MAJLIS Pemulihah Negara (MPN) menyifatkan langkah kerajaan yang sedang menimbang untuk membuka sempadan negara secara selamat kepada pelawat negara tertentu yang lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin sebagai  satu perkembangan positif.

Sehubungan itu Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap proses pembukaan sempadan tersebut dapat dilaksanakan segera dan selamat kerana ia merupakan aspek penting dalam usaha pemulihan negara.

‘’Pembukaan sempadan negara pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan (business travellers) dan pelawat sosial untuk datang ke negara kita,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.

Muhyiddin berkata, mesyuarat telah memberikan fokus kepada dua kumpulan yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 iaitu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta golongan rentan.

Dalam hubungan ini, kata beliau yang juga bekas Perdana Menteri, MPN telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan terutama berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan.

Mengambilkira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS di bawah pelbagai Kementerian dan Agensi, Majlis berpandangan bahawa satu analisis yang lebih terperinci perlu dibuat untuk memastikan industri-industri yang terkesan.

‘’Ia berdasarkan statistik-statistik terkini  dikenalpasti bagi memastikan penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang lebih berfokus dapat dilaksanakan segera,’’ katanya.

Beliau berkata, MPN bersetuju supaya sebuah Pasukan Petugas Khas dibentuk melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan untuk memperhalusi perkara-perkara berkenaan isu pembiayaan, tenaga kerja dan lain-lain keperluan PKS.

‘’Pasukan Petugas Khas ini akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada Majlis untuk pertimbangan.

‘’Majlis juga bersetuju supaya agihan bantuan makan kepada golongan rentan perlu lebih berpendekatan Seluruh Negara. Peranan NGO dalam hubungan ini perlu diperkasa dengan bantuan dan kerjasama semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan,’’ katanya.

Muhyiddin memaklumkan, mesyuarat dimulakan dengan mendapatkan taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini indikator-indikator Covid-19.

‘’Secara keseluruhannya saya berpuashati dengan perkembangan yang dicapai, khususnya dari segi penurunan kes-kes positif harian, penurunan ketara penggunaan katil-katil wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang telah mencapai 95 peratus pada masa ini,’’ katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti-parti pembangkang yang menghantar wakil masing-masing sebagai ahli MPN.

‘’Saya yakin dan percaya bahawa dengan penyertaan mereka, pasukan MPN yang lebih inklusif ini akan dapat memberikan sumbangan yang lebih holistik dalam merangka strategi dan usaha memulihkan segenap aspek kehidupan rakyat serta perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,’’ katanya.

Wakil-wakil daripada  parti  pembangkang itu ialah Ahli Parlimen Subang mewakili PKR, Wong Chen, Ahli Parlimen Stampin mewakili DAP,  Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Kuala Selangor mewakili Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, serta Tan Sri Bernard Giluk Dompok mewakili Parti United Progessive Kinabalu Organization (UPKO). 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here