ADAKAH pindaan Perlembagaan yang dilakukan oleh UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu selama enam bulan selepas PRU-15 akan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)?

Persoalan ini agak menarik diperkatakan kerana ramai juga yang tertanya-tanya apa istimewanya UMNO memandangkan parti-parti lain boleh saja mengadakan pemilihan seperti mana ditetapkan oleh undang-undang.

Perlu diingatkan UMNO memohon penangguhan tersebut bukan kerana negara masih diancam pandemik Covid-19 atau ada alasan lain yang benar-benar tidak dapat dielakkan tetapi ia semata-mata disebabkan UMNO bimbang berlaku perpecahan dalam parti jika pemilihan dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau mana-mana PRU selepas ini.

Jelas sekali, pindaan dilakukan semata-mata kerana kepentingan politik UMNO dan bukannya atas alasan lain. Kalau benar Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, penangguhan itu bukan disebabkan mahu menyelamatkan kedudukan beliau maka beliau sepatutnya membenarkan pemilihan diadakan.

Lagipun ahli-ahli UMNO pun sudah tahu siapa yang akan mereka pilih menjadi Presiden berikutan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, maknanya kalaupun ahli UMNO tidak memilih Ahmad Zahid untuk mengekalkan kuasanya, ia tidak ada masalah kepada UMNO.

Tambahan pula sama ada boleh berlaku perpecahan atau tidak, ia bergantung kepada pemimpin. Kalau pemimpin tidak mencetuskan perbalahan sebaliknya memastikan pemilihan berjalan dengan penuh harmoni dan persahabatan sudah pasti UMNO tidak perlu bersusah payah terpaksa meminda Perlembagaan kerana bimbang berlaku perpecahan menjelang PRU. Yang masalahnya kalau ada pemimpin di depan lain, bercakap lain.

Tetapi UMNO perlu faham sama ada pindaan Perlembagaan itu akan diluluskan oleh ROS atau tidak, ia adalah di bawah bidang kuasa ROS. Kalau ROS tidak meluluskannya berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada, UMNO harus terima, janganlah buat tuduhan politik bukan-bukan termasuklah mengaitkan ROS adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Setiausaha Agung Bersatu.

Janganlah cuba menanam kebencian terhadap PN dengan menuduh ada konspirasi yang menghalang ROS meluluskan permohonan UMNO.

Tak payahlah nak bentangkan apatah lagi melemparkan ‘tuduhan bodoh’ jika ROS tidak meluluskan permohonan UMNO. Undang-undang tetap undang-undang, tidak kira yang memohon itu parti dalam blok kerajaan atau yang memohon itu adalah parti yang Perdana Menteri adalah Naib Presidennya.

Oleh itu jika ROS menetapkan UMNO perlu mengadakan pemilihan sebelum 29 Disember 2022…kepemimpinan parti usah berdolak dalik…laksanakan sahaja pemilihan. Kalaulah dalam bab meminda Perlembagaan, semua ahli akar umbi dikatakan menyokong tak kanlah ahli-ahli akar umbi tidak boleh patuh jika mereka diminta melaksanakan pemilihan secara aman.

Penulis percaya majoriti ahli akar umbi UMNO tidak ada masalah jika pemilihan diadakan kerana merekapun semakin rimas kerana UMNO tak habis-habis ‘dibebani’ dengan masalah. Sudahlah banyak kes mahkamah melibatkan pemimpinnya, tak kanlah nak bergaduh dengan ROS pula.Untuk siapa?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here