Tag: maut

  • Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    SEORANG wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kematian anak lelakinya yang berusia tiga tahun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berusia 24 tahun dan lelaki berusia 25 tahun itu, ditahan pada 8 malam tadi di Hospital Melaka.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa oleh wanita berkenaan dan teman lelakinya ke hospital tersebut kira-kira 6.50 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Sebaik tiba di hospital, kanak-kanak itu diberikan bantuan pernafasan selama satu jam 10 minit, namun mangsa tidak memberi sebarang respons sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 10.30 pagi dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala serta badan mangsa. Punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, ibu mangsa telah membawa kanak-kanak berkenaan yang mengalami muntah-muntah untuk berubat di rumah teman lelakinya di Cheng, di sini kira-kira 5.30 pagi semalam.

    Katanya, bagaimanapun tidak sampai satu jam kemudian, ibu mangsa telah dihubungi teman lelakinya memaklumkan kanak-kanak tersebut telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum pasangan itu membawa mangsa ke Hospital Melaka.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Christopher turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar supaya tidak mengganggu siasatan selain dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

  • Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    TIGA termasuk seorang warga emas maut apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di KM26 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Lui Barat, Jempol.

    Dalam kejadian kira-kira 1.57 tengah hari tadi, mangsa maut adalah Sallehuddin Nong, 63, selain dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59.

    Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu berlaku selepas Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan Honda CRV, dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.

    “Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    SEORANG pelajar tahfiz maut, manakala 11 lagi cedera apabila van dinaiki mereka terbabas memasuki parit dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu pada 11.32 pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, van jenis Ssangyong yang dinaiki pelajar tahfiz tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.

    Mangsa, Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia yang tinggal di Kampung Tapang, di sini mengetahui berita kemalangan itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

    “Saya sampai di tempat kejadian 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

    Wan Nor Azilah berkata sepatutnya dia akan menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.

    Katanya anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan yang lain ketika menelefonnya malam tadi.

    “Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

    Wan Nor Azilah berkata jenazah Wan Ahmad akan dibawa pulang petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Alam Nasut Ilias berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.

    Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Pemandu lori buah maut elak tayar atas lebuh raya

    Pemandu lori buah maut elak tayar atas lebuh raya

    SEORANG pemandu lori buah maut selepas kenderaan dipandu terbabas dan terbalik melanggar besi pembahagi jalan setelah dia cuba mengelak tayar yang berada atas lebuh raya, awal pagi ini.

    Dalam kejadian di kilometer 68.3 Lebuhraya PLUS, pukul 2.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa Muhammad Saifuddin Md Lazan, 35, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan, selepas tercampak keluar dari kenderaannya dan jatuh ke bawah jambatan.

    Menurutnya, kemalangan turut membabitkan seorang pemandu treler membawa muatan simen berusia 68 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 26 tahun. Bagaimanapun keduanya tidak cedera.

    “Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori buah terjatuh ke dalam longkang pembahagi jalan dan cedera parah di kepala serta di badan.

    “Seorang pemandu treler yang membawa muatan simen dan pemandu Honda Civic yang berada di belakang lori mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lori muatan buah-buahan itu yang terbalik atas jalan.

    “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori simen dan Honda Civic tidak mengalami kecederaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Mengulas lanjut Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Ketiga-tiga kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

    Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori lima tan jenis Isuzu tercampak keluar ke bawah jambatan. Mangsa lain dalam keadaan selamat dan pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak membawa mangsa naik menggunakan pengusung,” katanya.

  • Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

    Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

    SEORANG anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mayat anggota dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu dijumpai pukul 10.15 pagi tadi.

    “Ya sudah jumpa (mangsa). Saya akan dapatkan laporan penuh dan muktamadkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dahulu dan siaran media mengenainya akan saya keluarkan, terima kasih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun polis belum mendedahkan identiti mangsa ketika tular dalam media sosial Facebook berita berkaitan kehilangan anggota berkenaan dikenali sebagai Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib.

    Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

    Kelmarin, media melaporkan mengenai kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu.

    Kehilangan mangsa yang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu itu dilaporkan kepada polis pada pukul 12.50 tengah malam Ahad lalu.

    Usaha mencari dan menyrlamst (SAR) mangsa dijalankan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada hari yang sama mangsa hilang (7 April).

  • Wanita OKU maut rumah terbakar

    Wanita OKU maut rumah terbakar

    SEORANG wanita golongan orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 5 petang tadi.

    Ketika kejadian, mangsa, Nuraida Hashim, 43, yang mengalami masalah ketidakupayaan mental dikatakan berada di atas katil di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat ketika kejadian, namun pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu yang melibatkan sebuah rumah dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 40 peratus.

    “Seramai 15 anggota termasuk penyelia dengan diketuai oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terlibat dalam misi memadam kebakaran itu.

    “Turut memberi bantuan ialah jentera dari BBP Bandar Perda serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu dari Kota Permai, Cross Street dan Juru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 6.26 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan di kawasan yang terbakar dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.48 malam,” ujarnya.

  • Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    SEORANG penoreh getah maut setelah dibelit seekor ular sawa sepanjang enam meter dalam kejadian di sebuah kebun getah dekat Desa Sukajaya, Bayung Lencir, Sumatera Selatan di Indonesia Jumaat lalu.

    Memetik laporan Tribun News, mangsa yang dikenali sebagai Sangadah, 50, sempat menjerit meminta pertolongan ketika kakinya dibelit reptilia berkenaan.

    Rakan mangsa yang mendengar jeritan Sangadah bagaimanapun tidak berani menghulurkan pertolongan.

    Difahamkan, rakan mangsa pergi meminta bantuan penduduk kampung dan setibanya di lokasi kembali, Sangadah dilihat tidak bermaya kerana ular sawa tersebut telah membelit badannya sehingga paras dada.

    Penduduk kampung kemudian bertindak membunuh ular sawa tersebut.

    Namun Sangadah telah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

    Seorang anak mangsa, Ma’ruf Tamami berkata, ibunya pergi ke kebun getah untuk menoreh seorang diri pada pukul 6 pagi.

    “Seorang saksi melihat kaki ibu dibelit, dia yang panik segera memanggil penduduk untuk membunuh ular sawa itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Kampung Sukajaya, Sunarto berkata, ketika ditemui, ular tersebut masih hidup dan segera dibunuh bagi menyelamatkan mangsa.

    “Selama ini mangsa sering menoreh getah sendirian di kebun dan tidak pernah berlaku kes manusia diserang ular di kawasan ini,” tambahnya.

    Menurut Mukim Bayung Lencir, M Imron berkata, kes ini merupakan kejadian pertama penduduk mati dibelit ular.

  • 2 maut Proton Wira terjunam dalam sungai

    2 maut Proton Wira terjunam dalam sungai

    DUA lelaki maut selepas Proton Wira dinaiki mereka melanggar papan tanda lalu terjunam ke anak sungai sedalam kira-kira satu meter di Kilometer 6, Jalan Parit Botak, Ayer Hitam, Batu Pahat, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa iaitu pemandu berusia 21 tahun dan penumpang berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Parit Tengah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati PROTON Wira dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terlanggar papan tanda jalan dan terjunam ke Sungai Parit Kuari.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang yang juga warga tempatan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba Ayer Hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Kita memohon mana-mana saksi awam yang melihat kemalangan itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Salmiah Mohamed di talian 074327704,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shamin Mohamed Salikin, berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dihantar ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sehingga selesai.

    “Selepas dibuat pengesahan oleh pembantu pegawai perubatan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.53 pagi tadi,” katanya, lapor BH Online.

  • Tragedi ikan buntal, suami juga maut akibat makan ikan sama

    Tragedi ikan buntal, suami juga maut akibat makan ikan sama

    WARGA emas yang makan hidangan ikan buntal bersama isterinya bulan lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini, menjadikan dua mangsa maut akibat memakan ikan sama.

    Mangsa, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, yang sebelum ini koma meninggal dunia selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), sejak 25 Mac lalu, lapor Berita Harian.

    Pada 29 Mac lalu, isterinya, Lim Siew Guan, 83, dilaporkan maut, manakala Kuai Sin dimasukkan ke ICU HEBHK selepas makan hidangan ikan buntal.

    Ikan buntal iaitu sejenis ikan yang disebut ‘ikan fugu’ tergolong dalam satu daripada jenis racun semula jadi yang paling bahaya dan mematikan di dunia, dibeli menerusi laman Facebook daripada pembekal di Batu Pahat yang mendapatkan bekalan dari nelayan di Endau.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata isteri mangsa yang mengalami gejala sesak nafas dan menggigil, pada pukul 5 petang 25 Mac lalu, kemudian disahkan maut dua jam kemudian.

    Kuai Sin turut dilaporkan mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan.

    Difahamkan itu kali pertama pasangan warga emas berkenaan makan masakan berasaskan ikan buntal.

    Racun yang dikenali sebagai Tetrodotoksin yang ada dalam ikan buntal adalah racun yang boleh menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut.

  • Duda maut jatuh tingkat 9 PPR

    Duda maut jatuh tingkat 9 PPR

    SEORANG duda ditemui maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat sembilan Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di Melaka, petang semalam.

    Mangsa berusia 45 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di bumbung tingkat dua Blok D PPR berkenaan dalam kejadian pukul 5.50 petang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Balai Polis Tanjung Minyak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 5.55 petang.

    “Siasatan awal mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan berikutan dia tinggal seorang diri di sebuah unit kediaman di tingkat sama.

    “Mangsa cedera pada tangan kanan dan muka. Siasatan di tempat kejadian oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jamian Saleh, berkata seramai enam anggota bomba terbabit operasi mengangkat dan menurunkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.