SEKITAR tahun 1970an hingga 1990an dahulu, pengangkutan awam yang cukup popular dan sentiasa mendapat sambutan orang ramai ialah bas henti-henti.

Selain jimat kos kerana nilai tambangnya agak murah berbanding teksi atau kereta sewa, ada juga penumpang bas henti-henti terutamanya golongan remaja suka mengambil kesempatan untuk ‘berhimpit’.

Walaupun dalam keadaan penuh sesak sehingga ada yang terpaksa berdiri di tangga, bas henti-henti tetap menjadi pilihan ramai.

Ini kerana rata-rata kehidupan masyarakat ketika itu tidak semewah sekarang.

Kebanyakan rakyat di negeri ini hidup sebagai nelayan, petani dan buruh menyebabkan mereka tidak mampu memiliki kenderaan sendiri seperti kereta kecuali motosikal dan basikal sahaja.

Bagi masyarakat yang tinggal di kawasan hulu pula terutama berhampiran sungai, pengakutan air seperti bot dan perahu jalur sangat penting untuk mereka berhubung dengan kampung berdekatan.

Namun, untuk berurusan di pusat bandar atau pekan-pekan utama, satu-satunya pengangkutan pilihan ramai adalah bas henti-henti.

Tapi awas! Penulis sentiasa diingatkan oleh rakan-rakan ketika itu, jangan menaiki bas ke pusat bandar Kuala Terengganu pada hari Sabtu kerana ia dikatakan sebagai ‘Orang Hulu’.

Hal ini disebabkan pada setiap hari Sabtu dari pagi hingga ke petang, bukan sahaja suasana dalam bas sentiasa penuh sesak seperti ikan sardin, malah kebanyakan lokasi di pusat bandar Kuala Terengganu juga turut sesak.

Bagi remaja, mereka mendakwa hari Sabtu sebagai hari pilihan bagi Orang Hulu berkunjung dan menyerbu pusat bandar.

Dakwaan rakan-rakan penulis itu berdasarkan cara dan gaya mereka berfesyen termasuk dari segi warna pakaian dan juga ada yang menyinsing (melipat) tinggi seluar seolah-olah selepas mengharungi air atau mengelak kemuncuk.

Pada hari Sabtu, antara lokasi tumpuan orang ramai ialah di Stesen Bas, pusat membeli belah, panggung wayang,  Pasar kedai Payang, kedai Binjai, Kampung Cina dan Kampung Tanjung.

Bagi anak-anak muda pula, tumpuan utama ialah dua panggung wayang iaitu Rex dan Cathay.

Apa yang menarik di kawasan Stesen Bas kelihatan beberapa kelompok orang ramai berkerumun untuk menyaksikan gelagat si penjual ubat dan ahli silap mata yang bercerita mengenai kehebatan produk jualan masing-masing.

Begitulah betapa meriahnya pusat bandar Kuala Terengganu suatu ketika dahulu.

Urusan harian setiap lapisan masyarakat ke pusat bandar menghubungkan pekan dan daerah menjadikan perniagaan dalam bidang pengangkutan awam berkembang maju.

Ketika itu terdapat empat syarikat pengusaha bas henti-henti yang ada iaitu Onimbus Company bus, HD Kenderaan, Syarikat Pengusaha Pengangkutan Melayu Berhad (SPPMB) dan Wan Sembok.

Antara laluan paling banyak perjalanan bas ialah Marang-Kuala Terengganu (setiap 30 minit), diikuti Dungun – Kuala Terengganu, Kuala Berang – Kuala Terengganu dan Jertih -Kuala Terengganu (setiap satu jam).

Sebenarnya, penulis sudah lama tidak menaiki bas henti-henti menghubungkan Marang-Kuala Terengganu, iaitu sejak tahun 1988.

Bagaimanapun, pada hari Sabtu petang semalam, penulis tergerak hati untuk menjadi ‘Orang Hulu’.

Sewaktu berjalan ke arah Hentian Bas Marang, tiba-tiba terpandang sebuah bas (My bus) yang enjinnya masih hidup untuk ke pusat bandaraya.

Lalu penulis menaiki bas tersebut dan bertanya kepada pemandunya berapa tambang ke Kuala Terengganu dan pukul berapa pula perjalanan terakhir ke Marang.

Selepas pemandu bas berkenaan memberitahu harga tambang RM2.60, perjalanan setiap 1 jam dan pukul 7 malam yang terakhir penulis terus menaiki bas itu.

Hanya terdapat empat penumpang sahaja menaiki bas di Hentian Bas Marang dan dua orang pula naik di Kampung Kijing. Bas itu melalui kawasan asrama Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) kampus Chendering dan Taman Permint Jaya dengan masa pejalanan sekitar 35 minit.

Tiba di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), penulis meninjau di sekitar kawasan berhampiran, kelihatan agak lengang tidak seperti dahulu.

Tiada lagi kah ‘Orang Hulu’ ke pusat bandar pada hari Sabtu?

Selepas menikmati nasi ayam di sebuah gerai makan di situ, penulis terus mencari My Bus untuk pulang ke Marang dan kali ini penumpangnya ada 16 orang termasuk empat orang penghuni asrama UiTM kampus Chendering.

Seorang penumpang bas tersebut, Azimah Ismail memberitahu, dia jarang menaiki bas henti-henti ke Kuala Terengganu.

Dia menaiki bas pada hari itu bagi memenuhi permintaan anaknya yang terlalu teruja untuk merasai keseronokan menaiki pengangkutan awam tersebut.

“Bila difikirkan bagus juga menaiki bas ke pusat bandar kerana selain tambangnya murah, ia boleh mengelak kesesakan,  tidak perlu bersusah payah mencari tempat parkir kereta,” ceritanya kepada penulis.

Memandangkan penumpang bas henti-henti semakin berkurangan ekoran masyarakat sekarang sudah ramai memiliki kenderaan sendiri, apakah nasib bakal di alami oleh pengusaha bas di negeri ini pada masa akan datang?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here