Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemimpin PKR terus bidas tindakan Syed Saddiq

    Pemimpin PKR terus bidas tindakan Syed Saddiq

    TINDAKAN Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamatkan rundingan dengan PKR berhubung pembahagian kerusi terus menerima kritikan daripada pemimpin PKR.

    Hari ini, Pemuda PKR Johor melalui satu kenyataan  mempertikai tindakan MUDA yang memilih bertanding dalam kawasan bandar dan menolak tawaran PKR yang dilihat seolah-olah takut meletakkan calonnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Ketuanya R Yuneswaran berkata, PKR Johor sebelum ini membuka ruang luas kepada MUDA dalam membuat rundingan dua hala pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun gagal mencapai kata sepakat.

    “Dalam perbincangan yang diadakan bersama MUDA, parti telah menawarkan tiga kerusi kepada mereka namun mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya minta tiga kerusi yang lain.

    “Adakah MUDA hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa MUDA tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78%? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?” katanya dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    Kenyatan itu dibuat susulan kenyataan Syed Saddiq yang mengumumkan rundingan pengagihan kerusi dengan PKR tamat tanpa persetujuan susulan langkah parti itu mengumumkan 20 calonnya secara bersendirian.

    Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu..

    Yuneswaran berkata, sekiranya parti MUDA mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, maka parti itu harus membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar masyarakat khususnya di luar bandar.

  • Kewangan negara ‘tidak semolek’ digambar – Muhyiddin

    Kewangan negara ‘tidak semolek’ digambar – Muhyiddin

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

    Bekas Perdana Menteri itu, berkata sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

    “Nak pulihkan negara yang telah dirosakkan. Saya semalam minta satu laporan untuk sampaikan pada saya oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul  Tengku Abdul Aziz.

    “Nanti, satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PN Johor yang disiarkan di laman Facebooknya, lapor FMT

    Muhyiddin juga menambah, berapa lama lagi negara boleh bertahan dengan hasil yang dikutip setiap tahun.

    Beliau mempersoalkan sama ada hasil negara itu cukup untuk menampung pembayaran gaji, termasuk pembangunan negara.

    “Berapa lama lagi kita boleh bertahan. Banyak mana hasil negara kita kutip tiap-tiap tahun cukup untuk menampung pembayaran gaji dan pembangunan negara.

    “Apa wang yang ada untuk membiayai bayaran pencen-pencen yang banyak. Saya cakap setakat itu sahaja kerana saya faham situasi negara tak semolek digambarkan. Itu cabaran besar,” katanya.

    Muhyiddin berkata, sekiranya di peringkat nasional sudah bermasalah, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

    Beliau menyarankan rakyat Johor memilih PN dan beranggapan BN dan Umno sudah berlalu di Johor.

    Katanya, juga istilah Umno-BN sebagai kubu kuat di Johor tidak boleh dipakai lagi kerana rakyat telah menolak parti itu, pada PRU14.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Hadi Awang berkata, rakyat Johor perlu berani membuat perubahan seperti di Sabah.

    Beliau mengingatkan juga kepada anak muda tidak termakan umpan DAP yang disifatkan sebagai parti ekstrem.

    Katanya, parti MUDA merupakan anak kepada DAP.

    “MUDA anak DAP. Ingat jangan makan umpan,” katanya.

    .

  • Bayi ‘terkeluar’ daripada kandungan antara 3 maut nahas motosikal di Pasir Mas

    Bayi ‘terkeluar’ daripada kandungan antara 3 maut nahas motosikal di Pasir Mas

    BAYI lelaki yang “terkeluar” daripada kandungan ibunya dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas, Kelantan, 7 malam semalam meninggal dunia kira-kira 12 tengah malam tadi.

    Bapanya, Mohd Khairi Hasbullah, 31, sempat mengazankan anak keempatnya itu sebelum bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia, lima jam selepas kemalangan

    “Saya reda apabila anak kami turut pergi bersama ibunya,” katanya lapor Berita Harian.

    Dalam kejadian itu isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, yang sarat mengandung sembilan bulan, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah motosikal lain.

    Remaja lelaki yang menunggang motosikal itu turut meninggal dunia di hospital.

    Khairi hanya mampu menangis sebaik dipanggil doktor dan dimaklumkan bayinya gagal diselamatkan.

    Ketika ini, beliau hanya memikirkan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang membonceng bersama isterinya dan dilaporkan parah di kepala serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

    “Doakan supaya Nurul Iman selamat dan saya diberi kekuatan demi dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan nahas berkenaan kini mengorbankan tiga nyawa dengan kematian bayi itu.

    Katanya, penunggang motosikal, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, dilaporkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM). “Remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan,” katanya

  • Ceramah, ziarah ke rumah, aktiviti ‘walkabout’ dibenarkan

    Ceramah, ziarah ke rumah, aktiviti ‘walkabout’ dibenarkan

    itik patah kaki

    PENGANJURAN ceramah, ziarah ke rumah dan aktiviti ‘walkabout’ antara yang dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor, bulan depan.

    Bagaimanapun, penganjuran ceramah hanya dibenarkan di pejabat dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan tidak melebihi 100 orang, termasuk penganjur, penceramah, urusetia dan peserta.

    SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, pihak penganjur perlu mendapatkan permit daripada polis dan tempoh setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama dua jam sahaja dan tidak melebihi jam 10 malam.

    “Ceramah premis yang terbuka atau tempat umum tidak dibenarkan,” katanya dalam senarai SOP yang dikeluarkan, hari ini, lapor portal FMT.

    “Calon dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu ditetapkan dalam permit seperti dikeluarkan pihak polis.”

    Bagi kempen ziarah ke rumah, hanya lima orang dibenarkan menyertainya dan tidak dibenarkan memasuki atau berjumpa pemilik rumah.

    “Sebarang aktiviti mengedarkan risalah atau bahan kempen hendaklah dibuat di luar pagar dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

    “Aktiviti ‘walkabout’ sepanjang tempoh pilihan raya dibenarkan namun perlu mematuhi SOP iaitu hanya lima orang peserta atau kurang dibenarkan menyertainya.

    “Sidang media selepas mesyuarat parti dibenarkan dengan kehadiran individu terhad kepada mereka yang hadir semasa mesyuarat dan wartawan”.

    Sementara itu, hanya satu bilik gerakan parti dibenarkan untuk beroperasi dalam satu daerah mengundi bagi setiap calon sepanjang tempoh berkempen.

    “Had kapasiti bilik tersebut ialah 50% daripada kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” katanya.

  • Pegawai Kanan SPRM belanja lebih RM2.7 juta beli rumah, tanah, barang mewah

    Pegawai Kanan SPRM belanja lebih RM2.7 juta beli rumah, tanah, barang mewah

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur diberitahu bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrum Nizam Baharuddin membelanjakan lebih RM2.7 juta wang yang dirampas dalam kes pecah amanah melibatkan bekas Ketua Perisikan, Hasanah Ab Hamid.

    Antara barangan yang dibelinya dengan wang itu ialah sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang; dua bidang tanah di Jerantut, Pahang; jam tangan mewah, kenderaan dan motosikal berkuasa tinggi.

    Portal FMT melaporkan, mengikut fakta kes, Shahrum yang memulakan kerjayanya dengan SPRM pada 2005, menyertai operasi Ops Dinar 2 untuk menyiasat Hasanah pada 26 Ogos 2018.

    Sebanyak USD6.94 juta wang tunai dirampas dalam siasatan itu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat, Khirulnizam Sulaiman, untuk disimpan dalam peti keselamatan di ibu pejabat SPRM.

    Bagaimanapun, pada 17 Dis 2018, Shahrum meminta rakan sekerjanya yang bertanggungjawab ke atas peti keselamatan untuk menyerahkan sebahagian wang itu kepadanya untuk tujuan “pengiraan” dan “pengesahan”.

    Rakan sekerja memberinya sejumlah USD1.9 juta seperti yang diarahkan.

    Seorang lagi pegawai SPRM, Falihin Ahmad Fadillah, mengesahkan Shahrum mengambil sejumlah USD800,000 daripada USD1.9 juta dan mengembalikan USD1.1 juta kepada ibu pejabat.

    Fakta juga menunjukkan Shahrum mengambil USD400,000 daripada USD800,000 dan menukarnya kepada kira-kira RM1.6 juta.

    Shahrum kemudian menggunakan RM1.6 juta itu untuk melabur dalam perniagaan perkayuan.

    Antara 9 April dan 19 Jun 2019, Shahrum mengambil baki USD6.14 juta dan menukar kira-kira USD2.47 juta kepada mata wang tempatan dan memperoleh lebih RM9.8 juta daripada penukar wang.

    Pada Sept tahun yang sama, dia menyerahkan USD4.07 juta kepada seorang lelaki untuk tujuan pelaburan.

    JPM tolak wang ‘palsu’

    Pada April tahun lalu, Hasanah dilepaskan tanpa dibebaskan dalam kes pecah amanah berjumlah RM50 juta oleh Mahkamah Tinggi.

    Beberapa bulan kemudian, Mahkamah Majistret memerintahkan USD6.94 juta yang dirampas semasa Ops Dinar 2 dikembalikan kepada Jabatan Perdana Menteri.

    Walaupun berulang kali diminta oleh Khirulnizam, Shahrum gagal memulangkan wang tersebut. Hanya pada 10 Sept 2021, Khirulnizam mengambil inisiatif untuk membuka peti keselamatan supaya SPRM boleh memulangkan wang itu kepada JPM.

    Bagaimanapun, apabila SPRM menyerahkan wang tunai itu, pegawai di JPM menimbulkan syak wasangka terhadap ketulenan wang tersebut dan mendakwa ia “wang palsu” dan enggan menerimanya.

    Seorang pegawai kanan, Rostam Affendi Salleh, kemudian menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk memaklumkan keraguan mereka. Laporan polis turut dibuat oleh SPRM dengan menamakan Shahrum, Khirulnizam dan dua yang lain sebagai suspek dalam dakwaan salah laku itu.

    Shahrum kemudiannya ditahan.

    Polis dalam siasatan mereka mendapati dia menggunakan wang tunai yang dirampas dan membuat beberapa pembelian, termasuk:

    Sebuah rumah bernilai RM750,000 di Kota Warisan, Sepang;

    Jam tangan mewah RM397,580;

    Dua motosikal Ducati RM600,000;

    Ford Raptor;

    Dua lot tanah di Jerantut, Pahang, RM483,220;

    Honda Civic RM265,930;

    Mercedes Benz A250 RM130,000.

    Mahkamah memerintahkan semua aset itu dilucuthakkan oleh kerajaan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Shahrum diwakili peguam Abdul Hafiz A Bakar, Ponnusamy Kalaichelvan dan Fikah Sanusi.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Shahrum dan memerintahkan dia disebat dua kali selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan kerana menyalahgunakan wang USD6.94 juta secara tidak jujur mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

  • AMK P Pinang ingatkan Syed Saddiq jangan melampaui batas

    AMK P Pinang ingatkan Syed Saddiq jangan melampaui batas

    ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menasihatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak ‘melampaui batas’ dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya ketika blok pembangkang sedang menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketuanya, Fahmi Zainol berkata, adalah lebih baik sekiranya Ahli Parlimen Muar itu ketika ini lebih memfokuskan kepada usaha untuk menentang ‘lawan’, bukannya ‘kawan’.

    Ujar beliau, kenyataan seperti tidak dapat mengelakkan pertembungan antara Muda dengan PKR dalam PRN Johor tidak boleh diterima kerana kerjasama antara blok pembangkang lain telah dipersetujui lebih awal untuk mengelak berlakunya pertembungan sesama sendiri.

    Malah ujarnya, parti Muda sendiri disifatkan ‘menumpang’ dan tidak ada dalam blok rasmi Pakatan Harapan (PH).

    “Oleh itu, mengeluarkan kenyataan seperti ini seolah-olah sengaja ‘membakar api dalam selimut’.

    “Siapa lawan sebenar mereka? Adakah Keadilan (PKR) atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN)? Mengapa Syed Saddiq sengaja ‘menyemarakkan api’ dalam khemah blok Pakatan Harapan (PH)? Adakah ini misi utama beliau?” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Syed Saddiq dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan mendakwa, rundingan kerjasama politik antara Muda dan PKR dalam PRN Johor gagal mencapai kata sepakat disebabkan PKR telah mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diserahkan kepada parti itu oleh PH.

    Jelas Fahmi, sebagai sebuah parti yang baru sahaja ditubuhkan kira-kira empat bulan lalu, kemampuan parti Muda belum benar-benar teruji.

    Jelasnya, tiga kerusi telah ditawarkan kepada parti Muda hasil perbincangan pemimpin PH iaitu Senggarang; Sri Medan dan Tanjung Surat, namun tawaran tersebut didakwa ditolak mentah-mentah.

    Sehubungan itu katanya, jika Syed Saddiq benar-benar ingin menyatukan blok pembangkang, beliau akan berlapang dada dan menerima kerusi yang ditawarkan oleh PKR, bukannya bersifat tamak.

    “Isunya ialah bukan parti mana yang punya banyak kerusi dalam blok pembangkang, tetapi apa motif sebenar Muda yang dilihat sengaja melaga-lagakan parti pembangkang,” ujarnya.

    Tambah Fahmi, bertanding dalam pilihan raya bukanlah semata-mata bertujuan untuk menunjukkan parti mana paling kuat, tetapi untuk menyelamatkan rakyat daripada ditindas oleh pemerintah yang zalim dan korup.

  • Rundingan gagal sebab MUDA tuntut 3 kerusi ‘boleh menang’ PKR

    Rundingan gagal sebab MUDA tuntut 3 kerusi ‘boleh menang’ PKR

    RUNDINGAN agihan kerusi antara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR tidak dapat diteruskan berikutan MUDA bertegas menuntut kerusi lain selain yang ditawarkan kepada mereka.

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata PKR menawarkan MUDA tiga kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    “Namun tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR telah ditolak dan MUDA masih menuntut kerusi yang lain daripada tawaran.

    “Ia turut menjadi sulit apabila kerusi yang ‘dituntut’ adalah kerusi bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR. Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan,” katanya lapor Berita Harian.

    Difahamkan MUDA menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Kempas dan Gambir. DUN Larkin dan Kempas adalah kerusi bandar.

    Bagaimanapun PKR menawarkan kerusi kawasan luar bandar iaitu DUN Semarang, Seri Medan dan Tanjung Surat yang juga kubu kuat UMNO.

    MUDA hari ini dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan tindakan PKR yang menamatkan rundingan rasmi dan mengambil keputusan tidak memberi sebarang agihan kerusi kepada parti itu, setakat ini.

    Syed Saddiq dilaporkan berkata ia berikutan tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan daripada pimpinan PKR berkaitan agihan kerusi kepada MUDA.

    PKR dilaporkan telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi, sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.

    Syed Ibrahim menegaskan siri rundingan bersama MUDA dilakukan beberapa kali dengan secara jujur dan terbuka dalam semangat kebersamaan pembangkang di Johor.

    Beliau berkata, sebagai anggota komponen PH, PKR tetap berpegang kepada muafakat bersama rakan yang menekankan kesetiakawanan tanpa ugutan atau ancaman.

    “Sejak pembangkang bersama, sama ada ketika Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau PH, semangat ini tetap dipegang tanpa pertindihan kerusi demi pembelaan rakyat dan masa depan negara.

    “Janganlah dicemari semangat itu demi tuntutan semata-mata. Tumpulah kepada kerusi yang ditandingi untuk membela rakyat dan membawa masa depan serta maruah Johor dan rakyatnya,” katanya.

  • Tamatkan kegilaan politik UMNO pada PRN Johor

    Tamatkan kegilaan politik UMNO pada PRN Johor

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan sebagai titik penamat terhadap kegilaan politik UMNO yang dikatakan rakus dan tamak kuasa.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO sedang melakukan kerosakan terhadap negara dengan merealisasikan Teori Domino di seluruh negara.

    Beliau mendakwa, UMNO akan mengadakan PRN di negeri lain sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRN Johor dan situasi itu akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kesan dan implikasi PRN Johor akan dirasai seluruh rakyat Malaysia. Ini akan merosakkan satu negara. Mereka menggunakan Teori Domino dengan bermula di Melaka, apabila (kerajaan negeri) jatuh, maka akan jatuh satu lagi dan seterusnya.

    “Jadi bermula pada PRN Johor kita harus menghentikan Teori Domino ini dan pastikan tiada negeri yang akan terus jatuh lagi,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di DUN Machap, Simpang Renggam, malam tadi.

    wan saiful wan jan
    Wan Saiful Wan Jan melancarkan jentera PN bagi PRN Johor dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di DUN Machap, Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.

    Wan Saiful menambah, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan dan alasan kekurangan majoriti kerusi adalah tidak berasas sama sekali.

    Beliau memberi contoh, kerajaan negeri Kelantan yang diperintah PAS pernah mengalami situasi yang sama seperti di Johor.

    “PAS pernah alami situasi yang sama di Kelantan apabila menang PRU pada 2004 dengan dua kerusi majoriti. Salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia setahun.

    “Maka tinggal seorang sahaja ADUN dan yang ‘best’ pulak tu, ADUN PAS yang menang itu hanya dengan majoriti dua undi tetapi dari tahun 2005 hingga 2008, kerajaan pimpinan PAS kekal sampai tiba masa DUN dibubarkan.

    “Kerajaan negeri Kelantan masa itu tidak pernah sebut kerajaan tidak stabil. Ini menunjukkan UMNO (di Johor) tidak pandai menguruskan negeri, dahla tak tau bodoh sombong pulak tu, tak tahu tanyalah,” katanya.

  • Warga asing dalang sindiket edar pil kuda

    Warga asing dalang sindiket edar pil kuda

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai tiga warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pil kuda dan merampas 90,000 biji pil kuda bernilai RM900,000.

    Turut dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Jelutong, Georgetown semalam dan kelmarin itu adalah dadah jenis syabu bernilai RM69,500 dan 27,000 pil jenis psikotropik (RM9,000).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 34 hingga 47 tahun dan bekerja sebagai kontraktor binaan manakala suspek wanita merupakan teman wanita salah seorang suspek lelaki berusia 36 tahun.

    Katanya, salah seorang suspek telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu serta mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai sudah aktif mengedar pil serta dadah berkenaan sejak Mac tahun lalu.

    “Kita percaya pil psikotropik yang dirampas adalah untuk dijual kepada buruh di tapak pembinaan kerana pil itu dapat membantu mengatasi masalah tidur dan kemurungan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhan rampasan berjumlah RM82,550.

    Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan kelmarin dan semalam juga, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 53 tahun di Kubang Semang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran ganja.

    Jelasnya, polis turut menjumpai tiga ketulan mampat plastik lutsinar disyaki ganja seberat 950 gram bernilai RM2,375 di kediaman suspek yang bekerja sebagai buruh dan petani.

    “Selain itu, kita turut merampas wang tunai bernilai RM181,000 di rumah suspek dan risikan mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua suspek dalam dua kes tersebut ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama tujuh hari bermula semalam.

  • Mazlan Bujang sahkan terima tawaran masuk Warisan

    Mazlan Bujang sahkan terima tawaran masuk Warisan

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengesahkan beliau menerima tawaran untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

    Walau bagaimanapun, bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

    “Memang ada (terima tawaran) tetapi saya masih tunggu dan lihat…tengok keadaan macam mana,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Sebelum ini, timbul spekulasi mengaitkan beliau dengan Warisan selepas gambarnya dikatakan tersiar seketika di skrin besar pada majlis pelancaran Warisan di Johor, Selasa lalu.

    Mazlan mengesahkan kepada FMT bahawa memang beliau menghadiri majlis anjuran Warisan itu.

    “Saya dulu kawan lama dengan dia (Shafie) dalam UMNO… saya dijemput, saya datanglah sebagai kawan. Masuk tak masuk (Warisan) itu nombor dua,” jelasnya.

    Mazlan turut menafikan dakwaan beliau meninggalkan Bersatu kerana ditawarkan jawatan atau pencalonan oleh UMNO.

    Malah, beliau menganggap kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

    “Oh tidak tidak… saya takkan sertai UMNO. Saya nak tolak tohmahan kononnya saya keluar (Bersatu), UMNO yang beri duit,” katanya.

    Pada 27 Januari lalu, Mazlan telah mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain termasuk pemegang jawatan sebagai ketua cawangan dan ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau.

    Mazlan berkata lagi, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun akan memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).