SETIAUSAHA Agung DAP  Loke Siew Fook tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan Umno kerana “segalanya mungkin dalam politik,”.

Bagaimanapun, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas pilihan raya umum seterusnya (PRU15).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Loke berkata, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti dominan tunggal. Kemungkinan kerjasama antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.

Kebelakangan ini, DAP dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH), PKR dan Amanah, telah bekerjasama dengan UMNO dan pemimpinnya dalam perkara seperti penyingkiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu) daripada jawatan menteri besar Perak dan memorandum persefahaman antara pakatan pembangkang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya tak tolak (sebarang kemungkinan) kerana apa yang penting adalah kita (semua pihak) mesti berasaskan agenda,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

“Apa yang penting bagi DAP adalah kami mahu kukuhkan PH. Kami mahu desak reformasi. Agenda utama kami ialah tadbir urus yang baik, dan kami juga mahu lihat lebih integriti dalam kerajaan, serta rasuah diperangi.”

Beliau berkata, DAP terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda sama.

Berhubung pendirian DAP mengenai calon perdana menteri, Loke berkata, parti itu teguh berdiri di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau tidak menolak keperluan untuk bertolak ansur jika tiada parti mendapat majoriti jelas selepas PRU15.

“Sudah tentu, pendirian sekarang adalah Anwar, sebagai pemimpin PH, menjadi pilihan semula jadi, tetapi saya rasa (siapa calon PM) sangat bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang.

“Jika PH boleh menang dengan majoriti jelas, maka sudah tentu beliau (Anwar) akan jadi PM,” katanya.

Bulan lepas, Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad “menutup pintu” bagi perbincangan dengan PH dan Perikatan Nasional, memetik ketidakupayaan untuk bekerjasama dengan pemimpin masing-masing, Anwar dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila ditanya sama ada perbicaraan Pengerusi DAP Lim Guan Eng atas tuduhan rasuah akan menjejaskan peluang parti itu pada PRU15, Loke berkata, beliau tidak percaya itu akan berlaku.

“Kami tak rasa kes itu akan merosakkan imej parti,” katanya.

Loke berkata, parti percaya pada Lim dan yakin dengan integritinya.

Tambahnya, beliau percaya kes terhadap Lim ialah satu konspirasi politik untuk menamatkan kerjayanya.

“Jadi kami mempertahankan beliau, dan peguam parti sedang berusaha habis-habisan untuk membelanya di mahkamah. Biarlah proses mahkamah berjalan,” katanya.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini untuk meminta 10% bahagian daripada keuntungan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada seorang ahli perniagaan.

Beliau turut berdepan dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here