Oleh RIZQI ZABIDI
Penderitaan seorang wanita yang menanggung sakit sejak dua bulan lalu tanpa mahu mendapatkan rawatan berakhir apabila dia ditemukan maut dalam bilik di sebuah rumah di Lorong Angsana, Taman Keladi Sungai Petani, hari ini.
Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, mangsa pada mulanya dilihat bapa saudara tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang di bilik sebelum lelaki itu memberitahu anak dan jiran yang kemudian menghubungi ambulans.
Kakitangan perubatan yang tiba melakukan pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berusia 45 tahun itu masih bujang dan tinggal bersama bapa saudara dan ahli keluarga lain di rumah terbabit.
Menurutnya, hasil keterangan daripada bapa saudaranya yang bekerja sebagai pemandu lori mendapati mangsa pernah mengadu mengalami sakit dalam perut sejak dua bulan lalu.
“Wanita berkenaan juga kerap muntah dan dia pernah dipujuk untuk mendapatkan rawatan namun enggan bertemu doktor.
“Akhirnya, wanita berkenaan yang menahan sakit sejak dua bulan lalu selain turut menghidap darah tinggi, kencing manis dan masalah mental meninggal dunia dalam bilik terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Anuar berkata, lokasi terbabit sudah disanitasi dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Shah untuk bedah siasat.
Tiada sebarang unsur jenayah dikesan ketika pemeriksaan di lokasi serta tubuh mangsa dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Leave a Reply