
Tok Chey berasa amat geram apabila membaca pendedahan mengenai skandal LCS, iaitu projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai TLDM yang menjadi topik hangat diperkatakan ketika ini.
Bagaimana secara melampaunya wang rakyat berjumlah RM6 bilion ‘dicuri’ oleh penyangak ini berselindung di sebalik tatacara perolehan aset pertahanan negara.
Bagi Tok Chey, penyangak ini sememangnya layak digelar sebagai pengkhianat negara kerana bukan sahaja ‘melesapkan’ wang rakyat tetapi menyebabkan kawalan keselamatan negara terancam.
Kapal tempur yang sepatutnya menjadi perisai kepada keselamatan negara tidak ada kerana belum disiapkan oleh syarikat yang diberi tanggungjawab melaksanakan pembinaan berkenaan.
Seperti yang didedahkan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, 10 surat teguran telah dihantar kepada pihak atasan sejak tahun 2011 tapi tidak diendahkan. Perdana Menteri pada waktu itu ialah Najib Razak dan Menteri Pertahanan pula Zahid Hamidi.
Surat-surat itu telah dihantar kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri.
Kata Abdul Aziz dari awal lagi beliau sudah menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan beliau menegur tatacara perolehan aset pertahanan itu.
Abdul Aziz juga menyifatkan syarikat yang membina kapal itu terlalu angkuh dan mereka sangat dilindungi.
Bagi Tok Chey, tidak perlu siasatan kompleks pun sudah dapat menelah bahawa banyak berlaku penyelewengan dan kepincangan dalam projek pembinaan kapal LCS itu.
Pertamanya bagaimana projek yang menelan belanja RM9 bilion boleh dibuat secara runding terus dan yang paling ketara ‘sesuatu yang tidak kena’ dalam projek itu ialah walaupun kapal belum disiapkan, RM6 bilion sudah diserahkan kepada syarikat terbabit lebih awal daripada jadual pembayaran.
Bahkan yang paling menimbulkan persoalan bagaimana syarikat yang menyiapkan kapal itu boleh menentukan jenis kapal yang hendak dibina ‘overrule’ pihak ‘end user’ iaitu TLDM yang akan menggunakan kapal tersebut untuk keperluan mereka.
Reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah berubah bentuk kepada kapal jenis GOWIND pada 2011 atas cadangan syarikat pembina kapal berkenaan di mana tidak cukup besar untuk kegunaan yang menjadi matlamat TLDM.
Satu lagi tanda tanya yang timbul ialah, dengan segala pendedahan yang lengkap dan laporan SPRM yang telah dibuat pada tahun lalu, apa status siasatan SPRM terhadap kes ini? Adakah SPRM tidak nampak kepincangan yang berlaku?
Sungguh menghairankan masih tiada sebarang pendakwaan dilakukan sedangkan banyak bukti terpampang depan mata.
Oleh itu, Tok Chey amat mengharapkan supaya semua wakil rakyat yang benar-benar ‘genuine’ perjuangkan isu rakyat agar terus mendesak pengkhianat negara dalam skandal LCS ini didakwa dengan segera.
Gunakan segala saluran yang ada bagi memastikan pesalah-pesalah terlibat bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan mereka.
Mereka yang terlibat hingga menyebabkan wang RM6 bilion itu dibayar tanpa menerima kapal perlu mengembalikan semula wang berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Kepincangan pengurusan kewangan terutama dalam melibatkan soal pertahanan negara tidak boleh dibiarkan berlarutan seperti ini kerana ia turut melibatkan maruah negara.
Malaysia akan dipandang rendah negara-negara luar dari sudut pertahanan negara kerana lemah disebabkan skandal yang berlaku dalam negara sendiri.
Musuh-musuh luar tidak memerlukan senjata canggih untuk menguji pertahanan negara kerana Malaysia sendiri tidak mampu menyediakan kawalan keselamatan yang ampuh untuk menjaga keselamatan tanah air dan rakyat sendiri.
*Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.