Tag: Pahang

  • Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, di Kuantan hari ini dengan kesan gigitan serangga.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi itu oleh orang awam pada 12.10 tengah hari tadi.

    Beliau berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang memaklumkan terdengar tangisan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum bertindak mencari suara berkenaan.

    “Wanita itu kemudiannya telah menjumpai bayi lelaki yang ditinggalkan lebih kurang 10 meter dari jarak rumah iaitu berhampiran tepi pagar kilang tersebut dan bayi itu diletakkan di atas kayu selain menyatakan bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan badannya dihinggap kerengga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata wanita itu telah meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut sebelum bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

    “Doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum ditemukan dan keadaannya kini stabil serta masih menerima rawatan di wad kanak-kanak HTAA,” katanya dan menambah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuantan sudah dimaklumkan berhubung penemuan bayi itu.

    Sementara itu, beliau berkata siasatan mendapati suspek berkemungkinan telah melahirkan anaknya di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu di tempat kejadian pada awal pagi tadi.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Mangsa banjir di Johor meningkat malam ini, Melaka dan Pahang berkurangan

    Mangsa banjir di Johor meningkat malam ini, Melaka dan Pahang berkurangan

    JUMLAH mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan malam ini manakala situasi di Melaka dan Pahang yang menunjukkan pengurangan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Meskipun hanya tinggal tujuh daerah sahaja di JOHOR yang terjejas banjir, namun jumlah mangsa meningkat kepada 42,851 orang setakat 8 malam ini berbanding 41,543 pada 2 petang tadi.

    Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang kepada 186 berbanding 198 pada 2 petang.

    JPBN memaklumkan situasi banjir di beberapa daerah semakin pulih, namun Batu Pahat terus terjejas dengan 32,312 mangsa diikuti Muar dengan 4,151 orang dan Tangkak 2,499 orang.

    Sebanyak 10 sungai masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada di paras 20.03 meter (m); Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) di paras 9.44m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Segamat) di paras 5.14m.

    Bagaimanapun, cuaca untuk tujuh daerah diramalkan cerah manakala daerah Mersing, Kota Tinggi dan Kulai dijangka hujan malam ini.

    Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin mulai berkurangan kepada 557 orang daripada 149 keluarga pada 8 malam ini berbanding 598 orang daripada 159 keluarga pada 2 petang tadi.

    Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah membabitkan 193 orang daripada 51 keluarga.

    “Sebanyak 142 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 61 mangsa daripada 15 keluarga di SK Seri Mendapat, 99 mangsa daripada 25 keluarga di SK Sungai Rambai dan 62 mangsa daripada 24 keluarga pula berada di SK Parit Gantong,” menurut kenyataan itu.

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin menurun kepada 2,248 orang yang ditempatkan di 15 PPS berbanding 2,255 orang petang tadi.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin kekal melebihi paras bahaya malam ini. – BERNAMA

  • Mangsa banjir lepasi 50,000 orang di lima negeri

    Mangsa banjir lepasi 50,000 orang di lima negeri

    JUMLAH mangsa banjir berada pada angka 50,791 orang setakat jam 2 petang ini melibatkan lima negeri dengan jumlah terus meningkat dan paling ramai adalah di Johor.

    Johor merekodkan 46,742 orang diikuti Pahang (3,042), Melaka (516), Negeri Sembilan (478) dan Selangor (13).

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 264 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

    Menurut JPBN, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 15,915 mangsa daripada 4,616, keluarga diikuti Segamat (13,319 orang/3,895 keluarga); Kluang (5,270 orang/,525 keluarga); Muar (4,103 orang/1,214 keluarga) dan Kota Tinggi 3,249 orang daripada 865 keluarga.

    Tangkak menempatkan 3,007 mangsa melibatkan 870 keluarga di PPS; Mersing (975/292 keluarga); Johor Bahru (511/174 keluarga); Pontian (330 orang/86 keluarga) serta Kulai dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,042 orang di 22 PPS tengah hari tadi, berbanding 2,978 orang di 23 PPS, pagi tadi.

    Sekretariat JPBN melaporkan walaupun banjir di Bera pulih sepenuhnya selepas 29 mangsa terakhir dibenarkan pulang ke kediaman mereka pagi tadi, namun pertambahan mangsa direkodkan di Rompin yang merupakan daerah paling teruk terkesan bencana itu.

    Setakat ini, 2,717 orang masih berada di 20 PPS sekitar Rompin manakala 296 orang pula ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh dan 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa meningkat kepada 516 orang daripada 138 keluarga berbanding 493 orang daripada 134 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam satu kenyataan, menyebut satu lagi PPS baharu dibuka di Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai pada jam 11 pagi tadi, menjadikan keseluruhan lima PPS di daerah itu yang menempatkan 507 orang daripada 135 keluarga, manakala satu PPS di Alor Gajah menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam, berkata jumlah mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan kepada 478 individu membabitkan 123 keluarga di dua PPS di Tampin setakat tengah hari tadi.

    Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir di negeri itu juga mencatatkan penurunan kepada 13 orang daripada dua keluarga yang ditempatkan di SK Merbau Sempak, Sungai Buloh berbanding 71 orang daripada 17 keluarga, pagi tadi. – BERNAMA

  • Mangsa banjir di empat negeri terus meningkat, lebih 31,000 dipindahkan

    Mangsa banjir di empat negeri terus meningkat, lebih 31,000 dipindahkan

    JUMLAH mangsa banjir di empat negeri terus meningkat malam ini dengan 31,375 orang ditempatkan di 241 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 29,091 mangsa petang tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 28,486 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 26,633 orang petang tadi dengan sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 198 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, Segamat masih teruk terjejas dengan 2,933 keluarga dipindahkan ke 70 PPS, diikuti Kluang (1,485 keluarga/37 PPS); Kota Tinggi (761 keluarga/18 PPS); Johor Bahru (366 keluarga/tujuh PPS) dan Pontian (65 keluarga/empat PPS).

    Turut terjejas daerah Muar dengan 650 keluarga ditempatkan di 13 PPS; Kulai (167 keluarga/tiga PPS); Mersing (177 keluarga/ enam PPS) dan Tangkak (335 keluarga/ 18 PPS) serta Batu Pahat (1,018 keluarga/22 PPS), menurut jawatankuasa itu.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat malam ini dengan 1,769 mangsa berada di 27 PPS berbanding 1,373 mangsa di 25 PPS, tengah hari tadi.

    Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka petang ini bagi menempatkan 29 mangsa manakala Rompin terus merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,068 orang di 13 PPS diikuti Maran dengan 402 orang di lima PPS.

    Seramai 106 mangsa lagi berada di dua PPS di Pekan, Jerantut (96 mangsa/1 PPS) dan Raub (68 mangsa/ lima PPS).

    Di NEGERI SEMBILAN, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 1,042 mangsa daripada 290 keluarga ditempatkan di 12 PPS setakat jam8 malam ini membabitkan Tampin dan Jempol manakala dua PPS di Kuala Pilah telah ditutup pada jam 4 petang tadi.

    Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, dalam kenyataan, turut memaklumkan tiga laluan ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air iaitu di Jalan Londah-Pasir Besar (jalan ladang), Jalan Gemas-Seremban (Jambatan Sungai Kelamah) dan Felda Jelai 2-Pasir Besar (laluan utama).

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 78 mangsa daripada 20 keluarga pada jam 8 malam ini berbanding 49 mangsa daripada 15 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

    Sekretariat JBPN Melaka, dalam kenyataan, memaklumkan satu lagi PPS di Jasin dibuka pada jam 1 tengah hari membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang menempatkan 30 mangsa daripada lima keluarga.

    “Selain itu, PPS SK Chohong menempatkan 36 mangsa dari sembilan keluarga juga di Jasin manakala 12 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun di Alor Gajah.

    “PPS SK Asahan yang sebelum ini dibuka telah ditutup pada jam 2 petang tadi manakala SK Parit Penghulu baru dibuka pada jam 7.30 malam tadi dan dalam proses pemindahan mangsa,” katanya.

    Sementara itu, di SABAH, bencana banjir di negeri ini pulih malam ini dan semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    Sekretariat JPBN Sabah, dalam kenyataan, memaklumkan PPS terakhir iaitu Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod sebelum ini menempatkan 108 orang daripada 24 keluarga ditutup petang tadi. – BERNAMA

  • Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    HUJAN lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Kluang, Mersing, Kota Tinggi and Johor Bahru di Johor hingga Khamis ini (2 Mac), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 tengah hari ini.

    Hujan lebat berterusan pada paras sangat bahaya diramal menimpa Pekan dan Rompin di Pahang, serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    Di Perak, kawasan dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga esok adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; dan Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.

    Hujan turut dijangka di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu. – BERNAMA

  • Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    SEORANG penolong jurutera kanan di Majlis Perbandaran Bentong direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah iaitu sebuah kereta Mitsubishi Lancer CT9A pada 2021.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Aisyah Ahmad terhadap lelaki berumur 49 tahun itu.

    Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Raub semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Lelaki berkenaan dipercayai telah menerima kenderaan itu daripada seorang kontraktor yang telah mendapat projek di bawah seliaannya dengan membocorkan maklumat anggaran harga jabatan kepada kontraktor itu bagi pengisian borang tender.

    Terdahulu, seorang kontrator lelaki berumur 44 tahun turut direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes sama selepas ditahan di SPRM Cawangan Raub pada Isnin.

    Dalam kes berasingan, dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM5,940.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 41 dan 42 tahun.

    Mereka ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pada 23 Feb 2022, lelaki terbabit selaku ketua jabatan bersama wanita yang berkhidmat sebagai penolong operasi dipercayai berpakat memperakukan kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 dan 25 Feb 2022, sedangkan ia tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan. – BERNAMA

  • Banjir: 6 PPS dibuka di Pahang, mangsa di Johor menurun, Sabah pulih

    Banjir: 6 PPS dibuka di Pahang, mangsa di Johor menurun, Sabah pulih

    SITUASI banjir pada petang ini menyaksikan Pahang kembali terjejas manakala Johor menunjukkan perkembangan positif dan keadaan di Sabah pulih sepenuhnya. 

    Di PAHANG, hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan dinaiki air seterusnya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini. 

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan seramai 1,310 orang daripada 342 keluarga ditempatkan di PPS terlibat dengan mangsa paling ramai di PPS Dewan Dato’ Manan  iaitu 560 orang. 

    PPS lain ialah PPS Wisma Belia dengan 300 orang, PPS Dewan Orang Ramai Taman Tas (220), PPS Dewan Orang Ramai Sri Mahkota (143), PPS Dewan Orang Ramai Sri Damai (57) dan PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading (30). 

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.

    Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan Kuantan mengalami hujan lebat sepanjang hari sehingga esok.

    Pekan Sungai Lembing di sini, dilanda banjir kilat selama hampir 10 jam bermula pukul 4.30 pagi tadi ekoran air Sungai Lembing yang melimpah sehingga ke jalan utama di pekan tersebut. 

    Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa terus menurun kepada 355 orang setakat 4 petang ini, berbanding 420 orang pada 8 pagi susulan banjir termenung di daerah Batu Pahat dan Segamat.

    Menurut JPBN Johor, jumlah mangsa di Batu Pahat adalah seramai 329 orang daripada 90 keluarga yang berlindung di empat PPS manakala Segamat merekodkan 26 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS. 

    JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di tujuh daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Mersing, Pontian dan Kluang yang dijangka mendung.

    Di SABAH, semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi dengan PPS terakhir iaitu Dewan Serbaguna Selagon di Beaufort yang sebelum ini menempatkan 46 orang daripada 12 keluarga ditutup. – BERNAMA 

  • Isu peneroka haram Musang King: PN gesa Kerajaan Pahang tidak tunduk desakan

    Isu peneroka haram Musang King: PN gesa Kerajaan Pahang tidak tunduk desakan

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang menggesa kerajaan negeri tidak tunduk dengan tuntutan mana-mana pihak termasuk daripada rakan dalam Kerajaan Perpaduan berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun Musang King di Raub.

    Menurut Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar, PN Pahang mengikuti perkembangan isu berkenaan dan mahu kerajaan negeri bertegas mengenai perkara itu.

    “Baru-baru ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui secara terbuka menuntut supaya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat semula terma pajakan tanah (land leasing) ladang durian yang dianugerahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri.

    “Satu pertemuan dilaporkan akan diadakan antara Menteri Besar dan pekebun terbabit,” katanya dalam sidang media di Pejabat PN Pahang, di Kuantan, hari ini.

    Rosli berkata, perkara ini dibangkitkan semula selepas pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan Campuran Pahang sekali gus menunjukkan ada usaha pihak tertentu untuk meraih kepentingan dalam kerajaan hari ini.

    “Oleh itu, kita menggesa supaya kerajaan negeri tidak tunduk kepada desakan tersebut berikutan Mahkamah Tinggi Kuantan sudah menolak permohonan 204 pekebun untuk menetepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri, tiga tahun lalu.

    “Berdasarkan rekod, terdapat 4,400 hektar tanah yang diusahakan sebagai ladang durian di Raub adalah berstatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

    “Hal ini sudah tentu mendatangkan impak kerugian hasil tanah bernilai puluhan juta ringgit kepada negeri ini, justeru, PN Pahang menyokong supaya hasil ekonomi daripada industri durian dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri,” katanya, lapor Berita Harian.

    Rosli juga berkata, kerajaan negeri tidak perlu takut dengan gesaan dan ugutan pihak tertentu walaupun rakan dalam Kerajaan Perpaduan kerana isu pencerobohan tanah adalah tindakan yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.

    “Penceroboh perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya seperti mana yang dikenakan kepada pihak lain yang melakukan kesalahan sama.

    “Penyelesaian yang adil hendaklah diusahakan oleh kerajaan negeri dalam menangani semuaisu pencerobohan tanah mengikut lunas dan batas undang-undang.

    “Isu ini akan menjadi antara isu yang akan dibangkitkan PN dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung Mac ini,” katanya.

  • Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    JUMLAH mangsa banjir meningkat di Johor walaupun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan ditutup manakala Pahang dan Sabah menurun, petang ini.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS meningkat kepada 2,660 orang setakat jam 2 petang ini, berbanding 2,511 orang pada jam 8 pagi tadi.

    Menurut kenyataan itu hanya tinggal enam daerah yang terjejas banjir selepas satu-satunya PPS di Muar ditutup pada jam 1.15 tengah hari tadi dan dua PPS di Segamat juga ditutup, menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.

    Mersing masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 975 orang, diikuti Batu Pahat (736), Kluang (422), Kota Tinggi (420), Segamat (92) dan Tangkak (15).

    Sementara itu, Sungai Endau, Mersing masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.77 meter.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas hanya 200 orang daripada 63 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 314 orang daripada 96 keluarga, pagi tadi.

    Portal InfoBencana,Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan dua orang di Balai Raya Kampung Jawa.

    Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan dengan 1,637 orang daripada 642 keluarga di lapan PPS petang ini, berbanding 1,664 orang daripada 651 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan mangsa paling ramai di Pitas melibatkan 1,363 orang daripada 565 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan membabitkan 231 orang (66 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di sebuah PPS. 

    Kenyataan itu memaklumkan satu PPS iaitu Rumah Kampung Cocos di Paitan ditutup petang ini manakala jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka kekal, Paitan dijangka menurun, manakala di Lahad Datu dijangka meningkat hari ini. – BERNAMA

  • Hujan berterusan diramal landa Pantai Timur dan Johor sehingga Isnin

    Hujan berterusan diramal landa Pantai Timur dan Johor sehingga Isnin

    HUJAN berterusan dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula hari ini sehingga Isnin depan.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada 9 pagi ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta seluruh kawasan di Terengganu. 

    Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

    Berikutan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Peringkat (JPB) Negeri/Daerah diaktifkan serta tahap kesiapsiagaan ditingkatkan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

    JPB Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

    NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal selain boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 atau e-mel [email protected]. – BERNAMA