POLIS menahan lima sekawan termasuk seorang remaja perempuan masih bersekolah yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak tahun lepas di sekitar Lembah Klang, dalam tiga serbuan sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, semua suspek yang berusia lingkungan 14 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua buah kondominium, masing-masing di Jalan Kuching dan di Jalan Cemur, serta sebuah rumah di Petaling Jaya.

Beliau berkata, polis turut merampas 50 botol mengandungi cecair disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) berjumlah 500 mililiter (ml), 10 bungkus air ketum (7,000 ml), 54 botol dadah MDMA (3,300 ml), dan 41 botol MDMA (410 ml) dalam serbuan itu.

“Kesemua suspek direman sehingga 24 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan dadah yang diperolehi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Beh berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM210,570 dan boleh digunakan oleh 1,121 penagih. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here