PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori tangki warga tempatan ketika sedang leka mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori.

Lelaki itu ditahan dalam serbuan lima pegawai penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah awal pagi semalam.

Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, ketika ditahan pemandu lori itu sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan selama kira-kira 40 minit.

Kata beliau, siasatan lanjut terhadap resit belian mendapati lori tersebut telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM 6,582.85.

“Selain pemandu lori tangki itu, turut ditahan seorang lagi warga tempatan dan kita turut menyita sebanyak 2,800 liter minyak diesel, sebuah lori serta dua unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Menurut beliau, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama kira-kira sebulan susulan aduan orang awam.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan itu adalah RM52,520 dan kes itu  disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

diesel bersubsidi
Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa lori tangki yang digunakan.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, jumlah denda yang dikenakan tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda yang dikenakan ialah tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan mengingatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

Pada masa sama, pihaknya mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan bawang kawalan bersubsidi.

“Orang awam boleh memyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 019-2794317 atau menghubungi bilik gerakan PPDNHEP negeri di talian 04-3840245,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here