Tindakan Azam Baki mempertikaikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menimbulkan banyak persoalan mengenai masa depan Malaysia dalam membasmi rasuah secara bersungguh-sungguh.

Adalah amat mengecewakan apabila seorang ketua yang dipertanggungjawabkan dalam pencegahan rasuah meragui laporan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) yang mengukur indeks rasuah yang berlaku dalam negara.

Kenyataan Azam Baki yang berkata CPI terhadap Malaysia tidak berlandaskan bukti kukuh serta persepsi semata-mata nampaknya akan memburukkan lagi skor Malaysia dalam kedudukan berbanding negara-negara lain.

Untuk rekod kedudukan Malaysia dalam CPI dunia bagi tahun 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga 57 pada tahun 2020.

Memetik laporan sebelum ini, Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 48 peratus berbanding 51 peratus pada tahun sebelumnya.

Skor dicatatkan Malaysia itu menjadikan negara ini buat pertama kali sejak 2012, dikelompokkan dalam dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 peratus.

Tok Chey lihat kenyataan Azam Baki itu turut dibidas beberapa NGO dan pemimpin lain yang tidak bersetuju dengan pendekatan untuk menafikan masalah rasuah dalam negara.

Bekas Ahli Panel Perunding SPRM, Edmund Gomez misalnya berkata, adalah amat menghairankan apabila Azam Baki berpandangan sedemikian sedangkan kriteria dan kaedah indeks itu dilaksanakan melibatkan perkara penting tentang rasuah serta penyalahgunaan kuasa di negara ini.

Begitu juga dengan Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa Untuk Kelestarian (Idris) yang menyifatkan tindakan Azam Baki itu sebagai kurang bertanggungjawab kerana meremehkan CPI.

Pengerusinya, Nizam Mahshar berkata, sepatutnya Azam Baki mengambil serius CPI dinyatakan dengan menjadikan ia sebagai ‘alarm bell’ untuk memerangi rasuah dan bukannya mengabaikan data-data yang ditonjolkan itu.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) juga membantah kenyataan Azam Baki dengan mengatakan bahawa CPI yang mengukur indeks persepsi rasuah tidak patut diperlekehkan.

Selain kenyataan beberapa NGO ini, Tok Chey senada dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menganggap Azam Baki cuba mempertahankan rekod prestasi jawatannya sedangkan CPI dan kes-kes rasuah yang berlaku menunjukkan sebaliknya.

Tok Chey juga setuju dengan Rafizi bahawa Azam Baki sebenarnya perlu meletakkan jawatan di atas kegagalan menangani kes rasuah di dalam negara ini.

Selain itu, Tok Chey mengulangi gesaan yang banyak kali disuarakan sebelum ini iaitu SPRM perlu menjadi agensi bebas dan diletakkan di bawah seliaan Parlimen dengan pelantikan jawatan seperti Azam Baki ditentukan oleh 222 ahli Parlimen.

Kita tidak mahu berlaku lagi di mana Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-7 telah melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM di mana tindakan itu menimbulkan banyak bantahan serta konflik kepentingan.

Dr Mahathir pada masa itu yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapn (PH) telah melantik Latheefa Koya yang memegang jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR – sebuah parti yang menganggotai gabungan dalam PH.

Walaupun Latheefa meletakkan jawatan setelah dilantik ke jawatan SPRM, persepsi bahawa berlaku konflik kepentingan tetap wujud kerana beliau ada orang politik.

Maka, dengan meletakkan badan siasatan itu di bawah Parlimen, SPRM akan dilihat lebih bebas untuk menyiasat kes-kes rasuah seterusnya mengelakkan situasi yang dianggap melakukan pendakwaan terpilih apabila melibatkan pemimpin politik.

Tok Chey yakin, selagi SPRM tidak diletakkan di bawah Parlimen selagi itu indeks persepsi rasuah akan terus merosot dan ia akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara dari segi keyakinan pelabur.

*Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here