Author: Wartawan WartaRakyat

  • Hasnolhadi aktif santuni masyarakat sejak umur 15 tahun

    Hasnolhadi aktif santuni masyarakat sejak umur 15 tahun

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas, dari Kampung Simpang dan Rangkaian dekat Sedili di Kota Tinggi, menggunakan sebahagian besar masanya sejak berusia 15 tahun dengan menyantuni belia dan masyarakat.

    Lagipun, pemuda yang dikenali sebagai Abang Hasnol ini bukan orang asing bagi penduduk Sedili kerana datang dari keluarga yang darah dagingnya komited berkhidmat untuk masyarakat.

    Apa tidaknya, semua tujuh beradik lelaki keluarga ini terlibat dengan persatuan belia, kebajikan dan kemasyarakatan, politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Realiti ini suatu yang hebat bagi keluarga Hasnolhadi. Namun ini tidak pasti sama ada ia secara kebetulan atau tidak memandangkan bapanya, Mohd Sebalas Mohd, 74, atau Tok Mat Sebalas adalah mantan ketua kampung.

    Hasnolhadi terlibat dengan politik apabila mulai giat menyertai kumpulan sokongan kepada program belia dan kemasyarakatan di Sedili seawal usia 15 tahun. Hari ini, anak muda berusia 35 tahun itu adalah Ketua Armada Bahagian Kota Tinggi.

    hasnolhadi sedili

    Ketika ini, Hasnolhadi terlibat dengan 12 NGO di DUN Sedili, daerah Kota Tinggi serta peringkat Johor termasuk menerajui beberapa badan yang beliau tubuhkan sendiri antaranya Kelab Usahawan Anak Tanjung (KUAT).

    Pencalonan Hasnolhadi sekali gus telah merealisasikan impian penduduk Sedili untuk melihat anak tempatan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    “Tak pernah ada calon dari Sedili untuk jadi wakil rakyat. Ini kali pertama dan saya memohon sokongan penuh dari seluruh pengundi Sedili untuk membuktikan anak Sedili mampu menjadi wakil mereka.

    “Saya sudah ada pelan untuk membawa pembangunan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk DUN Sedili selain meningkat ekonomi dan pendapatan peniaga kecil dan pengusaha perusahaan mikro dan kecil (PMK), operator chalet dan homestay mahupun komuniti nelayan tempatan.

    “Beberapa projek pembangunan dan penyediaan infrastruktur juga akan saya teruskan daripada kepemimpinan PN sebelum ini,” katanya.

    Dengan sentimen pengundi DUN Sedili yang mahu wakil mereka dari kalangan anak tempatan, calon lawan dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dikatakan dari luar, berdepan dengan laluan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.

    Apatah lagi, bekas ADUN Sedili, Rasman Ithnain telah berkhidmat dengan cemerlang dengan membawa pelbagai pembangunan, infrastruktur serta kemudahan awam.

    Terbaharu, beliau telah melunaskan fasa pertama beberapa projek pembangunan antaranya, pembinaan jalan menghubungkan dari Gugusan Waha ke pekan Sedili serta kesinambungan kepada usaha menyusun dan membangunkan semula Pekan Sedili yang dilakukan mulai 2018.

  • Zulkifli ada kekuatan tersendiri tewaskan 5 calon lain DUN Larkin

    Zulkifli ada kekuatan tersendiri tewaskan 5 calon lain DUN Larkin

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang mempunyai kekuatan tersendiri untuk menewaskan lima calon lain.

    Seperti yang dijelaskan beliau kepada FMT, pengundi seharusnya menilai potensinya untuk berkhidmat dengan baik sebagai wakiol rakyat berdasarkan faktor itu.

    Beliau yang juga seorang bekas wartawan kanan berharap rakyat tidak menilainya sebagai bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Selain berkhidmat dengan Hamzah, Zulkifli mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran kerajaan khususnya di Johor.

    Malah, beliau pernah bertugas sebagai pegawai salah seorang Menteri Besar Johor.

    “Jangan lihat siapa majikan saya semata-mata tetapi pertimbangkan juga pengalaman saya dalam bidang pentadbiran kerajaan,” jelasnya.

    Zulkifli, 44, merupakan lulusan Sarjana Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM).

    Zulkifli dijangka menjadi pilihan pengundi di DUN Larkin sekali gus mampu menewaskan calon-calon lain iaitu Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Muhammad Rasid Abu Bakar (MUDA), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Norramadan Buan (Bebas) dan Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO).

  • BN cetus PRN kerana mahu menang sendirian di Johor

    BN cetus PRN kerana mahu menang sendirian di Johor

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor sengaja dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) dengan matlamat untuk mereka menang secara bersendirian di negeri itu.

    Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, BN kemudiannya mahu pula mengadakan PRU untuk mengambil kuasa bagi diri mereka semata-mata.

    “Itulah tujuan sebenar BN buat PRN di Johor, kerana nak menang secara sendirian.

    “Kemudian mereka nak PRU diadakan untuk ambil kuasa itu, untuk BN saja. Saya tak berapa sukalah semua itu dan saya dah cakap di Johor, tak mahu ulang dah,” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN memilik peluang cerah meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya Johor berjaya kembali kepada gabungan itu pada 12 Mac nanti.

    Menurut Najib, PRN Johor penting kerana ia akan menjadi titik perubahan kepada BN dan memberi petunjuk sama ada gabungan itu mampu memenangi PRU-15 dengan bertanding solo.

    Mengulas mengenai kekuatan calon-calon PN di Johor, Muhammad Sanusi berkata mereka yang diketengahkan itu dilihat kebanyakannya lebih muda daripadanya dan diliha ‘energetik’ bagi memimpin generasi muda.

    “Saya ingat ini satu trend yang sangat baik. Kita ada keperluan untuk orang tua memberi pandangan, pedoman dan nasihat kepada orang muda tetapi kita perlu lebih ramai orang muda untuk memimpin generasi sekarang serta generasi akan datang,” katanya.

    Sungguh pun begitu, Muhammad Sanusi mengakui agak sukar untuk meramal peluang mana-mana parti bertanding bagi menguasai Johor.

    “Rakyat dah matang, orang dah terbuka. Semua orang tahu apa yang berlaku dan rakyat diberi peluang melalui PRN ini untuk memilih kerajaan yang dirasakan mampu membawa Johor lebih maju.

    “Saya serah kepada rakyat Johor untuk membuat pilihan yang terbaik bersandarkan ruang terhidang di depan mereka,” katanya.

  • BN letak 70% muka baharu, UMNO dilanda perebutan kuasa?

    BN letak 70% muka baharu, UMNO dilanda perebutan kuasa?

    LANGKAH Barisan Nasional (BN) meletakkan kira-kira 70 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa mempunyai kaitan dengan perebutan kuasa dalam UMNO.

    Memetik laporan FMT, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, langkah itu akan menyaksikan ‘puak arus perdana’ dalam UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengukuhkan kuasa mereka dalam parti.

    “Saya fikir apa yang berlaku ialah perebutan kuasa dalaman secara beransur-ansur antara puak arus perdana dan mereka yang bersekutu dengan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

    “Puak arus perdana cuba untuk memastikan calon-calon ini adalah orang yang akan kekal setia kepada mereka,” jelasnya.

    Andaian yang diutarakan oleh Ei Sun itu adalah selari dengan khabar angin yang bertiup kencang tentang tentang perebutan kuasa yang mencetuskan konflik dalaman UMNO.

    Bukan rahsia lagi bahawa kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi UMNO dan BN mula tergugat selepas Najib membuat kemunculan semula hasil kempen meningkatkan popularitinya dalam media sosial.

    Selain itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semakin kuat pengaruhnya selepas kemenangan BN pada PRN Melaka dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Malah, ada pemimpin akar umbi UMNO yang mencadangkan agar Mohamad dijadikan poster boy BN pada PRN Johor, namun cadangan ditolak. Sebaliknya, muka Datuk Hasni Mohammad yang bakal ditempel pada bahan-bahan kempen BN.

    Ismail Sabri juga mempunyai kekuatan untuk mencabar dominasi Ahmad Zahid dalam UMNO hasil pengaruh dan kekuatannya selaku Perdana Menteri.

    Akar umbi UMNO juga semakin resah dan gelisah ekoran kegagalan Ahmad Zahid memberi hala tuju yang jelas terhadap masa depan parti menjelang PRU-15 yang semakin hampir.

  • Bot nelayan selamatkan 14 pemancing, 4 kru yang dilapor hilang

    Bot nelayan selamatkan 14 pemancing, 4 kru yang dilapor hilang

    SEMUA 14 pemancing dan empat kru yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di Langkawi, hari ini, dilaporkan selamat.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.

    “Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam perjalanan ke posisi bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa. “Kita masih dalam usaha menyelamat,” katanya melalui kenyataan, sebentar tadi.

    Sebelum itu, mereka dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

    Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

  • Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

    Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah peluang keemas an kepada rakyat negeri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka yang dipilih mewakili Perikatan Nasional adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

    ‘’Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    ‘’Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sambil bersyukur berikutan kesemua 56 calon Perikatan Nasional diterima untuk bertanding pada PRN tersebut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, beliau percaya pasukan Perikatan Nasional mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju dan kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.

  • PN harap tiada kacau ganggu sepanjang PRN Johor

    PN harap tiada kacau ganggu sepanjang PRN Johor

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal berharap tiada sebarang kacau ganggu terhadap sistem demokrasi tanah air berlaku sepanjang Pilihan Raya Negeri (PN) Johor berlangsung.

    Beliau yang juga Setiausaha PN Johor juga berharap agar PRN tersebut berlangsung dengan baik, tenang dan matang.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

    Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15 memulakan tirai pada hari ini, dengan Hari Penamaan Calon. Sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon telah dibuka bagi membolehkan calon dari parti-parti politik yang bertanding mengemukakan kertas penamaan calon.

    Alhamdulillah, selaku salah seorang calon Perikatan Nasional bagi Dewan Negeri Johor kawasan Bukit Kepong, saya telah menyerah kertas penamaan calon di IKTBN Pagoh, sebentar tadi. Saya percaya kertas penamaan calon bagi kesemua 56 calon Perikatan Nasional bagi PRN Johor juga telah diterima pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Dalam menghadapi sebuah pilihan raya yang disifatkan sebagai penting bagi masa hadapan Negeri Johor dan negara secara keseluruhannya, perjalanan PRN Johor diharapkan dapat berlangsung dengan baik, tenang dan matang tanpa sebarang kacau ganggu sistem demokrasi tanah air.

    Pada masa yang sama, negara masih lagi berhadapan dengan ancaman COVID-19, setiap warganegara seharusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh SPR serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai ikhtiar kita mengekang penularan wabak ini.

    Bagaimanapun, saya ingin mengulangi kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini, agar pihak SPR memberikan pertimbangan dalam memberikan kelonggaran agar PRN Johor mesra calon dan parti politik, serta pengundi dan kini mesra pengamal media yang bertugas sehingga ke hari akhir.

    Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat rakan pengamal media yang telah dikompaun kerana didakwa melanggar SOP iaitu tidak menjaga penjarakan fizikal ketika sedang menjalankan tugas pada Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon, hari ini.

    Tindakan penguatkuasaan ini bukanlah suatu yang luarbiasa memandangkan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan itu perlu dihormati serta dipatuhi terutama ketika negara sedang dalam proses pemulihan yang menuntut komitmen semua pihak mengekang wabak COVID-19.

    Justeru, saya memohon jasa baik pihak SPR agar memberikan sedikit lagi kelonggaran kepada pengamal media untuk melaksanakan tugas mereka dalam memberikan laporan berita yang pantas, telus dan terkini kepada Bangsa Johor yang juga merupakan pengundi pada pilihanraya ini.

    Kepada rakan pengamal media, saya berharap anda semua dapat terus mematuhi SOP ditetapkan pada ketika ini, dan sentiasa mengutamakan soal keselamatan serta kesihatan diri sepanjang tempoh PRN Johor berlangsung.

    Perikatan Nasional sentiasa mengiktiraf peranan dan komitmen rakan pengamal media yang sentiasa memberikan sokongan berterusan selama ini. Saya mendoakan agar segala urusan rakan pengamal media sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT.

  • Calon PKR DUN Gambir sah positif COVID-19

    Calon PKR DUN Gambir sah positif COVID-19

    CALON PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Naim Jusri didapati positif COVID-19.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dikesan sebaik sahaja beliau tiba di pusat penamaan calon.

    Walau bagaimanapun, calon PKR bagi kerusi DUN Gambir itu masih dibenarkan menghantar borang pencalonan selepas beliau diasingkan.

    Borang tersebut kemudian diserahkan oleh pencadangnya.

    Difahamkan, pencalonannya diterima dan namanya tetap tertera pada kertas undi.

    Namun, Naim tidak dapat berkempen secara aktif bertemu pengundi kerana beliau akan dikuarantin sehingga sembuh.

    Beliau juga dijangka sukar memberi cabaran kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Mohd Solihan Badri yang lebih berwibawa berbanding calon-calon lain.

    Kerusi DUN Gambir yang sebelum ini disandang oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diketahui sebagai kubu kuat Bersatu.

    Mohd Solihan pasti menjadi pilihan pengundi untuk meneruskan legasi cemerlang Muhyiddin di DUN Gambir.

    Selain Mohd Solihan dan Naim, calon-calon lain yang bakal bertanding di situ ialah Shah Rihan Ghani (BN-UMNO) dan Suraya Sulaiman (Pejuang).

  • PRN Johor: Hadi yakin pengundi UMNO sokong PAS

    PRN Johor: Hadi yakin pengundi UMNO sokong PAS

    PAS menaruh keyakinan bahawa calon yang diketengahkan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan mampu meraih sokongan pengundi UMNO.

    Sambil menyifatkan pengundi UMNO sebagai ‘mesra’ PAS, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti mampu mempengaruhi sokongan sekali gus memberi kejayaan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya itu nanti, lapor Sinar Harian.

    “Kita lihat, undi kita bergantung kepada mereka yang pertamanya ialah (pengundi) UMNO yang mesra kita, kedua, UMNO yang protes terhadap pimpinan dia dan (ketiga) mereka yang tidak lagi mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana (merasakan) ditipu dalam pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila Marang hati ini.

    Menurut Abdul Hadi , pembahagian kerusi bagi calon-calon PN dalam PRN Johor adalah telus, malah beliau menyifatkan momentum PRN Johor akan lebih berpihak kepada PN.

    “Saya melihat secara rambang antaranya ialah peningkatan undi ketika pilihan raya di Sabah. PN berjaya di Sabah di mana BN yang sebelum ini bertanding beberapa puluh kerusi tinggal beberapa belas sahaja.

    “PN dapat kemenangan besar dengan meraih sokongan pengundi ‘mesra’ PN. Di Melaka pula, UMNO dapat undi yang asal sahaja dan tidak mendapat undi baharu.

    “Jumlah undi kita (PN) meningkat dalam PRN di Melaka dan Sarawak. Jadi, kita harap momentum di Johor pun sama. Kita usaha seberapa banyak untuk menang, “ujarnya.

    PRN Johor menyaksikan calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi senarai calon-calon PN.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu mengetengahkan 33 calon manakala Pas (15) dan lapan daripada Parti Gerakan.

    Barisan Nasional (BN) pula bakal menampilkan lebih 70 peratus muka baharu di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan UMNO menampilkan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertaruhkan 42 calon bagi PRN Johor, dengan 54 peratus daripada mereka terdiri daripada calon berusia di bawah 50 tahun, termasuk calon termuda berumur 26 tahun.

  • Sehari sebelum penamaan calon, Pejuang tukar calon Endau

    Sehari sebelum penamaan calon, Pejuang tukar calon Endau

    CALON Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menukar calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau selepas individu yang dipilih positif COVID-19.

    Memetik laporan FMT, Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, Zaini Tahar akan digantikan dengan Mohd Noorhisyam Ibrahim.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa calon N32 (Endau) yang diumumkan semalam telah didapati positif COVID-19.

    “Beliau juga tidak hadir dalam Majlis Pengumuman Calon semalam di Muar,” katanya dalam kenyataan.

    Pejuang semalam mengumumkan 42 calon akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Esok adalah hari penamaan calon.