena tuduh (OKT) bukan bermaksud kehadiran fizikal sahaja, tetapi termasuk juga kehadiran mentalnya supaya dia bersedia,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

  • WHO pantau varian baharu koronavirus, ‘Mu’

    WHO pantau varian baharu koronavirus, ‘Mu’

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau varian koronavirus baharu dikenali sebagai ‘Mu’ yang pertama kali dikenal pasti di Colombia pada Januari.

    Memetik agensi berita AFP, WHO dalam buletin pandemik mingguannya semalam berkata, Mu dikenali secara saintifik sebagai B.1.621 dan diklasifikasikan ‘varian menarik minat’.

    Menurut WHO, Mu mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan menekankan bahawa kajian lanjut diperlukan untuk memahaminya dengan lebih baik.

    “Varian Mu mempunyai buruj mutasi yang menunjukkan potensi sifat pelarian imun,” kata buletin itu.

    Terdapat kebimbangan meluas mengenai kemunculan mutasi virus baharu ketika kadar jangkitan masih meningkat di seluruh dunia dengan varian Delta yang mudah tersebar dalam kalangan individu tidak divaksinasi dan kawasan yang mana langkah-langkah pencegahan virus telah dilonggarkan.

    Semua virus, termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, bermutasi dari masa ke semasa dan kebanyakan mutasi mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap sifat virus.

    Namun, mutasi tertentu dapat mempengaruhi sifat virus dan mempengaruhi bagaimana mudah ia tersebar, kemudaratan penyakit yang ditimbulkannya, dan ketahanannya terhadap vaksin, ubat-ubatan dan langkah pencegahan lain.

    WHO ketika ini mengenal pasti empat varian Covid-19 yang menjadi perhatian, termasuk Alpha, yang terdapat di 193 negara, dan Delta, yang terdapat di 170 negara.

    Lima lagi varian termasuk Mu, sedang dipantau.

    Selepas dikesan di Colombia, Mu sejak itu dilaporkan di negara Amerika Selatan dan Eropah yang lain.

    WHO berkata, kelaziman globalnya telah menurun hingga di bawah 0.1 peratus dalam kalangan kes yang diuruskan.

    Bagaimanapun, di Colombia, virus itu berada pada tahap 39 peratus.

  • Sanggupkah Syed Saddiq lakukan aksi berani ini?

    Sanggupkah Syed Saddiq lakukan aksi berani ini?

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu terjun dari bangunan KLCC tanpa menggunakan payung terjun sekiranya beliau mahu menarik perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Baginda menyatakan jawapan itu ketika ditanya oleh seorang pengikut dalam soal jawab yang disiarkan dalam Insta Story hrhcrownprinceofjohor.

    Individu terbabit bertanya, “Apa yang Syed Saddiq perlu buat untuk tarik perhatian Tuanku?”

    Tunku Ismail seterusnya menjawab, “Terjun dari KLCC tanpa parachute.”

    Sebelum ini, baginda pernah melabelkan Syed Saddiq sebagai ‘drama queen’ selepas pemimpin parti Muda itu memohon sumbangan orang ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000.

    Tunku Ismail memuat naik komen itu dalam akaun Instagramnya dengan merujuk laporan portal media berkaitan Syed Saddiq memohon simpati bagi membayar ikat jamin sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    “Drama queen. Kesian rakyat yang sentiasa jadi mangsa permainan politik. Berlakon dan menipu rakyat semata mata nak undi dan kuasa,” titah baginda dalam kapsyen hantaran Instagram tersebut.

    Berikut adalah antara soalan dan jawapan yang menarik daripada Tunku Ismail dalam Insta Story:

    Soalan: Betul ke tunku nak tinggalkan JDT?

    TMJ: Saya dah 8 tahun menguruskan JDTFC. Secara jujur saya letih sikit. Tetapi jikalau saya angkat kaki. Segala galanya akan musnah. Players akan pergi, sponsors cabut, dan kakitangan staff pun akan pergi. So saya 50/50. Tetapi dengan secara jujur. Saya letih sikit. Kerana “saya mengurus bolasepak oleh kerana minat. Tetapi saya tidak perlukan bolasepak.” Dan dalam hidup apabila kita tidak rasa gembira atau happy buat sesuatu, kita haru cari benda lain. Saya pun banyak tanggungjawab lain. So buat masa ini 50/50.

    Soalan: Pandangan tentang Menteri Belia dan Sukan yang baru?

    TMJ: Tiada apa apa. Kurangkan bercakap dan fokus buat kerja.

    Soalan: Kereta tuanku yang pertama?

    TMJ: Kancil.

    Soalan: Scorpions atau Metallica?

    TMJ: Metallica.

    Soalan: Pemain-pemain muda Selangor power tak?

    TMJ: Ok boleh tahan. Tapi dah ramai contact saya ni. Termasuk player first 11.

  • Mayat tentera lemas semasa latihan ditemui di Sungai Pahang

    Mayat tentera lemas semasa latihan ditemui di Sungai Pahang

    MAYAT Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dikhuatiri lemas semasa menjalani latihan taktikal Eksesais Para predator di Kampung Batu Bor, Bera, dijumpai terapung di tebing Sungai Pahang pagi ini.

    Jasad mangsa berusia 27 tahun itu, ditemui kira-kira pukul 7.55 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat Mohamad Azrin dijumpai orang awam yang turut terbabit dalam operasi mencari mangsa.

    Katanya, jasad mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh,” katanya hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari keempat membabitkan seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, nelayan dan unit amal.

    Nor Aqila Syafiqa Safuan (kiri) isteri Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin

    Sebanyak 30 buat bot digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

    Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai itu ketika menjalani latihan, Ahad lalu.

    Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai.

    Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa.

    Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin oleh penduduk kampung

    “TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri mangsa, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 23 serta seluruh ahli keluarganya dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga itu.

    “Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham,” menurut kenyataan itu. 

  • Agong terima PM menghadap mesyuarat pra-Kabinet

    Agong terima PM menghadap mesyuarat pra-Kabinet

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet menerusi sidang video di Istana Negara pagi tadi.

    Istana Negara dalam hantaran Facebook memberitahu, sesi hari ini berlangsung selama 30 minit bermula pukul 8.30 pagi.

    Sesi hari ini juga adalah yang pertama kali bagi Ismail Sabri sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

    Ismail Sabri mula menjalani kuarantin kendiri sejak Isnin lalu setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

  • Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    SEORANG lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran menjadi pembantu pemasaran di sebuah syarikat jualan produk dalam talian.

    Pemuda berusia 27 tahun dari Senawang itu mula terjebak dengan sindiket tersebut setelah selepas melihat satu iklan di media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan untuk pekerjaan itu dengan seorang wanita dikenali Ainnie pada 29 Ogos lalu.

    Namun katanya, suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan bagi produk yang akan dijual serta dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut.

    “Mangsa yang berminat kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM111,906 menerusi 25 transaksi kepada syarikat itu dengan wang daripada akaun bank miliknya dan bapa,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, bagaimanapun selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasakan sudah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

    Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Sime Darby pasang Porsche, kilang pertama di luar Eropah

    Sime Darby pasang Porsche, kilang pertama di luar Eropah

    SIME Darby Bhd bekerjasama dengan Porsche AG untuk mengoperasikan kilang pemasangan pertama pengeluar kereta sport Jerman itu di luar Eropah.

    Memetik Dagang News, Sime Darby dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut akan membolehkan syarikat itu memasang kereta sport tersebut untuk pasaran Malaysia dengan pengeluaran dijadualkan bermula pada tahun 2022.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kerjasama dengan Porsche itu menandakan kematangan dalam hubungannya dengan jenama tersebut.

    “Kepercayaan yang diberikan untuk memasang salah satu daripada jenama kereta sport paling dikagumi di dunia ini membuktikan tenaga kerja cekap dan berkemahiran tinggi yang kami miliki di Sime Darby dan keupayaa kami untuk memberikan nilai yang bermakna kepada rakan kami,” katanya, hari ini.

    Jeffri berkata, setiap kereta Porsche yang dipasang oleh Sime Darby akan melalui standard dan proses yang sama ketat dengan rakan sejawatnya di Eropah.

    “Kami akan meneruskan libat urus yang rapat dengan Porsche AG bagi memastikan kami memenuhi standard Porsche bagi setiap langkah yang diambil,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Porsche bagi Jualan dan Pemasaran, Detlev von Platen berkata, Malaysia dan seluruh ASEAN adalah rantau yang berpotensi besar dan syarikat kereta itu menantikan model pemasangan tempatan pertama yang akan menemui pelanggannya di Malaysia tahun depan.

    “Ketika Porsche bergerak ke era mobilisasi baharu, Malaysia dan rantau ASEAN menjadi bertambah penting. Langkah ini sekarang adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang untuk bergerak seiring dengan permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang dengan pesat,” tambahnya.

  • Vaksinasi Covid-19: 46 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin

    Vaksinasi Covid-19: 46 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin

    SEBANYAK 15,032,301 orang atau 46.0 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi hantaran Facebook berkata, bagi dos pertama vaksin, sebanyak 19,741,754 atau 60.5 peratus daripada populasi negara telah menerima vaksin berkenaan.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 84.3 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 64.2 peratus penerima lengkap divaksinasi.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 34,752,340 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 261,768 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 115,473 dos pertama diberikan manakala 146,295 lagi melibatkan dos kedua.

  • Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    KEPUTUSAN untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

    Ini selepas rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik Ziyad ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi ini.

    Permohonan maaf Ziyad dibuat menerusi akaun Instagram miliknya

    Keputusan itu bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

    Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

    Namun penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).

    Dalam pada itu, Ziyad, 31, dalam reaksi pertamanya berikutan keputusan berkenaan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

    “Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya hari ini.

    Selain itu, Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.

    Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang tuurt meminta Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini.

    Katanya dalam catatan terbaharu di akaun Instagram miliknya, sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima, malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.

    Terdahulu, Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

    Bantahan daripada Kontinjen Malaysia, Australia dan Ecuador akan dibawa ke Mesyuarat Chef de Mission (CDM) pasukan bertanding juga dibawa sekali.

    Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum itu melakukan protes kepada jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status Muhammad Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi (DNS) walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir, yang berlangsung di Stadium Olimpik di Tokyo.

    Ziyad sebelum itu secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya, dengan catatan 17.94 meter.

    Kemenangan beliau bagaimanapun dibatalkan selepas atlet Ukraine, Maksym Koval, membuat bantahan.

    Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

  • Petugas berpakaian tradisional serikan PPV KLCC

    Petugas berpakaian tradisional serikan PPV KLCC

    Oleh ADAM RAZAK

    Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) meriah apabila petugas-petugas sukarelawan memakai pakaian tradisional pelbagai kaum serta baju kebangsaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.

    Sebahagian daripada 320 petugas bersemangat ketika bertugas di PPV berkenaan untuk menyambut serta menyantuni orang ramai yang mengambil suntikan vaksin Covid-19.

    Sebahagian daripada sukarelawan mengambil peluang merakamkan gambar bersama Jalur Gemilang ketika bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ia merupakan kelainan untuk menyerikan lagi suasana di PPV berkenaan ketika sambutan Hari Kemerdekaan ini.

    Antaranya lengkap berbaju Melayu bersamping serta bertengkolok, sari, kurta, cheongsam dan pakaian etnik Sabah.

    Sukarelawan, Lydia Bekit (kanan) bersama rakannya, Muhammad Haziq Jamaluddin (kiri) membantu penerima vaksin untuk membuat pendaftaran di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Seorang sukarelawan, Lydia Bekit dari Sabah yang mengenakan pakaian tradisi suku kaum Dusun Guna berasa sangat bangga mengenakan pakaian berkenaan pada Hari Kemerdekaan.

    “Baju suku kaum Dusun Guna ini biasanya dipakai ketika pesta menuai namun ia merupakan baju kebangsaan rakyat Malaysia juga, 

    Sukarelawan, Lydia Bekit,(kanan) yang memakai pakaian tradisi dari suku kaum Dusun Gana membantu salah sorang penerima Vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita perlu bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan,” katanya.

    Seorang penerima vaksin, Muhammad Salim Fauzi, 24, memakai baju serta tanjak bertemakan Jalur Gemilang ketika datang untuk mengambil dos kedua vaksin.

    Muhammad Salim Fauzi, 24, memakai baju dan tanjak dari Jalur Gemilang ketika menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya minta kakak saya jahitkan baju dan tanjak yang dibuat dari Jalur Gemilang. Saya rasa sangat bangga, inilah cara saya untuk tunjukkan semangat kemerdekaan. 

    “Walaupun negara kita sekarang masih lagi dalam keaadan PKP dan dilanda wabak Covid-19, tidak salah rasanya kita menyambut dengan norma baharu agar dapat menyemai semangat cintakan negara,” jelasnya.

    Muhammad Salim Fauzi, 24, bersemangat dengan memakai baju dan tanjak dari Jalur Gemilang selepas menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Sukarelawan, Ahmad Syarifuddin Ruspin (kanan) bersama Anne Foo Mei Mei (dua dari kiri) membantu salah seorang penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Sukarelawan, Lydia Bekit, bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sambil memakai pakaian tradisi dari suku kaum Dusun Gana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Muhammad Salim Fauzi, 24, memakai baju dan tanjak dari Jalur Gemilang ketika menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat