KEBERKESANAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Melaka mula menunjukkan kejayaan apabila peratusan pesakit membabitkan Kategori 3 hingga 5 menurun kepada 2.1 peratus, bulan lepas berbanding 17.8 peratus pada Mac.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata perubahan itu berlaku selepas 74 peratus rakyat di negeri berkenaan menerima dua dos lengkap vaksin sehingga 15 Sept lepas.

“Dapat dilihat di sini bahawa PICK sangat berkesan dalam menurunkan bilangan kes yang teruk atau tahap keterukan kes, berbanding bilangan kes yang dilaporkan.

“Dalam aspek pengurusan pandemik COVID-19, penurunan bilangan kes yang teruk iaitu kategori tiga hingga lima lebih penting berbanding penurunan bilanagn kes,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Rahmad berkata ketika program vaksinasi baharu bermula, sebanyak 17.8 pesakit dikesan bagi kategori tersebut, dan menurun kepada 8 peratus pada April, Mei (6.5 peratus), Jun (10.2 peratus), Julai (2.3 peratus) dan Ogos (2.1 peratus).

Beliau berkata penurunan itu adalah selari dengan pemberian vaksin, apabila sebanyak 2.1 peratus rakyat lengkap dua dos bagi April, 5.7 peratus (Mei), 7.1 peratus (Jun), 25.2 peratus (Julai), 58.1 peratus (Ogos) dan 58.1 peratus (sehingga 15 Sept).

Terdahulu, Md Rawi ingin mengetahui keberkesanan PICK yang dilaksanakan di negeri itu memandangkan kes positif harian yang dilaporkan di Melaka dan negara ketika ini masih tinggi.

Rahmad berkata perkembangan positif pelaksanaan PICK juga dapat dilihat melalui penggunaan katil di Hospital Medan, Hospital Kementerian Kesihatan (KKM), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan PKRC Swasta di negeri itu.

Beliau berkata sehingga semalam, kadar penggunaan katil di Hospital KKM ialah sebanyak 43 peratus, PKRC MITC (47.6 peratus) dan PKRC Swasta (48 peratus).

“Hospital Medan pula, hanya dua pesakit yang ditempatkan daripada 75 katil yang disediakan di hospital itu. Alhamdulillah bersama-sama kita berdoa agar kes positif di Melaka akan kembali ke angka kosong seperti yang berlaku pada tahun lepas,” katanya.

Menjawab soalan Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) berkaitan masa lama bagi pengurusan jenazah Muslim dan bukan Muslim meninggal dunia akibat COVID-19 di hospital kerana terdapat isu kelewatan sehingga jenazah lewat dikebumikan, Rahmad berkata ia disebabkan kes kematian yang tinggi di Hospital Melaka.

“Memang betul berlaku kelewatan itu beberapa bulan lepas kerana kes kematian yang tinggi di hospital, sehari sehingga 15 hingga 18 kes. Amat menyedihkan sehingga pernah peti mayat hampir penuh digunakan setiap hari.

“Pengurusan agak lewat ketika itu kerana kita perlu mengikut peraturan atau prosedur. Pengesahan perlu dilakukan menerusi ujian calitan sebelum boleh dikebumikan, bagi memastikan atau mengisytiharkan jenazah berkenaan mati atau meninggal akibat COVID-19,” katanya.

Katanya isu itu diatasi dengan mengadakan pengebumian berpusat di Tanah Perkuburan Bidadari Ayer Keroh bagi jenazah Muslim, meningkatkan kapasiti pengendali jenaah dengan melibatkan swasta dan badan bukan kerajaan serta meningkatkan tempoh operasi pusat krematorium bagi pengurusan jenazah bukan Islam.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here