Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

UMNO tidak mendapat persetujuan dan mengenepikan parti lain yang berkongsi kuasa dalam kerajaan negeri semasa membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Solihan Badri berkata, keputusan itu bagi membolehkan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak pernah dibincangkan dan hanya melibatkan persetujan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Tiada persetujuan daripada Bersatu atau Pas untuk pembubaran DUN. Saya tidak pasti sama ada perlu dapat persetujuan parti (yang membentuk kerajaan) atau tidak, tapi memang tiada minta pandangan kami, sama ada daripada Bersatu atau Pas.

“Pembubaran ini adalah kehendak UMNO. Prosesnya
Menteri Besar Johor rasa kehilangan (majoriti) dan rasa pentadbiran tidak stabil, jadi atas nasihat, Sultan Johor bersetuju dan ini akan dimaklumkan kepada Speaker dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, Kulai, hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di Istana Bukit Serene, Johor Bahru semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam sidang akhbar semalam memberitahu, SPR akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengulas lanjut, Mohd. Solihan berkata, semasa mesyuarat Exco Negeri Johor yang diadakan pada Sabtu sebelum Menteri Besar Johor itu menghadap Sultan Johor, Hasni juga tidak meminta pandangan Exco berkenaan pembubaran DUN Johor.

“Menerusi mesyuarat Exco semalam yang berlangsung selama kira-kira 20 minit, wajah Datuk Hasni dilihat ‘tak happy’ mungkin disebabkan ‘under pressure’,” katanya.

Berkenaan pembahagian kerusi DUN antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Johor untuk PRN, beliau berkata, secara tidak rasmi proses tersebut sudah dilakukan dengan Pas sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan sedikit masa lagi bersama-sama komponen PN untuk mendapat persetujuan.

Mengenai persediaan Bersatu Johor dalam memghadapi PRN, beliau berkata, parti sedia menyahut cabaran dan yakin mampu menubuhkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) jika menang PRN akan datang.

“Kami sudah sedia, jentera Bersatu di kesemua 26 bahagian telah ditubuhkan sejak tahun lepas, kita dah lantik pengerusi jawatankuasa setiap biro bahagian, peringkat parlimen, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), ‘so’ kita gerak bila-bila masa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here