Author: Wartawan WartaRakyat

  • KPM teliti, perhalusi cadangan tambah baik PdP – Radzi

    KPM teliti, perhalusi cadangan tambah baik PdP – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneliti dan memperhalusi cadangan pelajar untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedia ada serta bagi mengikutinya secara bersemuka dengan selamat.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata cadangan itu dikemukakan oleh 100 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di seluruh negara dalam sesi libat urus bersama KPM secara dalam talian hari ini.

    Libat urus itu terbahagi kepada dua sesi membabitkan wakil murid sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan murid berkeperluan khas (MBK). 

    Beliau berkata pelajar yang terlibat dalam perbincangan itu teruja semasa berkongsi pengalaman dan cabaran dihadapi mereka dalam tempoh mencabar ini, termasuk persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan SPM yang dijadual pada Mac tahun hadapan.

    “Tak kurang juga yang memberikan pelbagai pandangan dan cadangan bagaimana untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran sedia ada. 

    “Saya juga begitu tersentuh dengan perkongsian anak-anak MBK yang tidak pernah jemu untuk mengikuti pembelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

    “Mereka amat berharap agar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

    Sehubungan itu, Radzi berkata KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik serta menghargai semua perkongsian dan cadangan diberikan.

    “Semoga semua anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun 2021 terus bersemangat untuk membuat persediaan sebaiknya,” katanya.

  • Lembah Klang beralih Fasa 2, boleh rentas daerah, tiada sekatan jalan raya – PM

    Lembah Klang beralih Fasa 2, boleh rentas daerah, tiada sekatan jalan raya – PM

    LEMBAH Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya beralih ke Fasa 2 mulai Jumaat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini juga turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

    ‘’Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berikutan peralihan ke Fasa itu beberapa kelonggaran diberikan kepada mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin.

    Antara kelonggaran itu ialah rentas daerah, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri, Ibu dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan dine-in di premis makanan.

    Turut dibenarkan ialah aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay.

    Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, jawatankuasa bersetuju  melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi, untuk negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

    Antara ketetapan yang telah diputuskan ialah membenarkan aktiviti sukan indoor, kecuali gimnasium, kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin.

    ‘’Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin. Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP,’’ kata Ismail Sabri.

    Beliau menjelaskan,  keputusan ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta MKN.

    ‘’Bagi sektor perdagangan dan pengedaran; perniagaan kedai bunga/nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi mulai  Jumaat  bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1,’’ katanya.

    Bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3, kata Perdana Menteri kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser, dan salon kecantikan dibenarkan.

  • Pemulihan negara akan merangkumi semua,inklusif – PM

    Pemulihan negara akan merangkumi semua,inklusif – PM

    KERAJAAN telah menyediakan dan akan terus memberikan insentif kewangan, pekerjaan atau latihan bagi memastikan tiada siapa yang terpinggir semasa pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama, membuat rancangan untuk keluar daripada krisis kesihatan ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri berkata komitmen itu adalah untuk meningkatkan peluang, memberi ruang kepada pencari kerja untuk mencari nafkah sendiri serta terus produktif.

    “Keluarga Malaysia merangkumi semangat negara ketika kami terus fokus pada agenda pembangunan nasional dan memastikan sesama rakyat Malaysia dijaga.

    “Ini adalah komitmen saya bahawa pemulihan negara daripada pandemik ini akan merangkumi semua dan inklusif,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF) 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

    Teks ucapan perdana menteri dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

    Ismail Sabri berkata pengembangan pasaran buruh aktif yang inklusif perlu merangkumi strategi pengintegrasian semula kerana ia merupakan bahagian penting dalam sebarang inisiatif untuk memberi perlindungan keselamatan sosial.

    Beliau berkata adalah amat penting bagi aktiviti seperti bantuan pencarian pekerjaan, program keusahawanan serta pendidikan dan latihan vokasional diperkembangkan dan diperluaskan ke setiap lapisan populasi yang disasarkan.

    “Penglibatan setiap lapisan masyarakat, termasuk majikan, pekerja dan pencari kerja, siswazah dan belia, diperlukan untuk menghadapi krisis yang belum pernah terjadi.

    “Oleh itu, setiap pihak mesti memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dan secara bersama,” katanya.

    Mengenai IPEF 2021, perdana menteri berkata ia adalah forum antarabangsa pertama mengenai perkhidmatan pekerjaan awam yang dihoskan oleh negara sejak Malaysia menjadi anggota Persatuan Perkhidmatan Pekerjaan Awam Dunia (WAPES) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2018.

    “Inisiatif ini melengkapkan fokus kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia selama masa yang sukar ini,” kata Ismail Sabri.

  • UMNO tak akan berbincang dengan Bersatu – Tok Mat

    UMNO tak akan berbincang dengan Bersatu – Tok Mat

    UMNO tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan Bersatu berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu jelas kerana UMNO sudah memutuskan lebih awal dan dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU kali ini.

    Justeru, beliau berkata, tidak timbul soal kerjasama, persefahaman atau sebagainya membabitkan UMNO dengan Bersatu.

    “Kita tiada langsung berbincang dengan Bersatu, sebab UMNO sudah memutuskan lebih awal dan dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO bahawa kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya nanti.

    “Tidak ada apa-apa bentuk perbincangan mahupun persefahaman mengenai kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum dengan Bersatu,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di Seremban, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, UMNO akan bertanding atas kekuatannya sendiri bagi memenangi PRU-15 sekali gus membentuk kerajaan.

    Beliau berkata, parti itu tidak boleh menang dengan terpaksa bersandarkan kepada kekuatan parti lain.

    Katanya, keadaan itu akan mewujudkan situasi politik seperti sekarang apabila tiada parti politik yang dominan untuk membentuk kerajaan.

    “Kita mahu menang atas diri kita sendiri, bukan nak menang bersandarkan kekuatan orang lain. Jika menang, kita boleh membentuk kerajaan, bukan menang tetapi terpaksa meminta belas kasihan orang, itu tidak betul.

    “Itu punca jadi seperti hari ini dan rakyat mesti faham, jika memilih dalam pilihan raya nanti, pilih dalam keadaan begini, tidak ada parti yang dominan dan negara akan terus huru hara,” katanya.

    Mengulas tindakan Pas bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), Mohamad berkata, pihaknya berharap parti rakan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) itu dapat membuat pendirian.

    Katanya, Pas perlu membuat keputusan sama ada mahu bersama MN ataupun PN bagi menghadapi PRU-15 termasuk pada peringkat DUN.

    “Mereka (Pas) sudah menjadi anggota PN, persoalannya sekarang jika ada pertembungan antara BN dengan PN, Pas mahu sokong siapa kerana Pas adalah sebahagian daripada PN dan mereka juga jentera pilihan raya PN.

    “Itu terpulang kepada Pas untuk memutuskan sama ada mahu bersama MN atau PN, tetapi jangan buat keputusan lambat selepas Parlimen dibubarkan. Jika mahu bersama kami, beritahu kami sekarang,” katanya.

    Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, pembahagian kerusi yang diperuntukkan bagi menghadapi PRU-15 sudah dipersetujui di peringkat parti dalam BN.

    “Kita perlu memperhalusi beberapa kerusi lagi kerana ada kerusi itu yang kita tewas tiga atau empat penggal. Jadi, perlu ubah suai, yang penting kita nak menang dan tubuhkan kerajaan.

    “Soal calon pula, pucuk pimpinan belum menentukan siapa akan bertanding dan kawasan diwakili mereka,” katanya yang mengesahkan perbincangan itu hanya membabitkan kerusi Parlimen dan bukan DUN.

  • Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    TINDAKAN biadab dua wanita Singapura menghina seorang anggota penguatkuasa republik itu dengan komen kasar mengundang padah apabila kedua-duanya didenda SGD$3,000 (RM9,262) oleh sebuah mahkamah, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, hari ini.

    Beritamediacorp melaporkan, antara kata-kata penghinaan yang dilontarkan dua wanita berusia 50 tahun itu kepada pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) termasuk:”bercakap baik-baik dengan orang kaya” dan memanggil pegawai itu “perempuan gila”.

    Mahkamah diberitahu bahawa, Chee Kam Fah dan Koh Lee Yen merokok di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada pagi 21 September tahun lalu.

    Mereka yang melakukan kesalahan kerana menyalakan rokok di luar kawaan yang ditetapkan kemudiannya dihampiri Asyikah Suri Kamsari, seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan NEA sebagai pegawai penguat kuasa.

    Asyikah ketika kejadian sedang menjalankan tugasnya bersama seorang rakan sekerjanya.

    Kedua-dua pegawai itu kemudian meminta butiran Kam Fah dan Lee Yen untuk mengeluarkan saman.

    Namun ketika Asyikah memasukkan butiran Kam Fah ke dalam terminal elektronik yang dipegangnya, wanita itu berkata dengan marah: “Gaji kau berapa? 1,000 sahaja sebulan, aku rasa.”

    Dia juga berkata: “Cakap baik-baik dengan orang kaya, kau budak miskin”, “Aku bilang kau, kau jalan hati-hati, kau jatuh… jangan langgar kereta” dan “Apa susah, bayar aje, aku ada duit (kata kesat)”.

    Lee Yen yang kemudian turut serta berkata: “Kau diam dan minta IC” serta “Kau selamanya miskin, kau tahu ke tidak?”

    Dia juga menuduh Asyikah “gadis gila” yang gajinya juga tidak cukup untuk membeli bantal untuk menangis. Dia turut menghina ibu bapa pegawai berkenaan dalam bahasa Kantonis.

    Kam Fah kemudian mengeluarkan sekeping nota SGD$1,000 (RM3,087) dan menayangkannya di hadapan muka pegawai itu sambil berkata beliau patut diam sahaja dan mengambil wang tersebut.

    Tanpa disedari kedua-dua wanita itu, semua tindakan mereka dirakam menerusi kamera lekap tubuh Asyikah.

    Sementara itu, Pegawai Pendakwa Negara Nasri Haron meminta denda S$3,000 hingga S$4,000 bagi setiap wanita itu.

    Beliau memberitahu mahkamah, serangan lisan itu “meleret dan berakhir dengan penghinaan serta menjatuhkan maruah mangsa”, yang sekadar menjalankan tugasnya.

    Kedua-dua wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam berkata dalam rayuan masing-masing bahawa mereka berada dalam keadaan tertekan ketika itu.

    Kam Fah melalui seorang jurubahasa berkata, Asyikah “tiba-tiba berjalan ke arah saya jadi pada ketika itu, saya tidak tidak tentu arah”.

    Katanya, dia seorang ahli perniagaan dan amat tertekan akibat pandemik Covid-19.

    Apabila Hakim Daerah Asbendar Kaur bertanya Lee Yen mengapa kawannya melayangkan nota SGD$1,000, wanita itu berkata mereka menyangka boleh membayar saman pada ketika itu juga.

    Dia mendakwa pernah ditangkap membuang puntung rokok sebelum ini dan membayar denda S$300.

    Dakwanya lagi ada dua lelaki lain yang merokok di luar kawasan yang dibenarkan tetapi Asyikah “melepaskan mereka begitu sahaja”.

    “Sebab itu saya menggunakan bahasa seperti ini. Saya juga tidak suka menggunakan bahasa begini.”

    Hakim memberitahu mereka bahawa isu tekanan bukannya alasan untuk mereka berkelakuan sedemikian.

    Kedua-duanya boleh didenda sehingga SGD$5,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

  • Nazri harap UMNO,Bersatu bergabung sebelum PRU-15

    Nazri harap UMNO,Bersatu bergabung sebelum PRU-15

    DATUK Seri Mohamed Nazri Aziz menjangka UMNO dan Parti Bersatu akan bergabung di bawah satu parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ahli Parlimen Padang Rengas itu melontarkan pandangan tersebut kerana Bersatu adalah parti serpihan UMNO dan semua ahli parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memiliki DNA parti Melayu terbesar itu

    Bercakap kepada Sinar Harian, Mohamed Nazri bagaimanapun mengakui terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh kepimpinan kedua-dua parti termasuk isu pembahagian kerusi pilihan raya dan sentimen peribadi sekiranya perkara itu mahu direalisasikan.

    Namun katanya, impian itu boleh tercapai jika pemimpin kedua-dua parti meletakkan asas menjaga kepentingan orang Melayu, bumiputera dan agama Islam sebagai pemangkin setiap pertimbangan politik.

    “Semua orang dalam Bersatu itu saya kenal. Mungkin disebabkan sedikit perselisihan faham, mereka keluar UMNO dan tubuh Bersatu. Pada umumnya, mereka semua mempunyai DNA UMNO.

    “Saya lihat suatu hari UMNO dan Bersatu akan bertaut kembali dengan hasrat itu mungkin mampu dijayakan sebelum PRU15. Kalau kita (UMNO dan Bersatu) dapat selesaikan beberapa perkara dan meletakkan asas menjaga kepentingan Melayu, bumiputera dan agama Islam sebagai perkara paling utama, perkara itu tidak mustahil,” katanya.

    Mohamed Nazri menegaskan, faktor utama ahli-ahli Bersatu keluar daripada UMNO sebelum ini adalah disebabkan berlaku perselisihan faham dengan mereka yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pucuk kepimpinan UMNO ketika itu.

    “Masalah sekarang adalah mereka (sebilangan ahli Parlimen Bersatu) dahulu bertanding atas tiket UMNO dan BN sebelum keluar menyertai Bersatu. Kita masih ada tempoh dua tahun sebelum PRU15 untuk menyelesaikan masalah ini. Selain itu, hal penyatuan semula dua parti Melayu ini bergantung kepada hala tuju kepimpinan baharu (UMNO dan Bersatu),” katanya.

  • Hijrah Warrior Mart inisiatif bantu gelandangan

    Hijrah Warrior Mart inisiatif bantu gelandangan

    KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus komited memastikan hasil produk pertanian kebun bandar Hijrah Warrior dipasarkan secara sistematik kepada orang ramai melalui pelaksanaan Hijrah Warrior Mart.

    Menurut kementerian itu, premis tersebut akan dijadikan hab keusahawanan sosial oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membolehkan golongan sasar terlibat secara langsung dalam sektor peruncitan dengan bekerja sebagai usahawan peruncitan.

    Sebagai permulaan, gerai berkenaan akan memberikan tumpuan kepada penjualan hasil produk daripada Hiliran Anjung Kelana.

    “Gerai Hijrah Warrior Mart pertama akan dibuka di Teratak Muhibbah 1, Taman Desa, Kuala Lumpur yang akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

    “Seramai empat orang gelandangan akan berkerja mengikut syif (dua orang bagi setiap syif) dengan gaji minimum sebanyak RM1,200 dan turut disediakan tempat penginapan percuma.

    “Di samping itu, peserta program ini juga diberi pendedahan khusus mengenai pengurusan perniagaan secara fizikal dan dalam talian yang membolehkan orang ramai membeli produk-produk Hijrah Warrior Mart dengan lebih mudah,” kata Kementerian Wilayah Persekutuan dalam kenyataan media, hari ini.

    Sebagai kepelbagaian hasil produktiviti kebun Hijrah Warrior, jenis tanaman akan diperluaskan kepada penanaman pokok-pokok buah-buahan hybrid jangka masa pendek seperti pokok pisang, nenas, buah naga atau jambu pink guava.

    Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti kawasan kebun bersebelahan banggunan kosong Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Perdana dengan keluasan 3.3 ekar yang akan menjadi nilai tambah kepada inisiatif ini.

    “Kementerian turut merancang untuk memperluaskan konsep Hijrah Warrior Mart ke semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL pada masa akan datang di samping membuka peluang untuk orang ramai membeli produk-produk Hijrah Warrior Mart secara dalam talian.

    “Pada waktu sama, pemegang taruh yang terlibat akan turut bersama memainkan peranan dalam membantu mempromosikan produk-produk Hijrah Warrior Mart,” jelas kementerian berkenaan.

    Kementerian Wilayah Persekutuan berharap agar pelaksanaan program tersebut akan menjadi penyelesaian menyeluruhan terhadap isu gelandangan di Wilayah Persekutuan.

    “Di samping menjadi satu titik perubahan dalam kehidupan gelandangan ini supaya mereka dapat keluar daripada kehidupan bergelandangan dan menjadi seorang usahawan yang berjaya dalam Keluarga Malaysia untuk membaiki kualiti kehidupan ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,” kata Kementerian Wilayah Persekutuan.

  • Gopal Sri Ram kekal pendakwa utama dalam kes berkaitan 1MDB

    Gopal Sri Ram kekal pendakwa utama dalam kes berkaitan 1MDB

    BEKAS hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    Ini susulan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu agar Sri Ram digugurkan sebagai pendakwa raya ad-hoc dalam empat kes jenayah yang dihadapi oleh Najib berkaitan 1MDB.

    Hakim Datuk Yaacob Md Sam, yang mengetuai panel tersebut, berkata mahkamah berpandangan tiada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan Najib.

    “Kami dapati tiada merit dalam rayuan ini. Oleh itu, kami menolak rayuan ini dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya yang bersidang bersama-sama dengan Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

    Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Feb lalu menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan perbicaraan 1MDB.

    Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi membabitkan antaranya, dana RM2.6 bilion milik 1MDB, meminda laporan audit 1MDB dan pecah amanah berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

    Dalam menyampaikan keputusan itu, Yaacob berkata aduan Najib bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dicemari dengan elemen campur tangan dalam bidang kuasa penyiasatan itu hanya boleh dijalankan oleh empat pihak berkuasa yang berkaitan dengan empat agensi dan ia bukan dalam bidang kuasa pendakwa raya.

    Menurutnya aduan lain oleh Najib ialah pelantikan Sri Ram juga dicemari dengan unsur berat sebelah dan konflik kepentingan berdasarkan kunjungan Sri Ram ke rumah bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta dakwaan beberapa siri perbualan antara mereka.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib dalam prosiding hari ini yang diadakan secara maya manakala Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan.

  • Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu kereta Perodua Viva yang dipercayai memandu secara melawan arus di bulatan Medini dekat Iskandar Puteri Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berumur 34 itu ditahan pada 5 petang semalam di Balai Polis Trafik Gelang Patah selepas diminta hadir memberi keterangan.

    Beliau berkata hasil risikan yang dijalankan mendapati individu terbabit membawa kereta milik sepupunya pada hari kejadian.

    “Pemilik kereta itu diminta hadir ke balai polis trafik dan memberitahu bahawa sepupunya membawa kenderaan miliknya ketika kejadian, individu (pemandu) terbabit kemudian diminta hadir untuk diambil keterangan dan memberikan alasan bahawa keliru dengan jalan bulatan tersebut.

    “Individu tersebut juga mengaku memandu secara menyonsang arus yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Dzulkhairi bagaimanapun berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati individu terbabit negatif dadah.

    Katanya, pihak polis turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan itu atas kesalahan membenarkan individu memandu tanpa lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, video berdurasi 17 saat tular dalam media sosial yang memaparkan sebuah Perodua Viva berwarna perak dipandu melawan arus dan dipercayai video itu dirakam pengguna lebuh raya lain sebelum ia dimuat naik dalam Facebook.- BERNAMA

  • Kelulusan EIA projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang dibatalkan

    Kelulusan EIA projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang dibatalkan

    KUMPULAN nelayan Pulau Pinang memperoleh kemenangan awal dalam usaha mereka membantah projek tambak laut di perairan selatan negeri itu selepas Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menolak kelulusan laporan kesan impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.

    Keputusan itu dibuat tiga anggota panel berkenaan yang dipengerusikan Hakim Rozina Ayob dan dua pakar alam sekitar, Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar dan Prof.  Madya Dr. Ramdzani Abdullah.

    Dalam rumusan kepada keputusan itu, peguam yang mewakili nelayan, R. Meenakshi berkata, Lembaga Rayuan  mengetepikan kelulusan terdahulu yang diberikan Ketua Pengarah JAS kerana ia adalah ultra vires, tidak sah dan batal mengikut Seksyen 34A (4) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    Menurut Meenakshi, keputusan itu adalah sangat penting kerana ia
    bukan sahaja untuk kes PSR tetapi semua kelulusan EIA oleh JAS.

    “Keputusan Lembaga Rayuan ini adalah paling penting untuk memahami bagaimana Ketua Pengarah JAS mesti membuat keputusan yang memastikan projek-projek di mana EIA diperlukan adalah mengikut rancangan struktur atau rancangan tempatan yang berkesan secara undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Pada 29 Julai 2019, seramai 185 nelayan dari Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung daripada projek tambak laut itu memfailkan rayuan kepada JAS berhubung kelulusan EIA projek itu yang dibuat pada 25 Jun tahun sama.

    Menerusi projek PSR itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang menambak kawasan laut di Teluk Kumbar dan Permatang Damar Laut melibatkan keluasan kira-kira 1,821 hektar.

    Ia bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar; Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap dalam tempoh kira-kira 25 tahun.

    Projek tambakan laut itu dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) yang dianggarkan menelan kos keseluruhan lebih RM40 bilion.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang dalam reaksi terhadap keputusan Lembaga Rayuan JAS tersebut memaklumkan, kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui permohonan semakan kehakiman (judicial review). 

    “Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan tindakan-tindakan lain antaranya kemungkinan mengemukakan laporan EIA yang dikemas kini semula berdasarkan kepada kelulusan pihak berkuasa negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.