Oleh RIZQI ZABIDI

POLIS kini giat memburu individu yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih, yang meloloskan diri daripada diperiksa di Kuah, Langkawi, malam tadi.

Menerusi klip video yang tular di media sosial, kereta tersebut dipandu laju dalam keadaan berbahaya termasuk melalui lorong-lorong kecil di sekitar destinasi pelancongan popular itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kenderaan tersebut kira-kira pukul 8 malam tadi.

“Anggota polis terlibat mengarahkan pemandu Honda Civic tersebut memberhentikan kenderaan namun arahan tersebut tidak diendahkan.

“Pemandu kereta itu sebaliknya memecut laju menghala ke Kampung Padang Lalang di Kuah sebelum membuat pusingan di sekitar Kuah bagi meloloskan diri.

“Kereta itu kemudiannya ditemukan di hadapan sebuah sekolah di Kisap dan pihak polis kini giat mengesan pemandunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, semakan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan itu beralamat di Kulim namun dia telah menjual kereta tersebut tanpa melaksanakan proses penukaran nama.

“Pembeli kereta tersebut pula sebelum ini telah ditahan di Langkawi pada 17 Julai lalu dan sedang disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Buat masa ini kami masih mengesan pemandu kereta tersebut malam tadi. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here