Apabila kerajaan mengumumkan penarikan subsidi minyak masak dalam botol, ramai yang marah-marah kerana tindakan itu dilihat tidak sesuai dilakukan ketika ini.

Walaupun kerajaan memberi jaminan minyak masak dalam peket akan kekal tanpa penarikan subsidi, ia tidak dapat meredakan kemarahan rakyat kerana minyak masak jenis itu sukar diperoleh di pasaran.

Jadi, apabila keadaan itu berlaku, rakyat terpaksa juga membeli minyak masak dalam botol yang dijangka mengalami kenaikan bermula 1 Julai ini. Mengambil contoh purata harga minyak masak botol subsidi 5 kilogram, harga di pasaran setelah menerima subsidi ialah sebanyak RM28 sebotol.

Di pasaran juga, terdapat beberapa jenama minyak masak yang dijual tanpa subsidi dan harga yang perlu dibayar pengguna ialah RM43 hingga RM50 sebotol.

Oleh itu, ramai menjangkakan apabila kerajaan tidak lagi memberikan subsidi, harga semua minyak masak botol akan dijual sekitar RM40 hingga RM50 dan turut bergantung kepada permintaan dan penawaran. Menjadikan alasan kes penyeludupan minyak masak botol sebagai asbab penarikan subsidi adalah tidak wajar kerana jika itulah puncanya, kerajaan seharusnya meningkatkan tahap penguatkuasaan berkaitan penyeludupan.

Oleh sebab itu ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media khas penjelasan mengenai penarikan subsidi itu, kebanyakan netizen meluahkan kemarahan mereka melalui pelbagai komen negatif di media sosial.

Komen-komen beserta emoji marah boleh dilihat dengan ketara sepanjang Ismail Sabri berucap menunjukkan rakyat tidak setuju dengan keputusan tersebut.

Pengumuman Perdana Menteri menambah bantuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) daripada RM50 hingga RM100 juga tidak dapat menutup bantahan rakyat berhubung isu itu kerana bukan semua mendapat imbuhan berkenaan.

Hanya golongan B40 mendapat manfaat daripada pengumuman PM itu, sedangkan golongan M40 rata-ratanya masih tersepit kerana sering dipinggirkan dalam setiap bantuan.

Di samping itu, keputusan kerajaan yang flip-flop berkaitan harga siling ayam jelas menunjukkan kelemahan perancangan terutamanya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA).

Ini kerana pada lima hari lalu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemansuhan harga siling ayam dan harga bekalan makanan utama negara itu akan diapungkan mengikut harga pasaran.

Ia bermaksud tiada lagi penetapan harga ayam bulat standard tidak boleh melebihi RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Kata menteri pada waktu itu, ia bagi memastikan bekalan ayam dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang ia dapat menstabilkan harganya.

Setelah tindakan tersebut mendapat kecaman rakyat, selang beberapa hari kerajaan membuat u-turn dengan membatalkan keputusan itu serta mengumumkan harga ayam tidak akan diapungkan.

Keputusan itu baik untuk rakyat tetapi ia menimbulkan permasalahan kepada pihak industri yang terlibat dalam proses bekalan ayam.

Keputusan penting boleh berubah dalam masa singkat menunjukkan kerajaan tidak cermat dalam membuat keputusan penting.

Sepatutnya sebelum membuat sesuatu keputusan besar berkaitan penarikan subsidi atau pemansuhan harga siling bahan makanan, ia perlu dilakukan dengan kajian yang mendalam supaya tidak mendatangkan impak besar kepada mana-mana pihak.

Perlu kajian pelbagai sudut dan dapatkan nasihat daripada pakar yang layak dan janganlah bergantung sepenuhnya kepada penasihat ekonomi lantikan politik yang nampaknya gagal menasihatkan PM melakukan keputusan tepat.

Kerajaan juga perlu belajar daripada kesilapan ini dan tidak boleh mengulanginya pada masa depan kerana ia akan menyerlah kelemahan ketara perancangan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.

Teguran Tok Chey ini untuk kebaikan dan pihak kerajaan jangan melenting setiap kali orang lain beri pendapat. Terima dengan hati terbuka kerana ia adalah untuk kebaikan bersama.

*Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here