Author: Bernama

  • Pembantu kedai makan dipenjara 18 bulan halang tugas penjawat awam

    Pembantu kedai makan dipenjara 18 bulan halang tugas penjawat awam

    SEORANG pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Seri Manjung di Lumut selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan melanggar kereta polis dan menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas.

    Tertuduh, Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan khianat dengan melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta milik Polis Diraja Malaysia yang menyebabkan kerugian RM1,200 yang mana  Shahrul Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Bangunan Toyota Seri Manjung di Lumut antara pukul 8.40 pagi hingga 9.40 pagi pada 4 Mei lepas.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun atau tidak lebih dari lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati tidak memberi kerjasama serta menghalang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas dengan sengaja tidak memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif bertujuan menghalang pihak polis melakukan tangkapan dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan restoran Horizon Garden di Seri Manjung pada waktu dan tarikh yang sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah menjatuhi hukuman 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan, yang dijalankan secara serentak bermula dari tarikh dia ditahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Amani Williams Hunt Abdullah.

    — BERNAMA

  • Pelajar lelaki meninggal dunia ketika lari rentas desa

    Pelajar lelaki meninggal dunia ketika lari rentas desa

    SEORANG pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Marang, meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian pada 8.34 pagi itu, pelajar tersebut, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.

    “Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

    “Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

    “Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.

    Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

  • Arkitek rugi RM121,000 ditipu sindiket Macau Scam

    Arkitek rugi RM121,000 ditipu sindiket Macau Scam

    SEORANG arkitek sebuah syarikat swasta di Kuching kerugian RM121,000 setelah diperdaya satu sindiket Macau Scam yang kononnya dapat menyelesaikan satu kes jenayah kewangan melibatkannya.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri hari ini berkata lelaki berumur 35 tahun itu, membuat laporan polis semalam di sini setelah menyedari dirinya ditipu sindiket itu yang menghubunginya bermula 1 Mac lepas.

    “Mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Rizuan dari Mahkamah Langkawi pada 1 Mac, mengatakan mangsa telibat dalam satu kes pengubahan wang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Setelah mangsa menafikan penglibatannya, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya Sarjan Farah dari Balai Polis Langkawi dan akan membantu mangsa membuat laporan penafian dengan syarat, mangsa membuat pembayaran untuk audit dan siasatan.

    “Mangsa kemudian dihubungi beberapa individu melalui telefon bagi mengarahkannya membuat bayaran itu. Mangsa melakukan 11 transaksi wang keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu yang berlainan di antara 1 Mac dan 12 April,” kata Mohd Azman.

    Menurutnya mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah nombor-nombor telefon yang digunakan suspek-suspek itu tidak dapat dihubungi selepas beliau membuat pembayaran berkenaan.

    — BERNAMA

  • 838 peserta KEDA terima hak milik kediaman – Mahdzir

    838 peserta KEDA terima hak milik kediaman – Mahdzir

    LEMBAGA Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melaksanakan proses pindah hak milik kediaman kepada 838 pesertanya sejak 2015.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 1,940 peserta pula dijangka akan menerima geran hak milik kediaman masing-masing, selepas proses pindah hak milik selesai.

    “Keseluruhannya KEDA ada 3,862 unit rumah di 44 penempatan KEDA di seluruh negeri, yang mana daripada jumlah itu sebanyak 2,778 unit telah diberikan hak milik kepada KEDA (oleh kerajaan negeri).

    “Penyerahan geran kediaman kepada peserta di penempatan KEDA ini, saya kira prosesnya akan dilakukan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran hak milik penempatan Desa KEDA di Pokok Sena hari ini.

    Beliau berkata, penyerahan geran hak milik penempatan KEDA itu, merupakan antara agenda utama agensi itu bagi membantu penerima yang layak memiliki kediaman.

    Bagaimanapun, Mahdzir berkata, proses itu memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk KEDA menyelesaikan perkara berkaitan, sebelum hak milik kediaman dapat diserahkan kepada pesertanya.

    “KEDA bayar premium tanah kepada kerajaan negeri, kemudian tukar hak milik kepada KEDA dan KEDA kena buat pecahan dan sempadan hak milik tanah kediaman kepada semua peserta di sesuatu penempatan, jadi proses ini agak lama.

    “Tapi Alhamdulillah banyak yang telah selesai, iaitu 838 unit telah selesai. Ada 1,940 unit dalam proses dan ia proses berterusan apabila selesai nanti kita serahlah hak milik kepada penerima yang layak,” katanya.

    Beliau berkata, proses pemindahan hak milik dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan KEDA.

    Terdahulu pada majlis itu, Mahdzir menyerahkan geran hak milik penempatan kepada 160 peserta KEDA yang melibatkan tiga penempatan iaitu Desa KEDA Bendang Perang, Desa KEDA Kampung Bukit dan Desa KEDA Derang.

    Penyerahan geran hak milik itu bertujuan memberi hak milik persendirian lot-lot tapak rumah di penempatan KEDA kepada peserta, yang menduduki rumah-rumah di kawasan itu. – BERNAMA

  • Lima maut dalam kejadian runtuhan batu

    Lima maut dalam kejadian runtuhan batu

    LIMA maut dalam kejadian runtuhan batu di Rongxian, Wilayah Sichuan, barat daya China, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan pada Selasa.

    Kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang Isnin di sebuah kampung di Rongxian.

    Operasi menyelamat ditamatkan pada tengah malam selepas mayat kelima ditemukan.

    Siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan. – BERNAMA

  • Kes cukai tertunggak: Najib, Nazifuddin dapat kebenaran merayu

    Kes cukai tertunggak: Najib, Nazifuddin dapat kebenaran merayu

    DATUK Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin boleh merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak, masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

    Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang membenarkan Najib dan Mohd Nazufuddin sebagai pemohon merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

    “Adalah keputusan sebulat suara kami bahawa keperluan Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah dipenuhi dari segi Lampiran 1 (Usul untuk kebenaran merayu),” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

    Seksyen 96 (a) dan (b) akta itu menyatakan bahawa kebenaran hanya akan diberikan oleh Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan dalam kausa sivil yang melibatkan soal prinsip am yang diputuskan buat kali pertama atau persoalan kepentingan yang menjadi hujah lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah untuk faedah awam atau daripada apa-apa keputusan tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan termasuk kesahihan undang-undang bertulis yang berkaitan dengan peruntukan sedemikian.

    Bekas perdana menteri dan anak lelakinya memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap penghakiman terus yang diperoleh LHDN untuk mendapatkan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai daripada mereka.

    Dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

    Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

    Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus itu sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, pihak litigasi mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.

    Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib dan Nazifuddin berhujah bahawa tindakan LHDN itu berniat jahat dan jelas responden (LHDN) berusaha untuk memufliskan anak guamnya walaupun sebelum Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) boleh mendengar merit pembelaan mereka terhadap taksiran cukai tambahan yang dikemukakan terhadap mereka.

    LHDN diwakili oleh Timbalan Peguamcara Hasil, Dr Hazlina Hussain manakala peguam Anand Raj dari Badan Peguam Malaysia bertindak sebagai ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah.

    Sementara itu, seorang lagi peguam Najib dan Mohd Nazifuddin, Wee Yeong Kang ketika dihubungi berkata mereka akan memfailkan notis rayuan secepat mungkin. – BERNAMA

  • Arahan Najib supaya tandatangan penyata kewangan 1MDB satu ugutan

    Arahan Najib supaya tandatangan penyata kewangan 1MDB satu ugutan

    RAKAN kongsi urusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris menyifatkan arahan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada firma audit itu supaya melengkapkan dan menandatangani auditnya terhadap penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi 2013 dalam tempoh dua minggu, sebagai satu bentuk ugutan.

    Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini.

    Saksi pendakwaan ke-14 itu ditanya mengenai mesyuarat pada malam 15 Dis 2013 di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

    Pertemuan selama 45 minit itu adalah antara KPMG dengan Johan sebagai wakil tunggalnya, 1MDB dan Najib sendiri.

    Sri Ram: Anda diminta mengesahkan bahawa minit mesyuarat tidak menunjukkan terdapat sebarang tekanan yang dikenakan oleh tertuduh, Najib, terhadap anda pada mesyuarat ini. Anda berada di sana, ada tekanan?

    Johan: Saya katakan (sebagai) ugutan… Ugutan kepada kami untuk membuat kesimpulan dan menandatangani penyata audit 31 Mac 2013.

    Sri Ram: Daripada siapa? Johan menjawab, Najib.

    Pada peringkat ini, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed membantah jawapan saksi itu kerana perkataan ‘ugutan’ tidak pernah ditimbulkan oleh saksi dalam mana-mana jawapannya.

    Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta pembelaan mengemukakan hujahan.

    Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa KPMG masih belum menandatangani audit untuk penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013, kerana 1MDB masih belum memberikan maklumat yang diminta KPMG sejak April 2013.

    Berdasarkan minit mesyuarat yang Johan sendiri menaipnya, beliau menyatakan bahawa Najib telah meminta KPMG menandatangani audit itu selewat-lewatnya pada 31 Dis 2013.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan bersambung. – BERNAMA

  • [VIDEO] Bekas bintang NBA Adreian Payne mati ditembak

    [VIDEO] Bekas bintang NBA Adreian Payne mati ditembak

    BEKAS pemain NBA, Adreian Payne, 31, maut akibat ditembak dalam satu insiden di Orlando, Florida pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik polis.

    Syerif Orange County di Orlando berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan pada 1.37 pagi waktu tempatan (0537GMT), mangsa disahkan meninggal dunia ketika di hospital.

    Payne bersama NBA sebanyak empat musim dengan menyertai Atlanta Hawks, Minnesota Timberwolves, dan Orlando Magic.

    Beliau kemudian berpindah ke EuroLeague Panathinakos dan ASVEL. Payne memenangi satu kejuaraan Liga Greece bersama Panathinaikos.

    Selain itu Payne pernah menyertai kelab Turki, OGM Ormanspor sebelum berpindah ke pasukan Lithuania BC Juventus pada 2021.

    Kelab Greek, Panathinaikos mengucapkan takziah atas permergian Payne.

    “Kami terkejut dengan berita kematian bekas pemain kami. Takziah daripda kami kepada keluarga Adreian Payne. #RIP #AdreianPayne,” ciap Panathinaikos di Twitter.

    Turkish Airlines EuroLeague turut mengucapkan takziah kepada keluarga Payne. – BERNAMA

  • [VIDEO] Rusuhan penjara: 41 banduan maut, 13 cedera

    [VIDEO] Rusuhan penjara: 41 banduan maut, 13 cedera

    RUSUHAN penjara di wilayah Pichincha, Ecuador menyebabkan sekurang-kurangnya 41 banduan maut manakala 13 lagi cedera, lapor Xinhua, memetik agensi pengurusan penjara pada Isnin.

    Menurut kenyataan agensi pengurusan penjara itu, rusuhan tercetus pukul 2 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di sel kawalan ketat selepas seorang ketua kumpulan jenayah dipindahkan ke sel itu atas perintah mahkamah.

    Selain itu, 112 banduan yang cuba melarikan diri dari penjara ketika pergaduhan tercetus telah ditahan semula.

    Polis turut menemukan senjata semasa menggeledah sel itu termasuk empat raifel, tiga pistol, revolver, empat bom tangan dan 1,800 kaliber 2.23.

    Sistem penjara Ecuador sering diancam krisis aibat pertempuran berterusan antara kumpulan pengedar dadah yang bersaing untuk mengawal penjara.

    Pada 2021 rusuhan penjara menyebabkan lebih 300 banduan terkorban. – BERNAMA

  • Remaja lelaki ditahan tipu sewa tapak bazar Ramadan, Festival Aidilfitri

    Remaja lelaki ditahan tipu sewa tapak bazar Ramadan, Festival Aidilfitri

    POLIS menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam penipuan berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata suspek berusia 19 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selepas keluarganya menyerahkan remaja berkenaan kepada polis di Balai Polis Gemas, Negeri Sembilan.

    Beliau berkata suspek dipercayai telah memperdayakan lima mangsa setakat ini melalui pengiklanan sewaan tapak itu di media sosial sehingga melibatkan kerugian berjumlah RM11,300.

    “Pada 30 Mac hingga 14 April lepas, JSJK menerima enam laporan polis berkenaan penipuan dalam urusan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil. Dalam kes ini, mangsa dijanji akan memperolehi tapak dengan bayaran pendahuluan RM1,500 hingga RM2,700.

    “Kesemua mereka menyedari ditipu selepas penganjur bazar itu mengesahkan bahawa Program Bazar Ramadan serta Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan, dan mereka tidak menerima wang pendahuluan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mohd Mahidisham berkata pemuda yang ditahan merupakan suspek utama dan pemilik akaun bank yang menerima transaksi pemindahan wang pendahuluan dalam kes ini.

    “Suspek direman hingga 10 Mei untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Beliau seterusnya menasihati orang ramai yang ditipu berkaitan sewaan Tapak Bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil supaya tampil membuat laporan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Cheras ASP G. Janarthanan Nair dengan menelefon 012-5734374.

    — BERNAMA