

“JAGA solat dan jangan lupa nilai murni dalam diri”.
Begitulah antara pesanan seorang ibu angkat berbangsa Cina dan berlainan agama Chee Hoi Lan, 84, kepada anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22, sewaktu gadis berkenaan melapor diri sebagai mahasiswa di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), minggu lalu.
Penulis percaya, disebalik pesanan tersebut banyak pihak yang terkesan dan tersentuh kerana ia diungkapkan oleh seorang ibu angkat berlainan keturunan bangsa dan agama.
Tiada siapa mengetahui tentang perjalanan hidup mereka dua beranak selama ini dan bagaimana sukarnya
Hoi Lan yang merupakan bekas seorang guru itu membesarkan Rohana dengan mengekalkan penerapan budaya Melayu dan agama Islam.
Apa yang menarik perhatian disebalik kisah tersebut, Hoi Lan yang mesra dipanggil Loishe oleh Rohana walaupun berasa sangat gembira apabila anak angkatnya yang dijaga sejak berusia dua bulan itu berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading, namun ia seakan terlalu perit untuk berhadapan dengan saat perpisahan.
Melalui kisah ini, penulis berharap kita semua akan dapat mengutip suatu ilmu baharu dan menjadikan ia sebagai tauladan berhubung soal perpaduan dan kasih sayang sesama insan.
Banyak panduan dan pedoman yang perlu direnungi bersama oleh setiap lapisan masyarakat kita terutama dari segi kasih sayang serta tanggungjawab dalam membesar dan mendidik anak-anak.
Sebelum ini, penulis pernah mendengar ada segelitir dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam yang kurang mempedulikan elemen seperti ini ke atas anak-anak kandung mereka sendiri.
Mereka bukan sahaja kurang memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak, tetapi juga lalai dalam memberikan pendidikan termasuk melibatkan ilmu agama.
Akhirnya anak-anak membesar dalam keadaan yang tidak menentu serta hala tuju kurang jelas.
Akibatnya, ada yang menjadi mat rempit, penagihan dadah serta terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah lain.
Namun, penulis cukup kagum dengan Hoi Lan kerana selain kasih sayang antara dua insan, tetapi tanggungjawabnya sewaktu membesarkan Rohana mengikut acuan budaya Melayu?
Sebagai seorang berketurunan Cina, kenapa Hoi Lan tidak menerapkan sahaja acuan budayanya dalam kehidupan Rohana atau dengan bahasa mudah menukar sahaja agama anak angkatnya itu?
Ini kerana ketika itu Rohana belum mengerti dan tidak tahu apa-apa tentang sebuah kehidupan.
Disinilah, penulis dan kita semua dapat menilai betapa jujurnya Hoi Lan dalam menjaga amanah dan tanggunggjawanya sepanjang memelihara, mendidik serta membesarkan anak angkatnya itu.
Kasih sayang dan hubungan erat Hoi Lan juga semakin terserlah apabila sebelum berpisah dia turut berpesan supaya anak angkatnya sentiasa menghidupkan telefon untuk memudahkan bertanya khabar.
Rohana merupakan antara 660 pelajar diploma daripada lima kursus ditawarkan UTeM yang mula berdaftar di Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UTeM, Melaka pada minggu lalu.
Sebelum ini, kisah gadis berkenaan tular di media sosial susulan dia telah dibesarkan oleh ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia.
Bagaimanapun, sebelum ini Rohana gagal menyambung pelajaran ke universiti kerana tidak memiliki kad pengenalan diri.
Akhirnya kesukaran
dialami dua beranak itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu kehidupan dua beranak ini turut menarik perhatian Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyifatkan hubungan yang begitu mesra antara ibu dengan anak angkat berbeza agama dan keturunan memaparkan suatu situasi unik dan amat bermakna untuk dijadikan bahan renungan semua pihak sebagai menghayati semangat keluarga Malaysia.
Selain itu, kata Wan Salim, ia membuktikan bahawa perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan yang baik dan mesra antara sesama manusia.
Beliau yang juga sangat tersentuh ketika membaca berita dan melihat gambar pelajar tersebut
mengesat air mata kerana terpaksa berpisah dengan ibu angkatnya.
Sehubungan itu, beliau berharap
hubungan yang begitu mesra antara ibu dengan anak angkat berbeza agama ini wajar diteladani oleh setiap lapisan masyarakat.
Penulis turut mengharapkan agar kisah dua beranak ini akan dapat dijadikan tauladan dan pedoman ke arah mengeratkan lagi perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Bagi ibu bapa pula, terapkanlah kasih sayang terhadap anak-anak dengan membimbing serta mendidik mereka sehingga menjadi golongan yang baik, berhemah dan berpendidikan.