Author: Bernama

  • Dua tahanan lari dari PUSPEN Bukit Chabang

    Dua tahanan lari dari PUSPEN Bukit Chabang

    POLIS sedang memburu dua tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang, Beseri yang melarikan diri semalam.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abudullah berkata, kedua-dua tahanan lelaki itu masing-masing berusia 51 dan 44 tahun.

    “Kali terakhir salah seorang tahanan dilihat memakai baju berwarna kuning dan berseluar ‘track’ warna gelap, manakala seorang lagi memakai baju berwarna putih dan berseluar ‘track’ gelap,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pengurusan PUSPEN Bukit Chabang membuat laporan berhubung kejadian itu semalam dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar telah melancar Op Tutup bagi mengesan kedua-dua pelatih terlibat.

    Beliau berkata, Op Tutup disertai oleh tujuh pegawai dan 53 anggota polis dibantu oleh seorang pegawai dan sembilan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.

    “Polis turut melakukan tiga,sekatan jalan raya dibantu oleh Pasukan Gerakan Am,” katanya.

    Mohd Shokri berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan (kecuaian penjawat awam membiarkan seseorang lari dari tahanan) dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan (tentangan atau halangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang).

    Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat di talian 04-9492222 dan 04-9491481. – BERNAMA

  • Lima pemandu mabuk ditahan di Johor Bahru

    Lima pemandu mabuk ditahan di Johor Bahru

    POLIS menahan lima lelaki selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Selamat di sekitar kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), ACP Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua individu yang berumur antara 23 hingga 47 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Perundangan Trafik JBU sekitar pukul 1 hingga 4 pagi.

    “Kita bertindak tegas dan tidak berkompromi terhadap pemandu yang memandu melebihi paras alkohol yang dibenarkan dan operasi kali ini kita berjaya kesan lima pemandu mabuk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Rupiah berkata dalam operasi berkenaan seramai 81 individu dan 60 kenderaan diperiksa.

    “Pihak polis akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan dengan tegas demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain berada dalam keadaan selamat,” katanya.

    Beliau pada masa sama menasihati pemandu agar sentiasa fokus dan berhati-hati di jalan raya sekali gus mengekalkan pemanduan yang selamat. – BERNAMA

  • Khabar angin Sulaiman dipaksa letak jawatan KM adalah fitnah

    Khabar angin Sulaiman dipaksa letak jawatan KM adalah fitnah

    KHABAR angin yang mendakwa Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka, adalah fitnah dan tidak berasas.

    Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.

    “Pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan lima Ketua UMNO Bahagian di Melaka iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah, telah setuju menjadikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

    “Kami berharap Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis tempoh jawatannya iaitu selama lima tahun,” katanya kepada pemberita di Melaka.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu yang berakhir lewat malam tadi.

    Semalam, terdapat dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman telah dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Dalam pada itu, Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, UMNO Melaka akan terus menyokong dan mempertahankan Sulaiman daripada diganggu pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.

    “Saya berharap mulai hari ini, tidak akan timbul lagi desas-desus yang mengatakan ada orang akan menggantikan Sulaiman seperti mana yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

    Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pada 21 Nov tahun lepas, selepas Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018. – BERNAMA

  • [VIDEO] Penganggur tampar, buli remaja OKU ditahan

    [VIDEO] Penganggur tampar, buli remaja OKU ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai ditampar dan dibuli di kawasan Taman Tasik Taiping semalam.

    Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, suspek yang tidak bekerja berumur 22 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 10.45 malam tadi.

    “Suspek ditahan reman tiga hari mulai hari ini hingga Selasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, polis mengesan satu video berdurasi seminit dua saat yang ditularkan di laman sosial Facebook bertajuk ‘Budak OKU lelaki Melayu kena tampar dan dibuli di Taman Tasik Taiping’.

    Ekoran daripada penularan video tersebut, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

    Osman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berumur 13 tahun seorang diri beriadah menggunakan basikal di taman itu dan motif kejadian berpunca apabila suspek ingin meminjam basikal milik remaja OKU terbabit.

    https://twitter.com/jnmalaysia/status/1523151728476291072

    Beliau berkata, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan siasatan sedang diteruskan. – BERNAMA

  • Bekas Pengarang Urusan Bernama meninggal dunia

    Bekas Pengarang Urusan Bernama meninggal dunia

    BEKAS Pengarang Urusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohamad Nasir Yusoff, meninggal dunia hari ini pada usia 62 tahun.

    Anak sulung Allahyarham, Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir berkata, arwah yang menghidap pelbagai penyakit, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.48 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), selepas mengadu kepenatan sejurus mendarat dari Miri, Sarawak.

    “Selepas turun daripada pesawat, arwah mengadu berasa mengah dan penat sangat lalu meminta untuk baring. Tidak lama selepas itu arwah dah tak ada (meninggal). Arwah baru pulang beraya di Miri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, jenazah ketika ini berada di Jabatan Forensik Hospital Serdang dan dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.

    Nasirah yang sedang hamil tujuh minggu, berkata, beliau sedikit ralat kerana arwah bapanya yang sangat gembira dengan berita kehamilannya, tidak dapat melihat cucu yang bakal lahir.

    Mohamad Nasir yang memulakan perkhidmatan di Bernama pada 1 Okt 1983 dan bersara wajib pada 7 Mac 2020, meninggalkan isteri, Halimah Piee dan empat anak, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin menyifatkan arwah sebagai seorang rakan sekerja yang berdedikasi sepanjang berkhidmat di Bernama.

    “Saya kehilangan seorang rakan baik dan berasa amat sedih apabila menerima berita tentang pemergian arwah pagi tadi,” katanya.

    Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir Md Yunus pula berkata, Allahyarham, yang pernah bertugas sebagai Koresponden Bernama di Jakarta, Indonesia turut aktif dan memainkan peranan besar dalam merapatkan hubungan antara wartawan serumpun Malaysia-Indonesia semasa beliau masih bertugas di Jakarta mahupun sekembalinya ke tanah air.

    “Ini terutamanya menerusi penglibatan aktif beliau dalam Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) sejak beberapa tahun lepas. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat dunia kewartawanan serumpun baik di Malaysia mahupun di Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata, Allahyarham seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan apa juga tugasan yang diamanahkan kepada beliau, selain kreatif dan banyak memberi idea terutamanya sewaktu beliau memimpin Meja Rencana.

    Katanya, arwah juga seorang yang peramah, baik hati serta tidak lokek membantu sesiapa baik wartawan lama mahupun yang baharu. – BERNAMA

  • Dua bot berlanggar, juragan maut selepas jatuh dalam laut

    Dua bot berlanggar, juragan maut selepas jatuh dalam laut

    SEORANG lelaki warga asing disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital di Semporna selepas terjatuh di laut selepas bot dikendalikannya dilanggar sebuah bot tambang berdekatan perairan Jeti Balimbang, Pulau Bum Bum semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika kejadian pada 7.20 malam itu, mangsa berusia 50 tahun mengendalikan sebuah bot kecil serta tidak berlampu sebelum dilanggar sebuah bot tambang dinaiki tujuh penumpang.

    “Pada 8.31 malam, polis bertugas di Balai Polis Pulau Bum Bum menerima laporan berhubung kejadian iaitu mangsa menaiki sebuah bot dari arah Pulau Bum Bum menuju ke Pekan Semporna sementara bot tambang dikendalikan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun itu dari Pekan Semporna ke Pulau Bum Bum.

    “Impak pelanggaran itu, bot mangsa pecah di bahagian belakang serta enjin bot jatuh ke laut termasuk mangsa, dan penumpang bot tambang bertindak pantas menyelamatkan mangsa, setelah kejadian itu mangsa dibawa ke hospital namun lebih sejam kemudian mangsa yang mengalami kecederaan lebam di perut selain di lengan kanan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu, selain juragan bot tambang berkenaan ditahan pada hari sama kejadian dan direman selama empat hari sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Nur Faez Hazreeq dengan menghubungi talian 089-781222 atau tampil ke balai polis berdekatan.

    Di samping itu, Mohd Farhan turut mengingatkan pemilik bot atau juragan supaya memastikan keselamatan bot terjamin termasuk memasang lampu bot pada waktu malam serta menyediakan jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Pemotong rumput maut dirempuh MPV dipandu remaja 16 tahun

    Pemotong rumput maut dirempuh MPV dipandu remaja 16 tahun

    SEORANG pekerja pemotong rumput maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pintasan Semeling, berhampiran Taman Malinja dekat Bedong, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang maut itu lelaki dikenali sebagai Cinglowpa, 20, yang berasal dari Myanmar manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33, patah bahu bahagian kanan.

    “Sebelum kejadian kira-kira 11 pagi itu, Cinglowpa sedang berehat di bahu jalan manakala rakannya sedang duduk di atas motosikal jenis Honda Wave yang diparkir di situ selepas bekerja.

    Secara tiba-tiba, MPV jenis Perodua Alza yang dipandu laju remaja lelaki berusia 16 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok. MPV itu kemudian terus melanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera parah juga telah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Remaja berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

  • Tabung Haji beri jaminan tidak wujud ‘kabel’ , potong giliran – Ahmad Marzuk

    Tabung Haji beri jaminan tidak wujud ‘kabel’ , potong giliran – Ahmad Marzuk

    TABUNG  Haji (TH) memberi jaminan tidak wujud isu menggunakan ‘kabel’ (kuota orang kenamaan) atau memotong giliran untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan tidak baik itu juga seakan menidakkan hak orang yang telah disenaraikan untuk menunaikan haji.

    “Tak elok kalau kita nak pergi haji sehingga terpaksa memotong nama orang yang sudah naik (disenaraikan). Apapun kita doa kalau dah sampai giliran akan pergi.

    “Mengenai senarai menunggu, ia mempunyai kriteria tertentu yang menjadi keutamaan TH. Kalau tiada kuota tambahan ataupun semua yang disenaraikan itu tiada masalah dan layak untuk menunaikan haji, jadi tiada kejayaan kepada senarai menunggu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Parlimen Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Ahmad Marzuk yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut menasihatkan bakal jemaah haji dan juga umrah supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa kerajaan Arab Saudi.

    “Jemaah diminta patuh kepada SOP yang telah ditetapkan kerana ia melibatkan keperluan untuk mereka berdisplin agar perjalanan menjadi lancar dan teratur.

    “Malah, untuk menyediakan satu-satu SOP ia telah difikirkan dan dikaji secara teliti. Jadi sebarang pelanggaran kepada SOP akan menjejaskan dari sudut kelicinan perjalanan kepada urusan haji,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai penjualan produk berunsurkan penawar dan sunnah yang semakin berleluasa di pasaran, Ahmad Marzuk berkata peniaga dinasihatkan agar tidak mempromosikan produk dengan meletakkan tarikan termasuk unsur keagamaan yang boleh mencetuskan kekeliruan.

    “Pengusaha kepada produk ini perlu benar-benar memahami apa yang dimaksudnya dengan sunnah adakah sama ada ia benar-benar seperti yang dimaksudkan atau sebaliknya. Pastikan produk yang hendak dijual bertepatan dengan tajuk yang dipromosikan.

    “Sebagai contoh, ada produk bihun menggunakan lambang masjid namun ia tidak mempunyai sijil halal. Perkara-perkara sebegini boleh mengelirukan pengguna terumanya mereka beragama Islam,” katanya.

    Beliau berkata daripada sudut kepenggunaan, orang ramai boleh merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan membuat laporan sekiranya ada sebarang peraturan yang disifatkan berunsur penipuan.

    “Pegawai KPDHNHEP ada di setiap kawasan Parlimen yang ditugaskan untuk menerima aduan berkaitan dengan kesalahan dari segi kepenggunaan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan kepada KPDNHEP untuk hal sebegini termasuk membuat pemantauan,” katanya.

    –BERNAMA

  • Tiada keperluan mendesak bubar Parlimen – Takiyuddin

    Tiada keperluan mendesak bubar Parlimen – Takiyuddin

    TIDAK ada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan memandangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bergerak dengan teratur mengikut Perlembagaan.

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini kerajaan yang ada perlu menyelesaikan beberapa tugas terutamanya melibatkan fasa pemulihan pasca COVID-19.

    Beliau berkata, secara umum tempoh penggal PRU14 juga masih berbaki sehingga Julai 2023.

    “Pemulihan ini dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya, jadi perlu diberi peluang kepada kerajaan yang sedang berjalan untuk menyelesaikan pasca pemulihan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kampung Sireh, di Kota Bharu hari ini.

    Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata PAS sedang memperkuatkan parti tersebut menerusi tambahan cawangan dan ahli.

    “Setiap bulan PAS pusat ada mesyuarat bulanan dan kita menerima sebanyak 2,000 ahli baharu dan cawangan baharu.

    “Kita ada 197 kawasan di seluruh negara dan saya sudah mengarahkan supaya ditambah lagi,” katanya.

    Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, Unit Pembahagian Pusaka di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) akan dinaik taraf kepada sebuah jabatan menjelang akhir tahun ini.

    Beliau berkata, ketika ini rundingan berkaitan peruntukan serta perjawatan dengan jawatan tertinggi adalah ketua pengarah sedang diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    “Saya melihat keperluan cukup mendesak untuk menaik taraf Unit Pembahagian Pusaka kepada sebuah jabatan kerana banyak kes tertunggak membabitkan permohonan dan pembahagian harta pusaka,” katanya.

    Pada 3 Mac lepas, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan Dewan Rakyat bahawa sebanyak 72,348 kes pembahagian harta pusaka tertunggak direkodkan sehingga 31 Dis lepas dengan Kedah dan Selangor masing-masing mencatat jumlah tertinggi, iaitu 13,423 dan 10,358 kes.

    Beliau juga dilaporkan berkata sebanyak 43,519 kes pembahagian harta pusaka dengan nilai keseluruhan RM11.2 bilion telah diselesaikan pada 2021, dengan nilai kutipan fi RM14.5 juta sebagai pendapatan Kerajaan Persekutuan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Letupan hotel: 22 mangsa maut, 64 cedera

    [VIDEO] Letupan hotel: 22 mangsa maut, 64 cedera

    SATU letupan kuat berlaku pada Jumaat di Hotel Saratoga di Havana, ibu negara Cuba, mengakibatkan kematian dan kerosakan teruk, lapor Agensi Anadolu.

    Memetik laporan Bernama, Pejabat Presiden Cuba mengesahkan setakat ini 22 mangsa disahkan meninggal dunia dan 64 yang lain cedera.

    “Operasi mencari dan menyelamat diteruskan susulan kemungkinan masih ada mangsa terperangkap,” menurut kerajaan di Twitter.

    Penduduk tempatan turut membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

    Kerajaan Cuba mendakwa letupan itu berkemungkinan disebabkan oleh kerja penyelenggaraan membabitkan gas cecair yang dilakukan di hotel.

    Hantaran di media sosial memaparkan bangunan hotel mengalami kerosakan teruk.

    Kejadian berlaku pada tengah hari di hotel yang terletak di Paseo del Prado.

    Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel yang melawat lokasi kejadian berkata “Letupan itu bukan bom atau serangan, tetapi kemalangan yang tidak disengajakan.”

    Kebocoran gas dipercayai menjadi punca kepada kejadian itu, lapor Xinhua.

    Hotel lima bintang itu dalam proses dibuka semula pada 10 Mei sebagai sebahagian usaha pemulihan industri pelancongan di pulau itu.

    Operasi menyelamat masih dijalankan.