POLIS menafikan kenyataan mengelirukan pemilik akaun instagram ‘Vieshantiekhan’ yang mendakwa tidak perlu surat rentas negeri dari Selangor ke Janda Baik, Bentong, Pahang.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu yang tular di media sosial melibatkan wanita tempatan berusia 35 tahun itu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 yang boleh dikompaun RM5,000, jika disabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
“Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penyalahgunaan permit rentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung kenyataan Vieshantiekhan menerusi laman instagram yang memaparkan gambarnya sedang beriadah di Rimba Valley, Janda Baik dengan status: “Tidak perlu surat sebab di Plaza Tol Gombak masih lagi sempadan Selangor, yang nak lintas negeri tetap kena ada surat ya”. – BERNAMA
Leave a Reply