Author: Hassan Sulaiman

  • Siti Nora cuma ahli biasa, bukan Ketua Srikandi Maran

    Siti Nora cuma ahli biasa, bukan Ketua Srikandi Maran

    SITI Nora Mohamad Noor yang menyertai UMNO semalam bukan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran, Pahang.

    Penjelasan itu diberikan oleh Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin dalam kenyataan media, hari ini

    Beliau menambah, kesemua 31 lagi individu yang turut menyertai UMNO bersama Siti Nora bukan ahli Srikandi Bersatu Bahagian Maran.

    Mereka didakwa ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Maran dan Bersatu Bahagian Maran tidak mempunyai rekod keahlian mereka.

    “Hanya Siti Nora seorang sahaja yang menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran sejak 10 April 2021 dan beliau tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran dalam persidangan dan pemilihan pada 28 November 2021.

    “Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih ialah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya.

    Semalam, media melaporkan Siti Nora dan 31 individu lain menyerahkan borang permohonan keahlian UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan.

    Sehubungan itu, Jasri mendakwa, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tidak meneliti dan memberi maklumat salah serta tidak tepat kepada Rosdy.

    “Saya juga ingin menegaskan bahawa kepimpinan Bersatu Bahagian Maran yang terpilih pada persidangan tahunan yang lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukanm bersama kepimpinan Srikandi dan Armada bahagian,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, beliau memberitahu, pimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Siti Nora.

  • Pastikan kluster mahkamah dalam UMNO tidak berjaya

    Pastikan kluster mahkamah dalam UMNO tidak berjaya

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO semakin terdesak kerana parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah.

    Menurut beliau, strategi mereka adalah untuk membunuh karakter Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan beliau mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.

    Menurut beliau, mereka mahu menghapuskan sejarah kecekapan Muhyiddin mengemudi negara semasa krisis.

    “Dan terkini, mereka juga seperti mahu membunuh karakter Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Mungkin segelintir mereka di dalam UMNO cemburu melihat kejayaan Muzakarah Bersatu-PAS minggu lalu.

    “Kita semua mesti pastikan usaha kluster mahkamah dalam UMNO ini tidak berjaya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Wan Saiful turut memberi amaran kepada UMNO agar tidak bertindak terlalu di luar batas kerana kesabaran Perikatan Nasional (PN) mempunyai hadnya.

    “Saya nak bagi amaran kepada kawan-kawan dalam UMNO, kesabaran kita ada had. Jangan mahu menguji bukan-bukan.

    “Kita boleh dedahkan pelbagai perkara yang membabitkan kepincangan-kepincangan yang dilakukan pemimpin UMNO semasa memerintah dahulu atau yang cuba dilakukan pemimpin kali ini,” ujarnya.

  • Pengundi Johor buat perubahan besar menangkan calon PN

    Pengundi Johor buat perubahan besar menangkan calon PN

    PAS percaya bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah adalah medan memperkukuhkan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan PN bertanding menggunakan satu logo, satu pengarahan dan satu bilik gerakan akan memantapkan lagi usaha bagi mencapai kemenangan dalam PRN tersebut.

    Menurut beliau, usaha itu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam muafakat politik antara PAS, Bersatu dan Gerakan berbanding PRN Melaka dan Sarawak.

    “PAS sebagai sebahagian dari komponen PN akan melancarkan jentera PRN bersama pada minggu hadapan sementara melengkapkan beberapa strategi bagi mencapai kemenangan kali ini.

    “PN akan meneruskan dan memperkasakan muafakat sebagai satu pasukan dalam menghadapi PRN Johor dan seterusnya pilihan raya umum.

    “Insya-Allah. melalui gerak kerja bersama, kita harap pengundi Johor akan melakukan perubahan besar melalui peti undi bagi memenangkan calon PN dalam pilihan raya ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

  • Beranikah UMNO namakan Zahid, Najib sebagai calon PM?

    Beranikah UMNO namakan Zahid, Najib sebagai calon PM?

    SIAPAKAH yang akan dinamakan UMNO sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

    Soalan itu sememangnya sentiasa berlegar dalam fikiran rakyat termasuk ahli-ahli UMNO sendiri menjelang PRU-15 yang dikatakan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

    Kalau ikut amalan terdahulu, sepatutnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebab beliau ialah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.

    Tetapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang berdepan puluhan pertuduhan berkaitan rasuah dan penyelewengan di mahkamah.

    Reputasi BN dan UMNO khususnya dalam kalangan pengundi muda pasti terjejas teruk sekiranya Ahmad Zahid dijadikan ‘poster boy’.

    Jadi, beranikah BN / UMNO menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri? Rasanya lebih baik jangan. Malah, lebih molek kalau beliau tidak dibenarkan bertanding lagi.

    Jika bukan Ahmad Zahid, siapa lagi? Adakah ‘Bossku’ Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam skandal SRC International?

    Memang ramai juak-juak Najib yang mengharapkan bos mereka kembali semula sebagai pemimpin nombor satu negara.

    Namun, majoriti rakyat Malaysia tidak berkongsi pandangan yang sama. Mereka telah membuktikannya pada PRU-14 di mana BN mengalami kekalahan memalukan akibat penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sememangnya, langkah mencalonkan Najib sebagai Perdana Menteri sekali lagi pasti akan mengundang padah terhadap BN dan UMNO. Itu pun kalau Ahmad Zahid setuju.

    tok mat calon BN mohamad hasan
    MOHAMAD HASAN (Gambar: Facebook)

    Baru-baru ini timbul cadangan daripada akar umbi UMNO agar Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadikan ‘poster boy’ pada PRU-15.

    Dalam diam, ramai juga ahli UMNO yang mahu Tok Mat diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri dari BN.

    Cadangan mereka itu ada kewajarannya sebab Tok Mat dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersih dan bebas daripada sebarang skandal.

    Selain beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat mempunyai kaliber untuk kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15, sekiranya BN menang.

    ISMAIL SABRI YAAKOB
    ISMAIL SABRI YAAKOB

    Malang sekali, kedua-dua Tok Mat dan Pak Long Mail bukan pemimpin nombor satu dalam UMNO dan BN sekali gus menyempitkan peluang mereka untuk dicalonkan oleh parti sebagai Perdana Menteri.

    Mereka ada peluang sekiranya Ahmad Zahid mempunyai jiwa yang besar dengan memberi laluan kepada Tok Mat atau Ismail Sabri untuk menerajui kepimpinan parti.

    Memandangkan agak mustahil untuk melihat perkara itu berlaku, satu-satunya jalan yang tinggal adalah dengan mengadakan pemilihan UMNO sebelum PRU-15.

    Kalau tidak, jentera UMNO terpaksa berdepan cabaran yang amat besar untuk meyakinkan rakyat memilih BN dalam keadaan kluster mahkamah masih menguasai parti.

    Mahu tidak mahu, pemilihan UMNO mesti diadakan segera agar mereka boleh memilih barisan kepimpinan yang lebih bersih, berintegriti dan diterima oleh rakyat.

  • Siapa calon PM UMNO, Ismail Sabri atau Najib? Soal Kit Siang

    Siapa calon PM UMNO, Ismail Sabri atau Najib? Soal Kit Siang

    PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan tentang siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri UMNO bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Bapa kepada Setiausaha Agung DAP yang sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah, Lim Guan Eng itu turut bertanya sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus menyandang jawatan Perdana Menteri atau digantikan dengan Datuk Seri Najib Razak.

    “Jadi siapa akan jadi Perdana Menteri UMNO selepas PRU-15?

    “Adakah Ismail Sabri, atau adakah MCA dan MIC akan menyokong Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11?” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman blog beliau hari ini.

    Ketika ini, Najib yang berdepan pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah dilhat sedang melakukan kebangkitan semula dalam politik.

    Kit Siang mendakwa, Najib telah membuat persediaan untuk muncul semula dalam gelanggang politik tempatan dengan memberi ucaptama dalam satu persidangan antarabangsa baru-baru ini.

    Selain itu, Kit Siang membuat andaian tersebut setelah Najib yang juga bekas Presiden UMNO muncul dalam wawancara muka depan akhbar utama.

    Sementara itu, Najib dalam hantaran Facebook hari ini bertanya mengapa Kit Siang menghabiskan masa untuk menulis tentang beliau.

    “Kit Siang, kenapa hari pertama Dong Dong Qiang Tahun Baru Cina kamu habiskan masa untuk fikir, bimbang dan tulis berkenaan saya?

    “Uncle tak raya? Cucu-cicit tak lawat ke?” soalnya.

  • Ahmad Fadhli dilantik Ketua Pemuda PN yang baharu

    Ahmad Fadhli dilantik Ketua Pemuda PN yang baharu

    KETUA Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggantikan Khairil Nizam Khirudin yang tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS yang lalu.

    Pelantikan tersebut yang diluluskan Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat semalam diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan media, hari ini.

    “Mesyuarat turut telah bersetuju sebulat suara untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai Pengerusi PN Melaka yang baharu.

    “Kedua-dua pelantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

    Mesyuarat tersebut dihadiri wakil-wakil daripada semua parti anggota iaitu Bersatu, PAS, STAR, SAPP dan Gerakan serta membincangkan secara mendalam mengenai
    situasi politik semasa, khususnya berhubung kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

  • PH tanggung ‘biawak hidup’ bernama Anwar Ibrahim – Khairuddin

    PH tanggung ‘biawak hidup’ bernama Anwar Ibrahim – Khairuddin

    PERTIKAMAN lidah dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) ekoran isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat.

    Terbaharu, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berpandangan, logo PH tidak sepatutnya dianggap sebagai beban bagi gabungan pembangkang itu.

    Sebaliknya, beliau mendakwa, PH sebenarnya sedang menanggung ‘biawak hidup’ dan gelaran itu ditujukannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Sebenarnya bukan PH yang banyak ‘baggage’ tetapi PH yang sedang menanggung ‘biawak hidup’ bernama Anwar Ibrahim yang senantiasa mengamalkan percaturan politik lapuk yang sudah tidak relevan,” katany dalam ciapan Twitter, hari ini.

    Khairuddin turut memuatkan tangkap layar laporan Malaysiakini semalam bertajuk ‘PKR using own logo in Johor as Harapan’s has baggage’ yang menyiarkan kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertahankan pendirian partinya.

    Dalam laporan tersebut, Nik Nazmi berkata, walaupun terdapat pencapaian semasa era kerajaan PH dahulu, logo PH juga dikaitkan dengan banyak kekurangan.

    Beliau juga percaya, logo PKR juga jauh lebih dikenali berbanding logo PH, yang merupakan faktor penting dalam kerusi separa luar bandar di mana PKR sering bertanding.

    Ahli Parlimen Setiawangsa itu menambah, logo PH tidak benar-benar membantu gabungan itu semasa PRN Melaka November lalu kerana ia tidak dikenali oleh pengundi.

    Nik Nazmi berkata, logo PKR juga digunakan untuk kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sementara logo PH masih belum diuji secara meluas.

    Semalam, Majlis Presiden PH bersetuju untuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang.

    Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju untuk PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.

  • UMNO lupa menang PRK dulu hasil bantuan PAS

    UMNO lupa menang PRK dulu hasil bantuan PAS

    UMNO dikatakan sudah lupa sama sekali bahawa kemenangan yang diperolehi Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah hasil bantuan PAS.

    Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik berkata, UMNO seolah-olah kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi.

    Menurut beliau, melihat kepada perkembangan terkini, UMNO seperti sangat ghairah untuk kembali berkuasa tanpa PAS dan Bersatu.

    Mokhtar menambah, keghairahan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri daripada pemimpin Bersatu kepada UMNO.

    “Kemudian diekori dengan kemenangan besar UMNO di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula. Suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema.

    “Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh UMNO Terengganu. Kelihatan yang masih agak sayang kepada Muafakat Nasional (MN) hanya UMNO Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti (sedang memerhati perkembangannya),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berpandangan, tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain kekalahan.

    Hubungan PAS dan UMNO semakin meruncing apabila UMNO Johor memutuskan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara solo.

    PAS Johor masih cuba berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru yang dikhuatiri boleh membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di negeri itu.

    Setakat ini, belum ada perkembangan positif dalam rundingan antara PAS dan UMNO berhubung PRN Johor.

    Mokhtar turut mengingatkan semua parti termasuk UMNO agar jangan bersikap seperti ‘abang long’ yang mahu mendominasi gabungan tiga parti terbesar Melayu.

    “Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah.

    “Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu.

    “Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu,” jelasnya.

    Beliau berpandangan, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi terlalu kuat.

    “…kerana bila merasa terlalu kuat UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya. Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar.

    “Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat,” ujarnya.

    Mokhtar berkata, tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO + PAS + Bersatu.

    “Tapi dengan syarat jangan nak jadi abang long. Setakat jadi abang ngah tu boleh. Belajar tawaduk dan setiakawan,” katanya.

  • Pinda dasar dan amalan lapuk dalam agensi KPLB

    Pinda dasar dan amalan lapuk dalam agensi KPLB

    BEBERAPA dasar di peringkat agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang tidak lagi sesuai dengan situasi masa kini perlu dipinda.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pindaan itu perlu bagi mempercepatkan proses kerja dan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Macam yang saya katakan dalam ucapan saya, yang utama adalah untuk kesejahteraan rakyat dari segi pembangunan ekonomi keluarga, dari segi pembangunan keusahawanan dan dari segi perniagaan dalam komuniti.

    “Kita semua memikirkan bahawa untuk seterusnya dasar dan pembangunan wilayah perlulah disesuaikan dengan zaman IR 4.0 iaitu zaman digital, ada beberapa perkara nak ditambahbaik dasar agensi yang ada di bawah KPLB,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, di Dewan Datuk Ariffin Said di Gua Musang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri 2 KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi KESEDAR, Datuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

    Dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KESEDAR sebelum itu, Mahdzir menyebut agensi di bawah KPLB perlu meminda dasar lapuk yang menghalang pelaksanaan sesuatu gerak kerja sehingga menyukarkan penyelesaian masalah rakyat.

    Tegas beliau, dasar dan amalan lapuk itu sama ada perlu diganti atau dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

    Mengenai pencapaian KESEDAR sepanjang 40 tahun penubuhannya, Mahdzir berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan program pembangunan yang dilaksanakan.

    “Lebih kurang 40 tahun KESEDAR membangunkan masyarakat di sini, ada kejayaan besar yang telah KESEDAR lakukan.

    “Yang penting bagaimana kita hendak menentukan sejauhmana dua mandat KESEDAR iaitu Mandat Keusahawanan dan Mandat Kesejahteraan Rakyat dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya,” jelas Mahdzir.

    Pada majlis ini, Mahdzir turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan KESEDAR 2021-2025 dan menyampaikan Sijil Penghargaan Sukarelawan Banjir KESEDAR seramai 150 orang.

  • Tok Mat bakal jadi ‘poster boy’ BN pada PRU-15?

    Tok Mat bakal jadi ‘poster boy’ BN pada PRU-15?

    SEJAK semalam, tular hantaran dalam laman Facebook Pemuda UMNO Bahagian Rembau yang menyarankan agar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dijadikan ‘poster boy’ BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Nak BN menang besar PRU15? Letak insan bernama Mohamad Bin Haji Hasan ni ‘poster boy’ BN..

    “Letak insan ni calon PM pasca PRU15.. In shaa Allah orang UMNO akan undi BN, ahli² komponen BN akan undi BN , rakyat majoritinya pun akan undi BN, rakyat akan pastikan BN menang besar, siap isi borang masuk UMNO lagi……,” demikianlah bunyi hantaran tersebut.

    Mungkin penulis hantaran tersebut meletakkan harapan yang tinggi agar BN meletakkan Mohamad atau lebih popular dengan gelaran Tok Mat sebagai ‘pelaris’ bagi menarik sokongan pengundi.

    Harapan itu adalah bersandarkan populariti yang diraih oleh Tok Mat sehingga membolehkan BN menang pada PRN Melaka serta beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14.

    Setakat ini tidak diketahui apa maklum balas Tok Mat sendiri dan pucuk pimpinan UMNO dan BN khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap saranan tersebut.

    Selama ini, sudah menjadi kelaziman bagi parti-parti politik di Malaysia untuk meletakkan pemimpin tertinggi mereka sebagai ‘poster boy’ semasa kempen pilihan raya.

    Dalam hal ini, kemungkinan besar muka Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi BN dan Presiden UMNO akan terpampang pada bahan-bahan kempen parti.

    Itupun jika PRU-15 diadakan sebelum UMNO sempat mengadakan pemilihan parti sekali gus mengekalkan kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi.

    Faktor itu boleh merencatkan peluang Tok Mat untuk menjadi ‘poster boy’ BN, kecuali Ahmad Zahid berjiwa besar dan bersedia memberi laluan kepada timbalannya.

    Selain itu, masih ada lagi kumpulan dalam UMNO yang setia terhadap Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Terdapat kebarangkalian yang tinggi mereka akan membantah cadangan menampilkan Tok Mat sebagai ‘poster boy’ BN kerana langkah itu akan menjejaskan populariti bos-bos besar mereka.

    Satu-satunya cara bagi membolehkan Tok Mat dijadikan ‘poster boy’ adalah dengan memilih beliau sebagai Presiden UMNO dan ia hanya boleh dilakukan melalui pemilihan parti.

    Justeru, akar umbi UMNO khususnya Pemuda perlu mendesak pucuk pimpinan parti untuk mengadakan pemilihan sebelum PRU-15.

    Jika mereka tidak berani membuat desakan itu, harapan untuk melihat wajah Tok Mat menghiasi bahan-bahan kempen BN cuma tinggal harapan.

    Terpaksalah akar umbi UMNO berpuas hati dengan hakikat mereka akan bertempur dalam PRU-15 dengan dibayangi imej-imej kluster mahkamah.