Tag: polis

  • Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    POLIS Kontinjen Johor mengesahkan seorang pegawai kanan polis dan dua pegawai rendahnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan selari sedang dijalankan Jabatan Pematuhan Standard (JIPS) bersama pihak SPRM.

    “Polis Johor mengesahkan tangkapan yang dibuat oleh SPRM membabitkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis, semalam.

    “Siasatan selari oleh JIPS bersama SPRM sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

    Memetik sumber, kesemua lelaki berusia 36 hingga 54 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

    Difahamkan, penahanan dibuat selepas mereka yang berpangkat Asisten Superintendan dan Sarjan terbabit hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, pukul 2 petang kelmarin dan 11 pagi semalam.

    Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital di negeri ini.

    Sumber dilaporkan berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, 10 pegawai kanan dan 33 pegawai JSJN seluruh daerah di Johor terbabit merasuah patologi sejak 2018 sehingga 2022.

    Katanya, setakat ini, 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberi jamin SPRM.

    Tangkapan tiga pegawai dan anggota polis itu oleh SPRM turut disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

    Pengarah JIPS Datuk Seri Azri Ahmad pula dipetik berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST) selari tangkapan berkenaan.

  • Anggota FRU mengaku tidak bersalah rompak gelang emas peniaga

    Anggota FRU mengaku tidak bersalah rompak gelang emas peniaga

    SEORANG anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan gelang emas milik seorang peniaga kedai runcit, minggu lepas.

    Tertuduh Mohd. Khuzairi Shaari, 43, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Khuzairi yang berpangkat Lans koperal didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Kampung Tok Bintang, Kuala Berang dekat Hulu Terengganu antara 9.45 malam hingga 10.30 malam, pada 23 Ogos lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 592) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 2 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap satu hari bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayatuddin Muhammad.- BERNAMA

  • Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, di Kuantan hari ini dengan kesan gigitan serangga.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi itu oleh orang awam pada 12.10 tengah hari tadi.

    Beliau berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang memaklumkan terdengar tangisan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum bertindak mencari suara berkenaan.

    “Wanita itu kemudiannya telah menjumpai bayi lelaki yang ditinggalkan lebih kurang 10 meter dari jarak rumah iaitu berhampiran tepi pagar kilang tersebut dan bayi itu diletakkan di atas kayu selain menyatakan bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan badannya dihinggap kerengga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata wanita itu telah meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut sebelum bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

    “Doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum ditemukan dan keadaannya kini stabil serta masih menerima rawatan di wad kanak-kanak HTAA,” katanya dan menambah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuantan sudah dimaklumkan berhubung penemuan bayi itu.

    Sementara itu, beliau berkata siasatan mendapati suspek berkemungkinan telah melahirkan anaknya di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu di tempat kejadian pada awal pagi tadi.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11, Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.35 pagi tadi.

    “Menurut ibunya, sebelum kejadian, dia berada di bahagian dapur manakala dua anaknya sedang bermain di ruang tamu.

    “Namun selepas itu, dia terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu itu, tetapi gagal kerana pintu telah terkunci,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Wan Azlan berkata ibu mangsa kemudian mendengar suara anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik bersebelahan dan apabila melihat dari luar tingkap mendapati anaknya itu telah terjatuh ke bawah.

    Menurutnya, petugas kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

    Wan Azlan berkata mangsa adalah anak pertama daripada dua adik beradik dan ibu bapanya merupakan anggota polis yang tinggal di kediaman tersebut. – BERNAMA

  • Batal saman tak pamer cukai jalan, anggota peronda disiasat

    Batal saman tak pamer cukai jalan, anggota peronda disiasat

    POLIS akan menjalankan siasatan dalaman ke atas seorang anggota perondanya yang mengeluarkan saman kepada pemandu gagal mempamerkan cukai jalan dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Petaling Jaya, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook berhubung gambar memaparkan saman polis yang dikeluarkan terhadapnya.

    “Semakan dilakukan mendapati saman itu dikeluarkan anggota polis peronda pada 16 April lalu atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di lokasi berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, arahan sudah diberikan kepada petugas lapangan supaya tidak mengeluarkan saman berhubung kesalahan tidak mempamer cukai jalan, susulan arahan Kementerian Pengangkutan pada 10 Feb lalu.

    “Siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terbabit atas kecuaian dan kami sudah membatalkan saman itu.”

  • Polis rampas dadah RM400,000, tahan 3 lelaki

    Polis rampas dadah RM400,000, tahan 3 lelaki

    POLIS menahan tiga lelaki dan merampas dadah disyaki Methamphetamine bernilai kira-kira RM400,000 di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya besar di Bercham, semalam.

    Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua yang berusia antara 40 hingga 61 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ipoh dalam operasi khas kira-kira 2.20 petang.

    Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki seorang daripada lelaki itu menemukan satu guni plastik mengandungi 10 bungkusan plastik berisi peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggar seberat 10.4kg.

    “Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan lebih kurang 20,000 penagih. Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang warga asing di wilayah utara negara,” katanya dalam kenyataan.

    Yusri berkata, hasil saringan air kencing mendapati seorang daripada lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.

    Beliau berkata, polis akan memohon reman hari ini untuk membolehkan ketiga-tiganya membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek utama dalam kes ini bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan bernilai RM12,000 dan wang tunai sebanyak RM2,200,” katanya. – BERNAMA

  • Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    DUA tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, hari ini sedang giat diburu polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow , tahanan itu dikenali sebagai Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36.

    Kedua-dua tahanan itu katanya membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukuljam 8 pagi, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

    “Kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke Penjara Ledang, dua tertuduh telah membuka gari dan pintu belakang van sebelum melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Beng Yeow, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa kesemua tertuduh ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan pada jam 11.20 pagi.

    “Operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dengan bantuan unit pengesan anjing K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    “Selain itu, Op Tutup turut dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi bilik gerakan di talian 07-6637222,” katanya.

  • PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin. – BERNAMA

  • Serang, samun peniaga bazar Ramadan, 5 lelaki diberkas

    Serang, samun peniaga bazar Ramadan, 5 lelaki diberkas

    POLIS menahan lima suspek disyaki terlibat kes samun peniaga bazar Ramadan yang turut dipukul dan diserang dengan sebatang kayu dalam kejadian di Bandar Putra, Kulai, Johor, kelmarin.

    Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow berkata, suspek lelaki berusia 18 hingga 47 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra Kulai dan Jalan Persiaran Indahpura antara 1.30 tengah hari hingga 10.30 malam tadi.

    Katanya, tangkapan dilakukan susulan aduan diterima daripada peniaga terbabit yang mendakwa didatangi suspek ketika berniaga di bazar berkenaan.

    “Mereka berbincang mengenai perniagaan mercun di tapak bazar itu sebelum seorang daripada suspek yang tidak dikenali menendang pengadu di dada hingga terjatuh.

    “Pengadu kemudian diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu dan dipukul oleh beberapa individu ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, serangan turut menyebabkan pengadu cedera di kepala, muka, tangan serta badan dan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk rawatan.

    Katanya, mangsa juga kehilangan wang berjumlah RM5,405 dipercayai dirampas suspek dalam kejadian itu.

    “Polis menyelesaikan kes kurang 24 jam laporan dibuat. Sebatang kayu yang dijadikan senjata dan sehelai baju turut dirampas.

    “Hasil siasatan awal, semua suspek mengaku terbabit dan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

    “Usaha mengesan rakan sejenayah yang masih bebas giat dijalankan dan semua suspek direman empat hari hingga 9 April manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pukul pemandu kontena: Polis kesan Muhammad Putra

    Pukul pemandu kontena: Polis kesan Muhammad Putra

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pukul pemandu kontena berhubung kes kemalangan maut di Jalan Telok Gong, di Klang baru-baru ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, lelaki itu dikenali Muhammad Putra Abdullah berusia 31 tahun.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu dan kejadian terbabit diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

    “Sehingga hari ini seramai dua lelaki tempatan berumur 38 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

    “Hasil semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai dua rekod lampau bersabit dadah,” katanya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Hoong Fong berkata, selain itu, seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan.

    Katanya, pengawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan akan rujuk kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa yang terdekat.

    “Pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap individu-individu yang terlibat,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat ke atas harta benda.

    22 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita bersama dua pembonceng iaitu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan kakaknya berusia sembilan tahun dikatakan hilang kawalan sebelum jatuh di atas jalan.

    Kanak-kanak perempuan itu kemudian digilis manakala penunggang serta seorang pembonceng dilaporkan cedera.

    Susulan itu, sekumpulan lelaki telah berkumpul dan memukul pemandu kontena berusia 36 tahun terbabit hingga cedera di bahagian pipi selain bertindak memecahkan cermin hadapan kenderaan terbabit. – Sinar Harian