SEORANG penghantar makanan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang lampu isyarat Jalan Seremban-Paroi berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dekat Seremban, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 32 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Paroi menghala ke Seremban.

“Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, kereta yang dipandu itu sedang bergerak terus kemudian datang sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang seorang lelaki berumur 27 tahun bekerja sebagai penghantar makanan.

“Motosikal mangsa datang dari simpang sebelah kiri menyebabkan kereta tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kanan motosikal yang ditunggang oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Said menambah, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here